Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu bukan sahaja menyediakan kursus pengajian secara penuh iaitu enam (6) kursus peringkat diploma teknologi tetapi turut menyediakan kursus jangka pendek dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan pihak industri.
Demikian menurut Pengarah ADTEC Hj Ab Rahman Bin Hj Mohd Said, ketika ditanya RAKAN Sarawak sewaktu lawatan baru-baru ini tentang peranan lain yang turut dimainkan ADTEC Bintulu sejak kewujudannya.
Menurut Pengarah ADTEC, setakat ini terdapat tujuh (7) bengkel kursus jangka pendek telah diadakan antaranya melibatkan Bengkel Elektrik, Bengkel Penyejukbekuan & Penyamanan Udara, Bengkel Mekatronik, Bengkel Automotif, Bengkel Minyak Dan Gas, Bengkel Kimpalan, Bahagian Pusat Sumber Dan Multimedia.
Jelas beliau, kebiasaan kursus jangka pendek ini diadakan pada hujung minggu (bagi memudahkan mereka merancang masa) paling minimum lapan (8) jam dalam satu waktu dan ada yang 40 jam tetapi diadakan berperingkat-peringkat dan waktu serta minggu yang berlainan.
Kursus jangka pendek ini diadakan kerana terdapatnya permintaan daripada pihak industri untuk meningkatkan kemahiran di kalangan pekerja mereka.
Pekerja ini akan dihantar oleh pihak industri untuk menghadiri dan mengikuti kursus untuk menambah kelayakan dan mendapatkan sijil kemahiran.
Bagi merealisasikannya selain sukatan pelajaran yang telah ditetapkan mengikut standard pekerjaan nasional (Nos), pihaknya ada berbincang dengan pihak industri untuk menyesuaikan dan membangunkan modul menepati keperluan pihak industri tersebut.
Tambah beliau, ada juga kursus yang melibatkan peperiksaan dan Latihan Industri tertentu manakala kursus yang melibatkan pentauliahan ada sedikit melibatkan kos berbanding kursus lain.
Berdasarkan pengalaman yang lepas, jelas beliau institusi Pendidikan lain turut menghantar pelajar dan kakitangan mereka untuk menjalani kursus pendek di sini, antara 36 pelajar Kolej Vokasional Bintulu telah menyertai Kursus Jangka Pendek (KJP) Pengujian Mekanikal Tensile Test), 24 orang peserta dari KV Betong Di Teknologi Elektrik (Kuasa) menjalani Latihan ‘Switch On 11KV RMU & VCB’ dan pensyarah UCTS menjalani kursus penyesuaian Sistem Pencawang 11KV.
Malah pihak industri seperti Sakura Ferroalloys Sdn Bhd turut menghantar pekerja untuk menghadiri kursus jangka pendek. Bengkel yang terlibat Chargeman, Mekatronik dan Kimpalan.
Berdasarkan rekod, peningkatan kemahiran pekerja industri melalui kursus Jangka Pendek 2017-2019 terdapat 666 peserta telah menyertai kursus jangka pendek iaitu 151 peserta (2017), 173 peserta (2018) dan 342 peserta (2019).
Jika ditinjau daripada kursus kebanyakannya Kluster Penyelenggaraan Elektrik melibatkan bengkel automotif, elektrik, mekatronik, kimpalan dan Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (dengan pilihan tiga (3) kategori Modular, Profesional dan Customised).
Selain itu, tidak terhad kepada industri kerana turut melibatkan kemahiran asas yang lain seperti yang dikendalikan Pusat Sumber (Kursus Kecekapan Operator Dron TOT Certified Drone Operation Proficient 101 Professional Drone Operator dan Kursus Peningkatan Asas kemahiran Fotografi.