- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Inisiatif Digitalisasi BDA Penuhi Keperluan Dalaman Organisasi dan Komuniti

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Kepesatan teknologi telah membawa perubahan dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada manusia dari pelbagai aspek termasuklah cara berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.

Perkhidmatan secara dalam talian misalnya, membolehkan urusan rakyat dengan kerajaan seperti pembayaran cukai taksiran, pembaharuan cukai jalan, urusan berkaitan cukai pendapatan, lesen perniagaan, permohonan bantuan dan sebagainya dapat dilakukan dengan mudah, selamat dan bersifat mesra pelanggan.

Sebagai sebuah agensi pembangunan dan selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut tidak dapat lari daripada tuntutan perubahan gaya operasi dan tadbir urus hari ini yang sebahagian besarnya telah beralih ke digitalisasi dan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kakitangan pengurusan BDA

Inisiatif digitalisasi BDA dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dalaman, iaitu warga BDA dan keperluan komuniti sebagai pelanggan.

Di peringkat dalaman, pembangunan sistem automasi organisasi dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan BDA dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Kakitangan BDA mengadakan mesyuarat secara dalam talian

Manakala di peringkat komuniti pula, BDA mengguna pakai sistem-sistem perkhidmatan guna sama dalam talian bagi memudahkan orang awam membuat pelbagai jenis urusan pembayaran bil, cukai dan sebagainya.

Mengimbas kembali usaha BDA meningkatkan kecekapan dalaman dan penyampaian perkhidmatan, inisiatif ICT telah dimanfaatkan sejak 1996 dan diteruskan sehingga kini.

Pada 1996, BDA mula menggunakan sistem ILAIS dalam urusan pemantauan kawasan kediaman dan taman-taman awam termasuk sistem parkir dan kompaun.

Sejak itu, sistem-sistem lain untuk kegunaan dalaman juga diguna pakai, antaranya sistem JPJ Link untuk membuat semakan pemilik pendaftaran kenderaan, sistem Perakaunan BDA (BBS), Employee Self Service (ESS), RHB Bank Reflex System, sistem pembayaran bil setempat (SBBS) dan sebagainya.

Pada 2015, sistem ELA2 fasa satu bagi urusan penarafan, pembayaran bil, pelesenan dan ELA2 fasa dua untuk tujuan sistem penghasilan peta, penilaian dan sistem pengawalan bangunan mula digunakan.

Perkhidmatan dalam talian memudahkan urusan pelanggan dengan BDA

Untuk memantau projek-projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), BDA menggunakan sistem pemantauan RTP (RTPMS) selain menggunakan BEP Portal untuk urusan tempahan bilik mesyuarat, tempahan kenderaan rasmi BDA, Kiosk BDA dan lain-lain.

Sejak dua tahun lepas, sistem Athena digunakan untuk pengurusan dokumen portal selain mengaplikasi sistem yang memantau kehadiran dan laporan kakitangan serta urusan berkaitan cuti, kerja lebih masa dan tuntutan perjalanan.

Pada 2020, BDA menggunakan sistem Pengurusan Projek Bersepadu (IPMS) bagi memantau projek-projek yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Di peringkat keperluan komuniti, BDA mengguna pakai sistem guna sama seperti Paybills Malaysia dan Paybills Sarawak untuk pelanggan membayar cukai taksiran dalam talian, eKehakiman, eRecruitment untuk permohonan jawatan kosong dalam talian dan kemudahan eBooking untuk komuniti membuat tempahan kemudahan awam milik BDA seperti gelanggang sukan, auditorium, perpustakaan dan sebagainya.

Warga BDA komited memastikan inisiatif digitalisasi dapat memenuhi keperluan dalaman organisasi tersebut

Sistem pendaftaran maklumat kontraktor, CORIS diperkenalkan pada 2014 untuk memudahkan pihak kontraktor berdaftar membuat semakan pendaftaran.

Yang terkini, sistem ePASS dan eSPA mula diperkenalkan pada 2021 untuk urusan semakan kelulusan cadangan pelan pembangunan.

Orang awam juga boleh berurusan dengan BDA melalui aplikasi SarawakPay dan perkhidmatan kaunter bersepadu Service Sarawak.

Inisiatif digitalisasi yang dilaksanakan BDA telah banyak memberi manfaat kepada organisasi berkenaan serta komuniti.

Digitalisasi telah meningkatkan produktiviti perkhidmatan BDA selain menjimatkan masa, kos dan tenaga, meningkatkan keberkesanan pengumpulan data di samping menggalakkan budaya digital dalam kalangan warga kerja, memudahkan komunikasi dan tadbir urus yang lebih sistematik dan telus.

Bagi pihak komuniti, BDA dapat mempelbagai dan meningkatkan penyampaian perkhidmatannya kepada rakyat, memudahkan kajian pelanggan dan komunikasi dengan orang awam, memudahkan urusan pembayaran serta aduan awam, menggalakkan budaya digital di kalangan komuniti di samping penyampaian perkhidmatan yang telus.

Melangkah ke depan, BDA terus memberi fokus kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan yang menjurus kepada perkhidmatan dalam talian berteraskan pendekatan G2C (Kerajaan kepada Komuniti).

Selain daripada sistem maklumat dan pemantauan operasi dalaman, program digitalisasi yang sedang dan akan dibangunkan memudahkan komuniti menggunakan perkhidmatan secara maya tanpa hadir secara fizikal.

Perkhidmatan boleh didapati dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir proses serta boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Selaras dengan transformasi ekonomi digital Sarawak, BDA mempunyai perancangan digitalisasi masa depan yang lebih besar, iaitu menjadikan Bintulu sebuah bandar pintar seperti yang dilaksanakan di bandar raya Miri sekarang.

Rancangan membangunkan Bintulu sebagai bandar pintar akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang (2022 – 2026).

Matlamat usaha tersebut adalah untuk meningkatkan kualiti hidup di samping mempromosi pertumbuhan ekonomi, mengembangkan persekitaran yang lestari dan selamat seterusnya mendorong amalan pengurusan bandar yang cekap.

Komponen-komponen inisiatif bandar pintar Bintulu merangkumi sistem aduan pelanggan dengan memperkenalkan aplikasi Bintulu Cares, sistem perparitan pintar yang mampu mengesan paras air parit, Smart Truck, iaitu sistem pemantauan perjalanan lori sampah serta pemasangan CCTV dan Panic Button bagi tujuan keselamatan.

Antara lain, taman maya (Virtual Park) dan taman selamat akan diwujudkan termasuk memperkenalkan sistem kawalan parkir kenderaan pintar, lampu isyarat pintar, pusat kawalan sistem dan perkhidmatan pelanggan (Command Centre) termasuk pusat kawalan sokongan (Back Up Command Centre) untuk kelangsungan perniagaan.

Pihak BDA merancang untuk bergerak dengan lebih jauh di masa hadapan dengan hasrat untuk membangunkan bangunan pintar yang berorientasi atau berkonsepkan Bangunan Hijau bagi mewujudkan alam sekitar yang mampan demi kesejahteraan komuniti.

RAKAN 3Q2021-58
RAKAN 3Q2021-59
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article