- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

MPP Tingkatkan Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah melaksanakan tiga buah projek infrastruktur awam yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.6 juta untuk tempoh dua tahun bermula 2020 hingga suku kedua 2021.

Projek-projek tersebut merangkumi projek pembinaan Tebingan Sungai Batu Kawa Fasa 2, projek Taman Rekreasi Batu 11 Jalan Kuching Serian dan projek Taman Rekreasi Kota Padawan.

Projek Tebingan Sungai Batu Kawa Fasa 2 telah dimulakan pada 13 Februari 2020.  Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, projek berkenaan terpaksa dilanjutkan tempoh selama 173 hari dan akhirnya siap sepenuhnya pada 5 April 2021.

Komponen projek meliputi pembinaan tujuh laluan pejalan kaki, lima ruang tempat duduk (sitting square), dua buah jambatan kecil, sebuah gazebo, tangga dan tanjakan serta kerja-kerja pengindahan landskap.

Pembinaan Tebingan Sungai Batu Kawa atau Batu Kawa Riverfront sepanjang 800 meter dijalankan di tanah seluas 0.45 ekar dengan kos keseluruhan (termasuk Fasa 1) berjumlah RM10 juta.

Tebingan Sungai Batu Kawa menjadi tarikan baharu di Batu Kawa

Sejak dibuka kepada orang awam pada April lepas, Tebingan Sungai Batu Kawa menjadi tarikan terbaharu di bandar raya Kuching, khususnya di kawasan Batu kawa yang diwartakan dalam pentadbiran MPP.

Pihak MPP juga telah melaksanakan pembinaan sebuah taman rekreasi baharu yang terletak di Taman Kota Padawan, Batu 11 Jalan Kuching Serian yang menelan kos berjumlah lebih RM450,000.

Projek kemudahan riadah tersebut telah siap sepenuhnya pada 13 Mac 2021 setelah dilanjutkan selama 31 hari sejak kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 11 November 2020.

Satu lagi projek kemudahan taman rekreasi telah dilaksanakan di Lot 94, Kota Padawan dengan kos berjumlah RM1.2 juta.

Projek tersebut telah siap sepenuhnya pada 20 Ogos 2021 selepas mengalami tempoh lanjutan berikutan pelaksanaan PKP.

Taman rekreasi tersebut mempunyai keluasan 6,111 meter persegi atau seluas 1.51 ekar. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sejak 16 November 2020.

Antara kemudahan yang terdapat ialah seperti laluan joging dan refleksologi, tandas awam, kemudahan bersenam dan permainan, tempat duduk dan beberapa kemudahan-kemudahan lain untuk orang awam beriadah dan beristirahat.

Ketiga-tiga projek tersebut disenaraikan di bawah Projek Rakyat dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Melihat prospek yang lebih besar, MPP telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan 15 projek di bawah Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka akan bermula pada tahun 2022 hingga 2025.

Menurut Setiausaha Perbandaran MPP, YB Lo Khere Chiang pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-25 MPP Ogos lepas, kesemua projek yang diluluskan telah mendapat pembiayaan di bawah peruntukan siling berjumlah RM15 juta.

MPP akan terus memberi fokus dalam membangunkan infrastruktur asas dan kemudahan awam di Padawan

Dari tahun 2016 hingga 2020, iaitu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), MPP telah melaksanakan 375 projek berjumlah RM82.8 juta, merangkumi RM15.2 juta untuk projek pembangunan modal, RM35.8 juta bagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM31.8 juta untuk Projek Rakyat.

Manakala bagi tahun 2021 pula, MPP telah melaksanakan sebanyak 135 buah projek pembangunan dengan jumlah RM14.91 juta.

Projek-projek yang dilaksanakan meliputi 80 projek RTP berjumlah RM12 juta, dua Projek Rakyat berjumlah RM1.15 juta di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri dan 53 projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM 1.76. juta.

YB Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang percaya bahawa pembangunan infrastruktur kekal menjadi hasrat rakyat dan melalui projek pembangunan infrastruktur, MPP akan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

RAKAN 3Q2021-66
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article