Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September 2021 memaklumkan, Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenal untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara iaitu ‘neutral karbon’.
Sehubungan itu, langkah ekonomi seperti penetapan harga karbon dan cukai karbon akan diperkenalkan selain kerajaan tidak akan membangunkan lagi penjana kuasa arang batu baharu di Malaysia.
Langkah ini adalah untuk memberikan “hala tuju strategik jangka masa panjang” sebagai sebahagian daripada sokongan dan komitmen untuk mencapai visi neutral karbon ini.
Ke arah usaha tersebut, penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.
Sehubungan itu, akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.
Penjanaan tenaga boleh diperbaharui daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.
Model ekonomi kitaran pula akan dilaksanakan di bawah RMK-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.
Manakala, konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan.
Di samping itu, pelaburan hijau akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta GLC.
Garis masa yang diletakkan oleh kerajaan untuk mencapai misi karbon sifar ini adalah selari dengan langkah bandar Kuala Lumpur serta syarikat seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Sarawak Energy Berhad (SEB).
Dalam bab 8 RMK-12, dinyatakan bahawa Petronas telah mempunyai rancangan untuk menyediakan tenaga bersih dan penyelesaian karbon rendah di peringkat global.
Beberapa inisiatif akan diambil, seperti pengurangan mengurangkan pembakaran hidrokarbon dan pelepasan gas ke atmosfera, memerangkap pelepasan gas metana dan mengoptimumkan pengeluaran dan operasi.
Inisiatif lain termasuk meningkatkan keberkesanan dalam membekalkan tenaga dan penyelesaian rendah karbon seperti gas asli dan tenaga boleh diperbaharui, membangunkan bahan api, produk serta penyelesaian yang rendah dan sifar karbon.
Petronas juga akan melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi dengan memelihara dan memulihkan keupayaan ekosistem hutan untuk bertindak sebagai penyerap karbon.
Pada dasarnya, langkah ke arah peneutralan karbon ini adalah satu berita baik bagi pemilik kenderaan elektrik (EV) memandangkan lebih ramai orang akan beralih kepada EV dan bergantung kepada grid negara untuk keperluan pengangkutan mereka.
Ada kajian sebelum ini telah membuktikan bahawa EV akan dapat membantu mengurangkan emisi meskipun tenaga elektrik dihasilkan daripada bahan api fosil, dan langkah ke arah sumber tenaga lebih bersih ini sangat dialu-alukan.
Menurut Tenaga Nasional pula, arang batu adalah sumber utama bagi penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia pada 2020, dengan menyumbang kepada 65.84% daripada kuasa yang dihasilkan, kemudiannya diikuti oleh gas pada 29.67%, hidro pada 3.78% dan solar 0.7%.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kemampanan tenaga akan terus dipertingkatkan dengan memastikan sumber bekalan tenaga dan infrastruktur berkaitan mencukupi.
Pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan yang dapat mengimbangi trilema tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampuan untuk membayar dan kelestarian alam sekitar.
Dasar tenaga negara yang akan digubal untuk menyelaras dan mengharmoni semua dasar berkaitan tenaga akan menyediakan rangka yang menyeluruh untuk menangani isu dalam sektor yang menggunakan tenaga.
Selain itu, penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga alternatif akan dipertingkatkan untuk melengkapi inisiatif kecekapan tenaga.
Langkah ini akan memberi tumpuan kepada pengurusan permintaan tenaga, yang seterusnya dapat memastikan pengurusan tenaga yang berhemah dan cekap.