- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ke Arah Pembangunan Sukan Yang Lebih Komprehensif, Bersepadu dan Kolektif

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang dalam proses penggubalan sebuah dokumen Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang memetakan perancangan 10 tahun Malaysia dalam memperkasakan lagi polisi demi pembangunan industri sukan yang lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif.

Perkara ini dinyatakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat anak Nyalau semasa ditemu bual dalam program Sesi Libat Urus Kanvas Visi Sukan Negara 2030 Peringkat Negeri Sarawak.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat anak Nyalau

Menurut beliau, terdapat Lima (5) rasional perancangan VSN 2030 iaitu, pertama adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai pesaing utama dalam landskap sukan global yang disokong oleh industri sukan yang mapan.

Dalam hal ini, pencapaian sukan yang cemerlang di peringkat antarabangsa disokong oleh sebuah industri sukan yang profesional, diiktiraf dan bernilai tinggi.

Kedua ialah, mendukung aspirasi dan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan memastikan agenda pembangunan sukan mendukung aspirasi dan prinsip dasar wawasan tersebut.

Ketiga, menyokong pelaksanaan “Agenda 2030” iaitu Sustainable Development Goals, United Nations dengan menyokong pengaplikasian teknologi yang berkembang pesat selari dengan era digital terkini.

Keempat pula ialah, memanfaatkan pengaplikasian teknologi yang berkembang pesat selari dengan era digital terkini kerana ia perlu dimanfaatkan dalam membangunkan pelbagai bidang sukan.

Manakala, yang kelima ialah memberi peluang yang sama rata terhadap kemunculan sukan-sukan baharu pada hari ini untuk terus berkembang di Malaysia.

Jelas bahawa, VSN 2030 merupakan perancangan pembangunan sukan untuk tempoh jangka masa 10 tahun selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Enam Bidang Tumpuan Nilai Teras Kanvas VSN 2030

Selain itu, ia juga merupakan perancangan pembangunan sukan negara berkonsep “Daripada Komuniti kepada Komuniti”, matlamat untuk menjadikan Malaysia negara berteraskan misi membudayakan sukan sebagai pemangkin sosioekonomi dan teras kualiti hidup.

VSN 2030 juga merupakan sebuah dokumen yang akan menggariskan teras-teras utama, fokus-fokus baharu dan pendekatan berimpak tinggi dalam memperkasa pembangunan sukan negara dengan sasaran keberhasilan yang jelas dan pelaksanaan yang lebih terancang dan teratur.

Di Sarawak, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (MYSS) merupakan peneraju di dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan program holistik belia dan sukan Sarawak.

Menurut Pemangku Setiausaha Tetap MYSS, Puan Nancy Haji Jolhi yang ditemu ramah RAKAN Sarawak, MYSS merupakan kementerian yang dinamik dengan sejumlah personal serta pelbagai fasiliti termasuk Ibu Pejabat, 10 Pejabat Bahagian, 12 Dewan Suarah dan tiga (3) Kem Belia.

Pemangku Setiausaha Tetap MYSS, Puan Nancy Haji Jolhi

Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak pula merupakan agensi seliaan MYSS dalam membantu pembangunan sukan kompetitif Sarawak dengan visi “The Nation’s Sport Power House”.

Beliau memberitahu, sebagai usaha holistik pembangunan belia dan sukan Sarawak, sejumlah RM366 juta diperuntukkan kepada MYSS di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11) dengan 43 projek dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Rekabentuk Sarawak High-Performance Centre (HPC)

Pelaksanaan projek melalui kolaboratif strategik dengan pelbagai agensi sememangnya telah berjaya memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti dan belia Sarawak.

Ini juga termasuk projek bukan fizikal iaitu Kajian Indeks Belia dengan peruntukan RM1.2 juta di dalam usaha mengukur tahap kesejahteraan belia di mana penemuan kajian telah menjadi teras utama kementerian merangka strategi dan hala tuju pembangunan belia.

Keberkesanan projek RMK-11 diteruskan melalui kesinambungan RMK-12 dengan keseluruhan 42 projek berjumlah RM672 juta.

Bertemakan “Sarawak Berkuasa Sukan”, beberapa fasiliti sukan Berprestasi Tinggi akan dibina bagi membangun atlet Sarawak bertaraf dunia antaranya ‘Sarawak Performance Centre’ ke arah matlamat melahirkan atlet Sarawak bertaraf dunia menjelang 2030.

MYSS kini dalam proses menggubal dasar-dasar baharu yang lebih relevan dengan Sarawak, dan turut menubuhkan seksyen khas iaitu Seksyen Dasar, Kualiti dan Inspektorat untuk merancang, menyelia dan melaksanakan pewujudan dasar-dasar tersebut agar selari dengan ekonomi digital Sarawak.

MYSS akan sentiasa memastikan rakyat di Sarawak menerima manfaat daripada projek pembangunan yang dilaksanakan kerana setiap projek mampu memberi impak maksimum kepada kumpulan sasar.

Antara projek utama dan berimpak besar yang telah dan akan dilaksanakan ialah pembinaan Sarawak Sport Village yang direka bentuk dan dibina dengan menanda aras kompleks sukan Bukit Jalil, Bandar Penawar, Kota Kinabalu dan Thailand.

Pembinaan Sarawak Sport Village di bawah RMK-11 merupakan sebuah kemudahan utama untuk membantu Sarawak merealisasikan visinya menjadi pusat sukan-sukan negara pada tahun 2024.

Projek yang bernilai RM24.9 juta yang terletak di Kompleks Sukan Petra Jaya telah bermula pada bulan Julai 2020 dan sepatutnya siap dalam tahun ini.

Sarawak Sport Village akan menjadi pusat kepada atlet-atlet yang bakal meneruskan latihan selepas tamat tingkatan lima atau tingkatan enam serta bagi mereka yang telah melebihi usia kelayakan Sukan Malaysia (SUKMA).

Pusat ini merangkumi empat (4) tingkat asrama yang kondusif, dewan serba guna, bilik mesyuarat yang memuatkan 100 orang serta kantin atau kafeteria yang boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa.

Berbeza dengan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak yang visinya adalah selaras dengan matlamat Wawasan 2020 untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif, sihat, cergas dan bersatu padu.

JBS Sarawak telah menubuhkan Cawangan Pembangunan Sukan bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti serta pembangunan sukan negeri Sarawak.

Program Bola Sukan Negara adalah program ikon yang diadakan oleh JBS Sarawak setiap tahun

Pada dasarnya, peranan JBS Sarawak lebih kepada sukan masyarakat yang bertujuan untuk kesihatan, pembudayaan sukan dan menggalakkan aktiviti sukan.

Biasanya sukan Berprestasi Tinggi seperti pencarian atlet untuk wakil Sarawak dikendalikan oleh KBS di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) atau Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Jelaslah bahawa, peranan JBS Sarawak lebih kepada pembangunan pembudayaan sukan di kalangan masyarakat dengan mengadakan bermacam-macam program sukan yang salah satunya ialah program Bola Sukan Negara. Program Bola Sukan Negara adalah salah satu program ikon yang diadakan setiap tahun untuk menyemarakkan kesedaran budaya sukan kerana sukan sebenarnya adalah satu ‘rawatan’ kepada kesihatan yang paling murah.

RAKAN 3Q2021-60
RAKAN 3Q2021-61
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article