RAKAN Sarawak baru-baru ini berpeluang menjejakkan kaki ke Daerah Kecil Long Bedian, sebuah penempatan utama masyarakat Kayan yang terletak kira-kira 200-kilometer dari Bandar Raya Miri dan memakan masa sekurang-kurangnya lima jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
RAKAN Sarawak telah berkesempatan menemu bual Kaunselor Jok Eng Jok dan Penyelia Tapun Homestay, Puan Ulau Wan Jok bagi mengetahui sejarah, aktiviti sosioekonomi serta pembangunan yang telah berlaku di Daerah Kecil Long Bedian.
Selain itu, RAKAN Sarawak turut juga berpeluang menemu bual wakil rakyat YB Dennis Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N77 Telang di pejabat beliau di Miri untuk mendapatkan pandangannya tentang perubahan pembangunan di Telang Usan.
Secara kronologinya, sekitar 1886, masyarakat Kayan telah mula menetap di Long Belanah kemudian, sekitar 1895, mereka telah berpindah ke Uma Apau.
Ketika masih di Uma Apau, terjadinya perpecahan di antara mereka sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka berpindah ke Long Atip dan seterusnya mereka berpindah ke Uma Tutung (seberang Long Bedian sekarang).
Mereka menetap di Uma Tutung dari 1918 hingga 1924, seterusnya mereka berpindah ke Uma Bawang pada 1925, ke Uma Tekayat (hulu) pada 1929, ke Uma Ajui pada 1933 dan seterusnya ke Uma Lulau Aru pada 1941.
Pada 1946, masyarakat Kayan yang dipimpin oleh TK Tama Ingan Sang telah berpindah ke Long Bedian dan menjadikan lokasi tersebut sebagai penempatan yang kekal hingga sekarang.
Sekitar 1957, masyarakat Kayan di Long Bedian telah mula meninggalkan kepercayaan lama apabila mereka memeluk agama Kristian dan sejak itu juga, perubahan ekonomi penduduk turut berlaku.
Sekitar 1960, kegiatan pertanian sara diri seperti tanaman padi, getah dan kopi mula dilaksanakan, dan pada masa yang sama, klinik dan sekolah turut didirikan dengan mewajibkan setiap kanak-kanak harus mengikuti pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Long Bedian.
Pada 1970, kampung Long Bedian telah mengalami transformasi pertama kesan daripada pendidikan iaitu penghijrahan generasi muda ke bandar untuk menuntut ilmu serta mencari peluang pekerjaan.
Namun demikian, jumlah penduduk di kampung ketika itu masih ramai dan pembangunan juga terus berkembang, malah masyarakat Kelabit mula berhijrah ke kampung Long Bedian.
Pada 1980, kampung Long Bedian telah mengalami transformasi kedua impak daripada aktiviti pembalakan di mana ia telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sehingga menjadikan ia antara pekerjaan utama masyarakat kampung selain pertanian sara diri.
Pada pertengahan 1980, penduduk mula terlibat dalam sektor ekonomi lain seperti perniagaan dan keusahawanan, menyebabkan aktiviti sosial dan komuniti semakin rancak secara tidak langsung membuka landasan perkembangan Long Bedian yang lebih progresif berbanding tahun sebelumnya.
Dua (2) blok kedai telah dibina dengan lapan (8) buah lot telah diagih kepada lapan (8) orang pekedai.
Ketika itu, nilai semangat kerjasama dan menghormati pemimpin menjadi teras penting manakala pengurusan strategik dan pemimpin yang komited merupakan kombinasi kepada peningkatan taraf hidup pada era 80-an.
Pada 1981, Long Bedian telah menjadi pelabur paling ramai dalam Amanah Saham Nasional (ASN) peringkat negeri dan pada tahun itu juga kampung Long Bedian telah memenangi Pertandingan Kebersihan Kampung Peringkat Negeri.
Pada 1986, TK Tama Ingan Sang meninggal dunia, kemudian TK Laing Jok dilantik menjadi Ketua Kampung yang baharu.
Pada 1996, bangunan gereja lama telah diserahkan kepada kampung untuk dijadikan sebagai dewan masyarakat.
Kemudian, bangunan gereja baharu mula dibina, deretan kedai sebanyak 23 lot (centralized shop) juga turut dibina dan pada tahun itu juga, telah diadakan perayaan ulang tahun ke-50 kampung Long Bedian.
Pada 1999, Wisma Bedian telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut didaftar setelah diluluskan oleh Pejabat Residen.
Dalam tahun tersebut, kampung Long Bedian telah diiktiraf dalam Program Kampung Gerak Desa Wawasan (GDW) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri.
Selain itu, Kelas Tadika telah diambil alih oleh Jabatan KEMAS, Perpustakaan Desa telah dibina oleh Majlis Daerah Marudi (MDM), Pentas Budaya dinaiktaraf oleh JKKK dan telah wujudnya Perkhidmatan Memungut Sampah.