- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

HDA Pemacu Utama Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi Baram

Must read

Highland Development Agency atau lebih sinonim dengan HDA adalah agensi pembangunan di bawah RECODA yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017, yang menyelia kawasan seluas 18,463 km persegi meliputi Marudi (Puyut/Lubong Nyibong dan Mulu), Telang Usan, Miri (Bario, Long Banga, Long Lellang dan Seridan) dan Beluru (Tinjar).

HDA begitu signifikan dalam mengubah kawasan pedalaman tanah tinggi Baram ini  yang masih lagi ketinggalan dari segi infrastruktur menggunakan jalan balak dan sesetengah tempat sukar untuk dibangunkan disebabkan faktor muka bumi.

Keadaan ini tidak mematahkan semangat kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan tersebut, dan di sinilah peranan HDA sebagai pemacu utama atau “game changer” untuk mempercepatkan pembangunan ke kawasan tersebut.

Pengarah Wilayah HDA, Encik Semuel Belawan menerangkan perkara demikian kepada RAKAN Sarawak ketika sesi temu bual bersama beliau untuk mendapatkan perkembangan  terkini peranan HDA. 

Pengarah Wilayah HDA, Encik Semuel Belawan

Menurut Encik Semuel Belawan keutamaan kini adalah melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan tanah tinggi yang melibatkan pembinaan jalan raya dan jambatan, selain sistem bekalan air dan elektrik.

Selain itu, menurut Encik Semuel HDA turut melaksanakan projek-projek pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan tahap pendapatan masyarakat luar bandar dan pedalaman di kawasan tanah tinggi.

Salah satu projek infrastruktur di simpang masuk ke Long Bedian dari jalan utama Long Lama
Projek infrastruktur ini bukan sahaja menaiktaraf jalan malah menjamin keselamatan pengguna laluan tersebut

Bukan itu sahaja, HDA telah menyiapkan pembinaan Kompleks Integrated Highland Agricultural Station (IHAS) berhampiran Long Banga, Baram yang akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan perhubungan untuk taman tani.

Pada masa yang sama, RECODA telah merangka pelan induk  untuk Mulu, Bario dan IHAS.

HDA turut menjalankan Makmal Sosioekonomi pada Mac 2022 di Miri untuk mengumpul data asas bagi Pelan Pembangunan Sosioekonomi bagi kawasan tanah tinggi.

Ketika ditanya mengenai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMKe-12), jelas Encik Semuel terdapat 52 projek infrastruktur dengan jumlah peruntukan RM1.5 bilion oleh Kerajaan Sarawak.

Daripada jumlah tersebut 30 projek jalan termasuk jambatan (jarak sejauh 370 km), 20 projek bekalan air dan dua (2) projek bekalan elektrik. Manakala IHAS juga telah siap dibina dengan peruntukan kerajaan persekutuan dengan jumlah kontrak RM25.6 juta.

Projek HDA ini turut melebarkan laluan jalan raya yang sedia ada
Antara projek infrastruktur akan sedang dilaksanakan dalam kawasan Long Bedian

Berbalik kepada projek berimpak tinggi, projek pembinaan jalan raya dianggap berimpak tinggi kerana ia menyediakan jaringan yang diperlukan di kawasan tanah tinggi yang mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar.

Jalan-jalan ini amat diperlukan dan akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan ekonomi tempatan. Jelasnya sebagai contoh, projek mega jalan lingkaran utama seperti dari Miri-Marudi, Marudi-Mulu dan Long Panai-Long Lama bukan sahaja akan melengkapkan pembangunan kawasan sekitar, tetapi juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi sepanjang rangkaian jalan raya 147 km tersebut.

Apabila projek tersebut siap kelak, jelasnya perjalanan melalui jalan darat dari Miri ke Marudi sampai  Taman Negara Mulu sehinggalah ke Pekan Long Lama yang sebelum ini mengambil masa yang panjang akan menyediakan satu perjalanan yang selesa pada masa hadapan.

Projek jambatan yang sedang dalam pelaksanaan di Long Latei

Walaupun projek infrastruktur menjadi keutamaan, HDA pada masa yang sama bersedia lebih awal untuk memastikan perancangan sosioekonomi dan modal insan dapat dilaksanakan bagi menyokong aspek pembangunan yang lain.

HDA telah melaksanakan Pelan Pembangunan Sosioekonomi HDA (2022-2026) lebih bersifat “Community Driven” dan mengumpulkan maklum balas dan input daripada wakil rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat untuk mengenal pasti keperluan dan ekpektasi masyarakat setempat.

Pengarah Wilayah HDA menerangkan yang projek HDA akan menjadi “game changer” untuk kawasan tanah tinggi Baram

Pelan tersebut akan melibatkan program-program, projek-projek, mekanisme dan model perniagaan yang sesuai untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kalangan masyarakat luar bandar.

Ini seterusnya akan menyokong teras dan sektor ekonomi yang ditekankan dalam Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030).

Tambahnya lagi, HDA akan melancarkan program sosioekonomi yang bertujuan meningkatkan pendapatan, jualan dan produktiviti masyarakat luar bandar dalam perniagaan mereka, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.

HDA akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk melaksanakan program yang dipanggil Community@SCORE, yang menyasarkan kumpulan B40 dengan tumpuan kepada pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.

Pengarah Wilayah menunjukkan di peta beberapa laluan utama yang akan dibina
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article