- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

UPMKB Dijadikan Hab Penyelidikan Perhutanan

Must read

Meneraju Pemindahan Teknologi Pertanian

Semasa berucap di Persidangan Antarabangsa Pengurusan Sumber Hutan serta lawatan kerja di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada Disember 2021, Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan pelantikan UPMKB sebagai hab penyelidikan perhutanan di Sarawak.

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB)

Menurut Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid bin Sarbini, pelantikan tersebut dilihat sebagai pengiktirafan kepada UPMKB dalam usaha penyelidikan alam sekitar dan perhutanan di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, geran sebanyak RM10.95 juta disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk UPMKB dan Jabatan Hutan Sarawak bekerjasama menjalankan penyelidikan hutan.

“Geran tersebut akan digunakan untuk tujuan penyelidikan perhutanan yang mana UPMKB akan bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak menjalankan beberapa penyelidikan dalam pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

Pengarh UPMKB, Dr. Shahrul Razid bin Sarbini ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

“Sebanyak 15 projek akan dilaksanakan termasuklah menghantar pegawai-pegawai Jabatan Hutan Sarawak melanjutkan pengajian di peringkat Masters dan PHDdi UPMKB ataupun di UPM Serdang.

“Buat masa sekarang, geran tersebut sedang dalam proses pengagihan. Sebahagian daripada projek sudah dimulakan dan beberapa lagi projek akan bermula pada pertengahan tahun ini,” ujar beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini.

Berbekalkan kepakaran serta teknologi yang ada di Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, lebih banyak kajian dapat dilakukan bagi membantu Kerajaan Sarawak termasuk dalam bidang pengurusan hutan, penyakit tumbuhan serta biodiversiti hutan hujan Sarawak.

Pihak UPMKB melihat peruntukan geran tersebut sebagai bukti dan sokongan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan penyelidikan perhutanan di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari mengumumkan pelantikan UPMKB sebagai hab penyelidikan perhutanan di Sarawak di Persidangan Antarabangsa Pengurusan Sumber Hutan dan lawatan kerja ke UPMKB pada 10 Disember 2021

Jelas Dr. Shahrul, geran tersebut akan meningkatkan keupayaan UPMKB menjalankan penyelidikan hutan, seterusnya membantu Kerajaan Sarawak dan agensi-agensi terlibat menyediakan inisiatif serta polisi dalam sektor perhutanan yang lebih holistik.

Selain menjalankan penyelidikan hutan, UPMKB juga sedang menjalankan usaha merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak untuk mentransformasi kawasan Gedong, Simunjan, Sebuyau, Asajaya dan Utara Sarawak sebagai kawasan pengeluaran utama padi, nipah dan rumbia.

UPMKB sekali lagi diberi kepercayaan mengetuai kajian mengenai tanaman-tanaman komoditi tersebut.

Salah satu daripada kajian yang akan dijalankan ialah membolehkan padi tempatan mengeluarkan hasil sebanyak tiga (3) kali setahun serta meningkatkan pengeluaran padi di kawasan tanah tinggi seperti di Bario, Miri.

Dr. Shahrul mengulas lanjut, UPMKB juga akan menjalankan kajian terhadap tanaman nipah yang banyak terdapat di Sarawak untuk penghasilan gula apong serta tanaman rumbia untuk menghasilkan sagu yang berkualiti tinggi dengan kuantiti yang lebih banyak pada satu-satu masa melalui penggunaan teknologi yang sesuai.

Beliau melihat potensi yang ada pada Sarawak dan usaha tersebut pada pandangan beliau sejajar dengan matlamat Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan negeri ini maju serta menjadi wilayah pengeluar makanan utama di negara menjelang 2030.

Usaha berkenaan juga jelas beliau dapat mengurangkan kebergantungan negeri dan negara terhadap sumber makanan daripada luar.

“Kita ada potensi dari segi kawasan tanah yang luas dan penanaman padi merupakan salah satu sumber makanan utama.

“Mengambil kira krisis makanan yang dijangka berlaku dan membimbangkan, langkah meningkatkan pengeluaran makanan adalah langkah yang paling tepat untuk pihak UPMKB bersama-sama kerajaan memulakan dan memajukan sektor pertanian di Sarawak.

“Apabila Sarawak menjadi pengeluar makanan utama, kita tidak akan terlalu bergantung pada import makanan daripada negara-negara luar dan sebagai pengeluar, sekuriti makanan lebih terjamin.

“Inilah strategi kerajaan supaya Sarawak menjadi pengeluar makanan utama di negara,” tambah Dr. Shahrul.

Sebagai menyahut aspirasi Sarawak sebagai pengeluar makanan, beliau turut memaklumkan, UPMKB kini sedang menjalankan program pemindahan ilmu dan teknologi pertanian berkenaan tanaman padi.

Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB

Projek transformasi padi yang dinamakan AgriHub@Gedong yang kini dilaksanakan merupakan salah satu titik permulaan ke arah amalan pertanian pintar di Sarawak.

“Pihak UPMKB telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Pertanian Sarawak dan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) berkenaan cadangan di bawah projek tersebut dan telah mencapai persetujuan kolaborasi.

“Saya sendiri turut bersama-sama turun padang mengadakan lawatan tapak di Gedong dan mendapati kawasan Lubok Punggor adalah sesuai untuk dijadikan tapak permulaan projek AgriHub@Gedong,” jelas beliau.

Menurut Dr. Shahrul lagi, nadi utama projek AgriHub@Gedong ialah komuniti petani di daerah itu sendiri.

Manakala UPMKB pula berperanan melaksanakan pemindahan teknologi dan amalan terbaik pertanian bagi meningkatkan produktiviti pertanian dengan hasrat menjadikan Daerah Gedong sebagai hab pertanian.

Sasaran utama projek AgriHub@Gedong adalah untuk meningkatkan produktiviti padi daripada 2 t/ha kepada 10 t/ha, iaitu lima (5) tuaian setiap dua (2) tahun dengan menggunakan teknologi perapi tanah dan pertanian pintar hasil kajian penyelidik UPMKB yang akan meningkatkan pendapatan petani di Gedong.

Beliau percaya bahawa pelaksanaan AgriHub@Gedong akan menjadi permulaan kepada ripple effect untuk mentransformasikan pertanian di kawasan-kawasan lain di Sarawak.

UPMKB merupakan satu-satunya universiti penyelidikan di Malaysia Timur yang memiliki kepakaran lebih daripada 50 orang penyelidik dalam pelbagai bidang termasuk perhutanan, pertanian dan keselamatan makanan.

Matlamat penyelidikan yang dijalankan UPMKB adalah untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negeri dan negara, seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article