- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Meraikan Usaha dan Kejayaan Budayakan Sukan dan Riadah

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak October-December 2021 –

Sejak Hari Sukan Negara disambut bermula pada tahun 2015, negara telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai sebuah agenda nasional dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 yang bertemakan ‘Towards Sporting Nation’ disambut dengan penuh makna selepas setahun negara kita tidak dapat meraikannya ekoran pandemik COVID-19.

Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 yang bertemakan ‘Towards Sporting Nation’

Sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya, bertujuan meraikan segala usaha dan kejayaan kita dalam membudayakan sukan dan riadah, seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan ucapan beliau semasa Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021 pada 9 Oktober 2021 di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia pada 9 Oktober 2021

Berkongsi pengalaman beliau sebagai individu yang pernah menjawat portfolio Menteri Belia dan Sukan satu ketika dulu, beliau amat memahami betapa sambutan sebegini memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.

Justeru, beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu, seluruh keluarga KBS serta pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta yang telah berusaha memastikan HSN 2021 disambut serentak di seluruh negara.

Beliau berkata, pihak kerajaan sedia maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik COVID-19.

Aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas dan yang paling membimbangkan ialah kesannya terhadap industri sukan.

Suasana sekitar sambutan Hari Sukan Negara 2021

Beliau difahamkan, bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 1,968 buah perniagaan berkaitan sukan terpaksa menamatkan operasi kerana kekurangan modal pusingan, tidak dapat menampung kos operasi dan sebagainya.

Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta infrastruktur sukan.

Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, pada 5 Julai yang lalu, KBS telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (atau IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif-inisiatif tersebut telah diwujudkan sebagai usaha KBS, dalam menambah nilai dan menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Suasana sekitar sambutan Hari Sukan Negara 2021

Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor ini dapat beroperasi semula.

Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan melalui pelaksanaan PPN, akhirnya mendorong kepada pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 September lalu dan sejak itu aktiviti sukan kembali rancak dengan pematuhan Keluarga Malaysia terhadap SOP yang ketat.

Beliau dimaklumkan dalam tempoh sebulan sejak keizinan diberikan, jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan telah pun melebihi 1.4 juta orang peserta yang melibatkan ribuan aktiviti yang bermanfaat, termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

Justeru, kerajaan bersama KBS berasa yakin bahawa kesemua aktiviti yang dilaksanakan secara hibrid itu akan disertai lebih ramai lagi ahli Keluarga Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

Menyentuh tentang Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, beliau tidak menafikan bahawa ia telah memberi impak yang sangat membanggakan negara.

Bonnie Bunyau Anak Gustin merangkul pingat emas (acara powerlifting kategori 72 kilogram) semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 misalnya, negara kita telah berjaya menggondol pingat gangsa dan perak, manakala pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, sejumlah lima pingat diperolehi dan tiga daripadanya adalah pingat emas.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan penghormatan kepada mereka yang telah menumpahkan bakti dan jasa kepada negara, iaitu Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Cheah Liek Hou, Abdul Latif Romly, Chew Wei Lun dan Jong Yee Khie.

Beliau menyifatkan bahawa pencapaian mereka ini adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak, khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing.

Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara.

Kesungguhan ini pada diri setiap atlet termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat perlu kita lihat dan hargai, ujar Perdana Menteri.

Akhir sekali, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu, sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

RAKAN 4Q2021-18
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article