- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

OKSHe Terus Fokus Pada Peningkatan Sosioekonomi Komuniti dan Pemeliharaan Produk Warisan

Must read

Visi utama Old Kuching Smart Heritage atau OKSHe yang diperkenalkan pada 2018 adalah untuk menjadikan kawasan ‘Old Kuching’ sebagai Bandar Warisan Pintar.

OKSHe mempunyai tiga objektif yang bertujuan untuk memastikan keterangkuman ekonomi digital dalam komuniti setempat, iaitu meningkatkan sosioekonomi penduduk, menjana peluang pekerjaan dan melindungi serta memelihara produk warisan.

Dalam ucapan sempena Majlis Malam Penghargaan OKSHe pada 29 Januari lepas, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi OKSHe, YBhg Datu Dr. Sabariah Putit memaklumkan, untuk memperkasa OKSHe, penjenamaan mengikut kategori warisan dan segmentasi kawasan perlu dilakukan.

Untuk memperkasa OKSHe, penjenamaan mengikut kategori warisan dan segmentasi kawasan perlu dilakukan. – Dr. Sabariah

Selari dengan itu, empat kategori kawasan warisan yang dijenamakan di bawah OKSHe telah dikenal pasti, iaitu Warisan Kampung, Warisan Tebingan Sungai, Warisan Bangunan Bersejarah dan Warisan Perniagaan Bersejarah.

Secara ringkasnya menurut Datu Dr. Sabariah, peranan OKSHe adalah membina ekosistem yang bersepadu, lestari dan holistik di samping mengekalkan, memelihara dan memulihara warisan komuniti setempat.

Ekosistem berkenaan jelas beliau berlandaskan pada lima teras utama yang saling berkait antara satu sama lain, merangkumi Infrastruktur Warisan Pintar, Komuniti Pintar dan Inovasi, Sosioekonomi dan Kelestarian Kewangan, Penjenamaan dan Pemantapan dan Pengurusan Strategik dan Tadbir Urus Yang Baik.

Beliau menjelaskan, melalui kelima-lima teras tersebut, 79 inisiatif yang diterajui bersama 16 rakan sinergi OKSHe telah dilaksanakan yang bertujuan untuk membina kapasiti komponen-komponen tersebut.

Di bawah teras Penjenamaan dan Pemantapan, tiga produk warisan diyakini memberi impak yang tinggi kepada komuniti OKSHe.

Produk-produk tersebut merangkumi produk makanan warisan, produk kraf tangan seperti songket dan keringkam dan Produk Jejak Warisan.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan warisan makanan Sarawak masih utuh dan kekal segar sepanjang zaman.

Antaranya ialah kerjasama penyelidikan OKSHe dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi mengenal pasti produk-produk warisan, kerjasama pembangunan kapasiti bersama Pusat Kecemerlangan Latihan Sarawak (CENTEXS) melalui latihan dan program kulinari warisan dan melestarikan industri kotej dengan membangunkan kemudahan seperti dapur masakan warisan seperti di Kampung Bandarsah dan Kafe Teko dan Teh.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MITI) telah melantik CENTEXS Commercial sebagai saluran utama untuk memasarkan produk warisan dan produk buatan Sarawak melalui platform digital dan fizikal.

Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 172 produk daripada 74 usahawan makanan dan kraf tangan telah dibangunkan bersama komuniti.

Bagi produk tekstil songket dan keringkam, antara pencapaian yang diperolehi OKSHe menurut Datu Dr. Sabariah ialah jualan songket di Galeri Songket dan Keringkam di Kuching yang mencecah hampir setengah juta ringgit untuk tahun 2021 yang telah membantu meningkatkan jumlah pendapatan usahawan tempatan.

Inisiatif-inisiatif lain yang turut dilaksanakan ialah pembangunan kapasiti melalui Program Latihan Warisan Sulaman Keringkam dan Tenunan Songket yang ditawarkan oleh CENTEXS selain kerjasama OKSHe dengan UNIMAS, Seri Gedong Songket, Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Puncak Borneo yang telah melatih 38 penghuni dalam tenunan songket.

pembangunan kapasiti melalui Program Latihan Warisan Sulaman Keringkam dan Tenunan Songket yang ditawarkan oleh CENTEXS selain kerjasama OKSHe dengan UNIMAS, Seri Gedong Songket, Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Puncak Borneo

Dari segi jumlah tenaga, Sarawak memiliki seramai 246 penyulam keringkam dan 82 penenun songket di seluruh negeri.

Dalam usaha membangunkan Produk Jejak Warisan, Datu Dr. Sabariah menambah, pakej-pakej di bawah produk tersebut bukan sahaja akan membawa pelancong menyelusuri laluan-laluan sejarah ataupun aktiviti menarik di bandar raya Kuching, malah pelancong dapat mengalami, mencuba serta menimba pengalaman dengan melihat keadaan sebenar nilai warisan dan budaya dalam menjalankan aktiviti berasaskan warisan yang mempunyai keunikan tersendiri.

Pengalaman tersebut termasuklah mencuba makanan warisan yang lazat, persembahan kebudayaan, kesenian dan kesukanan rakyat.

Pakej-pakej Jejak Warisan berkenaan akan diusahakan bersama Sarawak Tourism Board (STB) bagi membina kapasiti bakat dan kemahiran kerjaya dalam sektor pelancongan seperti pemandu pelancong, hospitaliti, digital ARVR, pembangunan android, pemasaran digital, inap desa dan sebagainya yang akan disediakan oleh CENTEXS.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article