- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Daerah Song Kini Tidak Lagi ‘Terpisah’

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Daerah Song merupakan salah satu daripada tiga daerah pentadbiran yang membentuk Bahagian Kapit di Wilayah Tengah Sarawak bersama-sama dengan Daerah Kapit, Daerah Belaga dan Daerah Bukit Mabong.

Daerah ini telah wujud bersama dengan pengisytiharan Kapit sebagai salah sebuah bahagian pentadbiran di negeri ini pada tanggal 2 April 1973. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Pekan Song.

Berdasarkan statistik perangkaan 2010, populasi penduduk di Song adalah seramai 29,595 orang. Majoritinya terdiri daripada kaum Iban dengan jumlah 88.6 peratus diikuti Cina (4.5%), Melayu (3.6%) dan kaum-kaum lain yang terdiri daripada kaum Melanau, masyarakat Orang Ulu daripada suku kaum Kayan, Kenyah, Kelabit dan sebagainya (3.3%).

Dari segi geografi, 90 peratus kawasan di Daerah Song yang berkeluasan 3,935 kilometer persegi terbentuk oleh dataran tanah berbukit yang diliputi hutan premier yang ditumbuhi pokok-pokok kayu bernilai tinggi.

Daerah Song direntangi oleh sungai terpanjang di Malaysia, iaitu Sungai Rajang serta beberapa cabang sungai merangkumi Batang Katibas yang merupakan sungai utama, Sungai Song, Sungai Iran, Sungai Manap, Sungai Lajan dan Sungai Lijau.

Sungai-sungai ini merupakan penghubung utama ke kebanyakan kawasan penempatan di Bahagian Kapit.

Kawasan Daerah Song menganjur dari timur ke selatan dan bersempadan dengan Kalimantan Selatan.

Pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama di Daerah Song selain aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Sebilangan penduduk Song menjalankan perniagaan hasil tani selain aktiviti pertanian sara diri

Sebahagian besar penduduk di Song terdiri daripada petani dan pekebun kecil yang menjalankan aktiviti pertanian sara diri.

Sebilangan lagi penduduknya menjalankan aktiviti penangkapan ikan di sungai dan penternakan termasuk penternakan udang dan ikan air tawar.

Daerah Song kini dijangka semakin berkembang, impak daripada pembinaan jalan Kanowit/Song/Kapit yang dinanti-nantikan oleh penduduk selama ini.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Pegawai Daerah Song, Puan Jackeline binti August @ August Jahar, pembukaan Jalan Ng Ngemah/Temalat pada tahun lepas merancakkan lagi pembangunan di daerah berkenaan, khususnya di kawasan sepanjang Sungai Rajang hingga ke Pekan Song.

Pegawai Daerah Song, Puan Jackeline binti August @ August Jahar

Jalan tersebut yang kini menjadi laluan utama ke Daerah Song menjadikan daerah ini tidak lagi terpisah daripada bahagian-bahagian lain di Sarawak.

Sebelum siapnya jalan tersebut, Bahagian Kapit termasuk Daerah Song hanya boleh dihubungi melalui sungai dari Sibu dengan tempoh perjalanan menggunakan bot ekspres yang mengambil masa selama dua jam.

Walau bagaimanapun, pengangkutan sungai masih lagi menjadi mod pengangkutan alternatif bagi sebilangan penduduk, terutama apabila mereka berkunjung ke kawasan-kawasan kampung dan rumah panjang di daerah berkenaan.

Pada awal 2018, sempadan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah diperluaskan daripada 70,708 kilometer persegi kepada kira-kira 100,000 kilometer persegi meliputi kawasan baharu di wilayah utara Sarawak.

Bangunan Pejabat Daerah Song

Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) sebagai agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Penubuhan tiga agensi tersebut bertujuan untuk membantu mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar di wilayah tengah dan utara Sarawak.

URDA ditubuhkan untuk membangunkan kawasan seluas 38,000 kilometer persegi atau satu pertiga daripada keluasan negeri ini merangkumi Daerah Kapit, Belaga, Bukit Mabong termasuk Song dan Kanowit dalam Bahagian Sibu.

Jelas Puan Jackeline, dua buah projek infrastruktur jalan raya di bawah program pembangunan URDA kini sedang giat dilaksanakan di Daerah Song.

Projek-projek tersebut merangkumi Projek Jalan Nanga Banjor/Nanga Makut Katibas dengan kos dianggarkan berjumlah RM104 juta dan Projek Jalan Nanga Makut/Nanga Engkuah Katibas yang dianggarkan RM41 juta.

Beliau menjangkakan bahawa kedua-dua projek berkenaan bakal memberi manfaat dan impak sosioekonomi kepada penduduk, terutamanya yang tinggal di sepanjang Sungai Katibas hingga ke Nanga Engkuah.

Pemandangan pekan Song yang dilihat dari bangunan Pejabat Daerah Song

Daerah Song yang memiliki keindahan alam semula jadi berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan.

Tumpuan kini diberikan terhadap menjadikan daerah ini sebagai destinasi tarikan dalam sektor agro dan eko pelancongan yang seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi peluang kepada masyarakat tempatan menjana pendapatan.

Lokaliti daerah ini dengan bentuk muka bumi yang berbukit bukau, diliputi hutan tropika dan memiliki beberapa batang sungai sesuai dijadikan destinasi eko pelancongan dan mampu menarik perhatian para penggemar aktiviti-aktiviti lasak.

Di daerah ini juga terdapat Batu Gong yang menjadi tarikan pelancong berdasarkan rupa bentuk batu ini yang menyerupai sebuah gong.

Batu ini terletak di kawasan hulu Katibas. Perjalanan menjejaki batu ini boleh memakan masa selama separuh hari dengan menaiki perahu panjang.

Yang menariknya mengenai Batu Gong ialah mitos yang dipercayai penduduk tempatan mempunyai kaitan dengan batu ini.

Batu Gong dikatakan menjadi tempat tinggal kepada sejenis haiwan bunian yang dinamakan sebagai ‘remaung’.

Menurut cerita nenek moyang tempatan, remaung adalah makhluk separuh manusia dan separuh haiwan.

Kepalanya menyerupai kepala singa manakala bahagian bawah badannya pula menyerupai manusia.

Pengunjung yang berkunjung ke Daerah Song akan merasai pengalaman dan mempelajari kaedah bercucuk tanam dengan masyarakat tempatan di rumah-rumah panjang sambil menikmati buah-buahan dan hasil tanaman hutan. Pengunjung yang meluangkan masa di daerah ini juga akan mempelajari dan mengenali seni bina dan kebudayaan masyarakat tempatan yang masih mengekalkan adat tradisi mereka.

RAKAN 3Q2021-67
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article