Seramai 150 orang penjawat awam menyertai Program Kayuhan ‘Fun Ride’ sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sarawak 2022 bertempat di Padang Merdeka pada 6 Ogos 2022.
Program anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) itu menyaksikan penglibatan peserta dari kedua-dua pejabat Setiausaha Persekutuan dan Negeri.
Ia turut disertai Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir bin Omar dan ketua-ketua jabatan.
Menurut Sekretariat Program ‘Fun Ride’ JAKM Negeri Sarawak 2022, Nazrie Abdullah, program tersebut membabitkan kayuhan sejauh 8.6 kilometer dari Padang Merdeka dan berakhir di Tebingan Kuching.
Program tersebut diadakan bermatlamat untuk menyatupadukan penjawat awam negeri ini serta mengeratkan silaturahim sesama mereka bersama-sama ketua jabatan.
Aktiviti yang bermula jam 7 pagi itu dimulakan dengan beberapa taklimat ringkas dan senaman ringan sebelum memulakan acara utama (berbasikal) dengan acara pelepasan telah dilakukan oleh ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Jelas Nazrie, sepanjang kayuhan tersebut juga melibatkan dua “pit stop” iaitu berhampiran Kompleks Sukan Satok dan Tebingan Kuching dengan para peserta mengambil kesempatan mengadakan aktiviti tanggungjawab korporat (CSR) mengedarkan bakul makanan kepada pengusaha perahu tambang serta golongan asnaf.