- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Regata Baram Antara Sejarah Penting di Sarawak

Must read

Pertandingan regata adalah acara yang ditunggu-tunggu bagi pasukan regata di seluruh Sarawak dan kepulauan Borneo termasuk negara-negara jiran seperti Brunei dan Indonesia.

Ramai yang beranggapan bahawa pertandingan regata Baram yang berlangsung di Marudi pada 1899 merupakan pertandingan regata tertua di Sarawak.

Sejarah ini diceritakan oleh Felo Penyelidik Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Valerie Mashman dalam program Badan Warisan Malaysia (BWM) Talk Series yang telah diadakan pada 3 Mei 2022, dan menurut beliau, acara regata telah pun bermula sejak 1860.

Felo Penyelidik Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Valerie Mashman

Menurut Dr Valerie, regata Baram telah diperkenalkan oleh pemerintah Rajah Brooke bertujuan untuk memberhentikan amalan ‘nayau’ (istilah dalam bahasa Iban) atau ‘head hunting’ (memotong kepala) di kalangan masyarakat Baram ketika itu.

Sejak itu, regata telah menjadi acara tahunan dan sangat terkenal di Baram kerana ia merupakan satu acara bagi menunjukkan kehebatan kaum-kaum yang terdapat di Baram.

Sejak regata Baram diperkenalkan, semangat head hunting semakin pudar di kalangan masyarakat dan kaum-kaum yang ada di Baram khasnya dan Sarawak amnya

Tujuan regata Baram diperkenalkan adalah untuk memberhentikan amalan ‘nayau’ atau ‘head hunting’

Terdapat satu peristiwa, di mana Charles Hose telah mendengar khabar bahawa akan ada kunjungan ke persisiran semenanjung hingga penghujung Papua New Guinea oleh AC Haddon iaitu seorang ahli antropologi dari Universiti Cambridge.

Charles Hose sangat berharap agar AC Haddon akan singgah ke Sarawak dalam perjalanan pulang.

Rentetan itu, pada Julai 1898, Charles Hose telah menulis kepada AC Haddon untuk memberitahu bahawa beliau telah merencanakan sebuah upacara pendamaian di mana mereka tidak akan pernah menyaksikan lagi di masa yang lain di Borneo.

Charles Hose telah merancang sebuah upacara pendamaian kaum ketika lawatan AC Haddon serta menunjukkan fasa penyediaan selain menceritakan kesungguhan masyarakat tempatan membuat persediaan bagi pertandingan regata.

Antaranya ialah aktiviti naik turun sungai, bertanding dalam pertandingan perahu yang paling cantik, perahu yang paling ringan dan perahu yang paling laju.

Pada hari tersebut, masyarakat akan memerhati dari rumah panjang ke rumah panjang untuk melihat apa yang sedang terjadi.

Aksi ketika mendayung perahu panjang semasa pertandingan regata

Justeru, pertandingan perahu regata telah diadakan dengan teliti untuk mendapat kerjasama dari ketua suku kaum tempatan dengan pihak pegawai pentadbiran.

Ketua-ketua masyarakat yang telah bekerja bersama-sama pegawai pentadbir menjadi hakim, juri dan pengadil perlumbaan.

Menurut Dr Valerie lagi, bukti-bukti berkenaan peristiwa ini tersimpan di Universiti Cambridge di mana idea asal pertandingan regata adalah bagi menggantikan upacara memotong kepala dan sebagai tempat perkumpulan anak-anak muda untuk menunjukkan kebolehan mereka.

Acara sampingan semasa berlangsungnya regata Baram suatu ketika dulu

Perlumbaan regata telah menjadi acara puncak bagi beberapa siri acara pendamaian yang telah diadakan empat tahun sebelumnya sejak 1895 di Daerah Baram.

Dr Valerie turut memberitahu yang mereka ada menyimpan sampel program pertandingan di mana pada hari pertama telah diadakan pertandingan perahu perang yang dimenangi oleh suku kaum Narum yang tinggal di Marudi.

Ternyata usaha ini berhasil apabila mereka berjaya berlumba dengan aman dan gembira bahkan berkumpul dan bersorak riang sehingga lupa yang mereka pernah menjadi musuh satu ketika dahulu.

Sejak itu, regata telah menjadi acara yang dinantikan setiap tahun dan setiap kali sampai waktu pertandingan, mereka akan melakukan persediaan rapi dengan membawa perahu-perahu dan pendayung-pendayung terbaik mereka.

Ketua-ketua etnik telah menerima dengan baik keputusan untuk mengadakan pertandingan perahu pajang bagi menghentikan permusuhan antara mereka kerana mereka mahukan pendamaian dan persahabatan.

Mereka mahukan perjalanan yang selamat tanpa terjadinya tragedi potong kepala, kerana potong kepala merupakan sesuatu yang amat menakutkan.

Mereka ingin mengembara, berniaga, membeli objek-objek berprestij seperti pasu dan gong kerana ia dapat meningkatkan status mereka.

Menurut Dr Valerie, Charles Hose tidaklah memainkan peranan yang begitu besar dalam acara pendamaian ini, tetapi lebih kepada usaha perbincangan antara ketua-ketua kaum kerana Charles Hose mengetahui bagaimana berpengaruhnya ketua-ketua kaum tempatan ini.

Gambar Charles Hose

Beliau tidak menafikan bahawa, masyarakat Sarawak mempunyai pandangan yang berbeza kerana menganggap bukan semua hasil kejayaan itu datang dari pentadbiran kolonial Charles Hose.

Kerana, jika dilihat dari perspektif masyarakat tempatan, keamanan dicapai melalui kejayaan penganjuran pertandingan regata atas dasar kerjasama melalui ketua suku-suku etnik.

Walau bagaimanapun, Ranee Margaret, iaitu isteri kepada Charles Brooke tetap memuji Charles Hose kerana beliau berjaya mencapai ketamadunan di Baram.

Charles Brooke merupakan peminat regata sehingga beliau pernah menulis, ‘acara dan mesyuarat umum yang terjadi telah memberi kesan yang baik terhadap semua suku kaum selain berjaya mewujudkan pekerti yang baik pada setiap individu yang terlibat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article