- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kejayaan SALCRA Dalam Tempoh Tiga Tahun Membanggakan

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak October-December 2021 –

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah ditubuhkan pada 1 Mei 1976 sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri di bawah Ordinan SALCRA 1976.

Pengurus Besar SALCRA Encik Joseph Blandoi ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak memberitahu, setelah 45 tahun berlalu, SALCRA telah berkembang dari sebuah organisasi kecil kepada sebuah agensi pembangunan tanah pesat khasnya dalam transformasi luar bandar.

Pengurus Besar SALCRA, Encik Joseph Blandoi

Sejak penubuhannya, SALCRA komited untuk memulih serta membangunkan projek-projek pertanian di seluruh negeri Sarawak sama ada secara persendirian ataupun bergabung dengan pihak lain dalam kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan pembangunan.

Merujuk kepada Encik Joseph, pencapaian SALCRA dalam tempoh tiga (3) tahun (2018 – 2020) dapat dinilai dari aspek pelaksanaan projek, pengurusan organisasi dan pelanggan serta penambahbaikan proses kerja.

Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), seluas 17,074 hektar kawasan telah dibangunkan untuk projek penanaman baharu (6, 774 hektar) dan penanaman semula (10,300 hektar).

Seluas 17,074 hektar kawasan telah dibangunkan untuk projek penanaman baharu dan penanaman semula kelapa sawit sepanjang tempoh RMK-11

Namun menurut beliau, dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, sebanyak 11,145 hektar telah dibangunkan untuk projek penanaman baharu (5,033 hektar) dan penanaman semula (6,112 hektar).

Pencapaian dari aspek pengurusan organisasi dan pelanggan pula, SALCRA tidak lagi menerima surat layang daripada orang awam dengan adanya sistem pengurusan aduan yang lebih sistematik.

Setiap aduan kini disalurkan menerusi saluran yang betul bahkan aduan daripada pelanggan telah dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Pencapaian dari aspek penambahbaikan proses kerja dilihat dari segi kejayaan SALCRA membangunkan Sistem Memantau Projek (MYProjek), Sistem Pemantauan Projek Bersepadu atau Integrated Project Monitoring System (IPMS) dan Sistem Kewangan Penyelenggaraan Jalan (RMFS).

Lawatan Pengurus Besar SALCRA ke estet-estet

Berkenaan dengan sistem MYProjek, beliau menjelaskan bahawa ia digunakan untuk memantau projek yang diluluskan di bawah dana Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Setiap projek-projek yang telah dicadangkan akan dimasukkan ke dalam sistem MYProjek untuk memudahkan pihak SALCRA mengemaskini kewangan setiap bulan.

IPMS pula digunakan untuk merekod setiap projek yang dicadangkan serta memantau projek-projek negeri yang telah diluluskan dalam pelan Rancangan Malaysia, juga untuk memantau kemajuan projek setiap bulan manakala RMFS digunakan untuk memantau projek MARRIS setiap bulan.

Di bawah penambahbaikan proses kerja, Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilaksanakan bagi tujuan Permohonan Pembangunan Tanah; Pengeluaran ‘Surat Pelepasan’ kepada pemilik tanah yang tidak mengambil bahagian untuk program tanam semula;

Pemindahan Milik Tanah untuk semua kategori Tanah Dibangunkan oleh SALCRA; dan Permohonan untuk menukar Penerima Bayaran Hasil Bersih (NPP).

Selain daripada SOP, Arahan Kerja (WI) turut dibangunkan oleh SALCRA sebagai penambah baikan proses kerja antaranya ialah;

  • Pemindahan Hakmilik Tanah untuk Tanah Hakmilik
  • Pemindahan Hak Milik Tanah untuk Tanah NCR Milik Individu
  • Menandatangani Surat Persetujuan (LOC) dan Perjanjian Pembangunan Tanah (LDA) untuk Kawasan Tanam Semula

Semenjak 2013, teknologi ‘geospatial’ dan penderiaan jauh (remote sensing) telah digunakan dalam merancang penanaman kawasan baharu dan penanaman semula ladang kelapa sawit, pemetaan inventori ladang dan memproses imej satelit.

Teknologi ‘geospatial’ dan penderiaan jauh (remote sensing) digunakan oleh SALCRA

Jelas beliau, penggunaan teknologi ini telah membantu SALCRA dalam memberi ketepatan maklumat mengenai keluasan sesebuah kawasan atau estet.

Juga dianggap sebagai pencapaian terbaik SALCRA ialah apabila kesemua ladang dan kilang kelapa sawit SALCRA telah dipersijilkan dengan MSPO pada tahun 2018 dan tempoh sijil MSPO tersebut sah selama lima (5) tahun dan SALCRA perlu menjalani persijilan semula pada tahun 2023.

Sistem kolam anaerobic fakulatif dan aerobic untuk merawat sisa kumbahan sawit kilang
‘Methane Plant’ dibina di BAPOM untuk memerangkap gas metana daripada dibebaskan ke atmosfera

Lain-lain pencapaian SALCRA yang signifikan dalam tempoh tiga tahun yang lalu (2018 – 2020) ialah dari segi pulangan (lebihan bayaran bersih) kepada peserta di mana sejumlah RM74.08 juta telah dibayar kepada para peserta.

Pulangan (Lebihan bayaran bersih) kepada peserta dalam tempoh 2018 – 2020

TAHUNJUMLAH (RM’ Juta)BIL. PESERTA
2018RM30.30 Juta11,049
2019RM10.10 Juta10,081
2020RM33.68 Juta14,761
JUMLAHRM74.08 Juta 

Seterusnya ialah penyediaan ameniti sosial di mana komuniti setempat dibenarkan menggunakan kemudahan yang disediakan di estet-estet SALCRA.

Diantara kemudahan dan ameniti sosial yang disediakan ialah seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Tabika, Perpustakaan Desa, Masjid, Surau dan Gereja, Dewan Serba guna, padang bola, jaringan telekomunikasi, bekalan air, pembinaan rumah panjang, jalan dan jambatan.

Dari segi pembangunan usahawan pula, beliau memberitahu, ramai usahawan dari kalangan peserta telah mampu memiliki lori dan jentera ladang sendiri bahkan ada di kalangan mereka merupakan kontraktor dan pengangkut buah untuk SALCRA.

Program Pembangunan Usahawan Tempatan

KATEGORI2018%2019%2020TOTAL%
Bumiputera2461.5939.1245755.9
Bukan bumiputera1538.51460.9164544.1
JUMLAH391002310040102100

Melalui Program Aktiviti Ekonomi Tambahan SALCRA, beliau dedahkan seramai 100 peserta dalam kategori B40 terlibat dalam penternakan kelulut, penanaman nanas dan penternakan itik.

Di bawah program ini, pihak SALCRA telah memberikan bantuan seperti peralatan, input pertanian dan latihan bagi membantu para peserta meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Program Aktiviti Ekonomi Tambahan SALCRA

Program Aktiviti Ekonomi Tambahan
ProjekJumlah PesertaJumlah Output (Kg)Pendapatan Sebulan
Tanaman Kelulut25407.0RM1,252.31
Tanaman Nanas33
Ternakan Itik42
Jumlah100407RM1,252.31
RAKAN 4Q2021-44
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article