- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

OSH Week Memupuk Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Must read

Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dikenali sebagai OSH Week dan Mega Toolbox telah diadakan di Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation (BDEWC), Sejingkat, Kuching pada 1 Julai 2022.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak juga bersempena dengan Sambutan 800,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan Bagi Projek Pembangunan Timi Sarawak Shell Berhad dan Anugerah HSE Idol BDEWC.

Dr. Nor Halim menyampaikan ucapan pelancaran OSH Week 2022

Pengarah JKKP Sarawak, Ir. Dr. Nor Halim bin Hassan hadir merasmikan majlis yang turut dihadiri Pengerusi BDEWC yang baru dilantik, iaitu YBhg Datu Haji Safri bin Haji Zainudin dan Pengurus Besar (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar), Sarawak Shell Berhad, Encik Alexon Jong.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak Ir. Dr. Nor Halim bin Hassan (dua, kiri) melancarkan Majlis Pelancaran OSH Week Negeri Sarawak 2022. Turut kelihatan Pengerusi Brook Dockyard and Engineering Works Corporation (BDEWC) Datu Haji Safri bin Haji Zainudin (tiga, kanan)

Menurut Dr. Nor Halim, OSH Week adalah acara tahunan JKKP yang diadakan setiap minggu kedua bulan Julai bertujuan memupuk dan meningkatkan tahap kesedaran terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pekerja, majikan dan orang awam.

Penganjuran OSH Week juga bertujuan menyampaikan mesej mengenai kepentingan mengamalkan budaya pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja selain menyalurkan maklumat terkini berkaitan isu-isu KKP.

Demonstrasi pemakaian peralatan keselamatan ‘body harness’ pada Majlis Pelancaran OSH Week 2022 anjuran JKKP Sarawak

Jelas beliau, sambutan OSH Week kali ini yang bertemakan ‘Semarakkan OSHMP25: KKP Inklusif – Kebersamaan dan Komitmen’ sejajar dengan pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 yang dinamakan OSHMP25.

Dalam sidang media selepas majlis pelancaran, Dr. Nor Halim memaklumkan setakat 30 Jun 2022, sebanyak 183 kes kemalangan di tempat kerja direkodkan di seluruh Sarawak melibatkan sembilan (9) kes kemalangan maut, 14 kecederaan hilang upaya kekal, 155 kecederaan tidak hilang upaya kekal dan lapan (8) kejadian berbahaya di tempat kerja dilaporkan.

Pemakaian peralatan keselamatan ‘body harness’

Bagi kes kemalangan maut, empat (4) kes berlaku dalam sektor perkilangan, tiga (3) dalam sektor pertanian dan perikanan, satu (1) kes dalam sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi dan satu (1) kes dalam sektor perdagangan, borong dan runcit.

Tambah beliau, jumlah kes kemalangan tempat kerja di seluruh Sarawak yang direkodkan setakat tempoh tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan statistik tahun lepas.

Pihak JKKP Sarawak berharap supaya bilangan kes yang direkodkan setakat ini kekal sehingga hujung tahun.

Gambar sampingan

Pada tahun 2021, Sarawak merekodkan sebanyak 383 kes kemalangan di tempat kerja secara keseluruhan dan daripada jumlah tersebut, 22 kes kemalangan maut direkodkan, 19 kes hilang upaya kekal, 321 kecederaan tidak hilang upaya kekal dan 21 kes kejadian berbahaya di tempat kerja.

Dr. Nor Halim menekankan kerjasama semua majikan, para pekerja dan pihak berkepentingan untuk bersama-sama memastikan keselamatan dan kesihatan bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja.

Dr. Nor Halim dan Datu Haji Safri merakam gambar bersama kakitangan-kakitangan BDEWC pada Majlis Pelancaran OSH Week 2022
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article