- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Matlamat dan Strategi Dasar Sukan Negara

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak October-December 2021 –

Dasar Sukan Negara (DSN-Pindaan 2009) digubal dengan matlamat menjadikan sukan sebagai budaya dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.

Budaya sukan tersebut merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan fizikal melalui Sukan Untuk Semua, Sukan Prestasi Tinggi dan sukan sebagai industri.

Dasar ini merupakan dasar pembangunan sukan ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan integrasi nasional menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh dan pencapaian kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Manakala objektif dan strategi yang digariskan pula adalah untuk memastikan segala usaha ke arah tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya sesuai dengan usaha mencapai status negara maju.

Enam (6) Bidang Tumpuan Nilai Teras Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030)

Objektif Pertama: Memperkasakan Budaya Penglibatan Dalam Sukan Dalam Kalangan Masyarakat

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bertanggungjawab memastikan budaya sukan diterapkan untuk menjadi amalan hidup rakyat melalui Pelan Tindakan Sukan Untuk Semua.

Di peringkat sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertanggungjawab dalam memupuk minat pelajar dalam kegiatan sukan dengan menyediakan peluang dalam pembelajaran pendidikan jasmani, membangun dan menyelaras aktiviti sukan di peringkat sekolah serta menyediakan secukupnya guru bertauliah dalam pendidikan jasmani dan sukan.

Di peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi perlu meningkatkan peranan untuk membudayakan sukan dalam kalangan pelajar dan setiap agensi perlu menggalakkan semangat kesukarelaan dalam penglibatan dan penganjuran aktiviti sukan.

Objektif Kedua: Meningkatkan Pengetahuan dan Amalan Bersukan ke Arah Mewujudkan Budaya Sukan Dalam Kalangan Masyarakat

Strategi pelaksanaan objektif ini adalah, pelbagai organisasi terlibat termasuk media massa perlu menguruskan penggalakan dan pendidikan sukan dalam masyarakat dan laporan berita sukan tempatan perlu diperluaskan.

JBS berperanan menyediakan tenaga pakar untuk pembangunan peserta, jurulatih, pentadbir dan pegawai sukan bagi program Sukan Untuk Semua.

Objektif Ketiga: Menggalakkan Penyertaan Aktiviti Sukan yang Lebih Luas di Semua Peringkat Bagi Membentuk Sebuah Masyarakat yang Berdisiplin dan Bersatu Padu

Strategi pelaksanaan objektif ketiga menuntut penggalakan dan sokongan penubuhan yayasan dan persatuan sukan melalui pelbagai inisiatif seperti pengecualian cukai terhadap yayasan yang banyak memberi sumbangan dalam sukan dan meningkatkan strategi pelaksanaan program Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi oleh persatuan sukan.

Pada masa yang sama, badan-badan sukan dalam sektor awam dan swasta turut berperanan mempromosi dan menggalakkan aktiviti sukan dalam pelbagai jabatan bagi menjamin penyertaan dan amalan gaya hidup aktif dan sihat.

Selain itu, penyelidikan dalam sukan juga diberi perhatian dan aksesibiliti kepada kemudahan sukan diletakkan sebagai asas utama yang menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti fizikal.

Objektif Keempat: Menyediakan Peluang, Insentif dan Kerjaya Bagi Memenuhi Keperluan Asasi Individu Melalui Sukan

Kerajaan perlu memberi pengiktirafan dan menyediakan insentif yang setara dengan sumbangan yang diberikan oleh atlet, jurulatih dan pegawai sukan selain perlu mengkaji skim kebajikan dan insentif sedia ada secara berkala mengikut keperluan semasa bagi menjamin masa depan mereka yang terlibat.

Dalam sektor awam, jawatan Pegawai Sukan diwujudkan di setiap jabatan dan agensi kerajaan dan keutamaan diberikan kepada atlet-atlet negara untuk mengisi jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Sektor swasta juga digalakkan memberi keutamaan kepada pengisian jawatan oleh atlet-atlet negara selain tawaran biasiswa kepada atlet yang cemerlang dan berminat untuk melanjutkan pelajaran.

Antara lain, menggalakkan peningkatan penyertaan dalam Sukan Untuk Semua dan kemajuan Sukan Prestasi Tinggi dengan sokongan sektor swasta dan dermawan menerusi penubuhan Yayasan sukan bagi tujuan penajaan kegiatan sukan.

Objektif Kelima: Menyediakan Kemudahan Sukan Bagi Keperluan Pada Semua Peringkat

Di bawah objektif kelima, KBS perlu menyediakan satu pelan tindakan 10 tahun bagi pembangunan infrastruktur sukan berasaskan kepada strategi Program Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi yang meliputi semua golongan masyarakat serta bertanggungjawab menyelaraskan perancangan dan pengagihan segala kemudahan sukan dalam negara dan memastikan tiada negeri yang ketinggalan dalam pengagihan ini.

Rancangan kemudahan sukan di peringkat negeri dan daerah juga perlu ada keseimbangan pembangunan di antara kawasan bandar dengan luar bandar disusuli dengan penyelenggaraan yang baik serta memenuhi keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Objektif Keenam: Memperkukuhkan Badan dan Organisasi Sukan dengan Amalan Tadbir Urus yang Profesional

Untuk melaksanakan objektif keenam, badan dan persatuan Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi hendaklah dikendalikan oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang berkaitan dengan sukan.

Di institusi pengajian tinggi (IPT), sekretariat tetap yang bertanggungjawab merangka dan melaksanakan Program Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi perlu ditubuhkan.

Manakala Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) pula berperanan menyediakan sistem perkhidmatan yang dapat membina sumber tenaga pakar yang khusus untuk pembangunan atlet, jurulatih, pentadbir dan pegawai sukan bagi Sukan Prestasi Tinggi dan JBS bagi Program Sukan Untuk Semua selain Pesuruhjaya Sukan menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

Kepimpinan dalam membangunkan organisasi sukan juga perlu dimantapkan bagi meningkatkan mutu sukan negara secara telus.

Objektif Ketujuh: Membangunkan Sukan Sebagai Satu Industri

Badan-badan kerajaan, bukan kerajaan dan swasta bertanggungjawab menggalakkan persekitaran yang sesuai bagi pembangunan industri sukan.

Sejumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2021 untuk Skim Pembiayaan Industri Sukan

Strategi pelaksanaan objektif ketujuh turut melibatkan galakan dalam meningkatkan pengeluaran produk dan perkhidmatan sukan untuk penggunaan tempatan dan eksport serta penggalakan dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan sukan melalui penyediaan insentif yang bersesuaian.

Inisiatif lain termasuklah mempertingkatkan pemasaran dan promosi produk serta perkhidmatan sukan tempatan dan meningkatkan sektor pelancongan sukan dengan menganjurkan lebih banyak acara sukan peringkat antarabangsa.

Objektif Kelapan: Mencapai Kecemerlangan Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dengan Semangat Kesukanan yang Tulen

Objektif kelapan memberi tumpuan utama kepada jenis sukan dan acara yang dikenal pasti mempunyai peluang kejayaan yang tinggi di peringkat antarabangsa serta menyediakan kemudahan, keperluan dan kepakaran yang diperlukan bagi melahirkan atlet yang mampu bersaing.

KPM juga memainkan peranan dengan mewujudkan struktur organisasi yang kukuh dalam melahirkan lebih ramai atlet yang berbakat dan berpotensi.

Di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi, R&D bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang kejurulatihan, sains dan perubatan sukan perlu dilakukan selain IPT perlu menyediakan peluang dan ruang untuk atlet, jurulatih dan pegawai sukan bagi meningkatkan prestasi sukan dan akademik.

Peluang juga perlu diberikan kepada sukan-sukan yang lain untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

MSN bertanggungjawab untuk menyelaras dan melaksanakan pembangunan Sukan Prestasi Tinggi di semua peringkat manakala ISN pula bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan pembangunan sains dan perubatan sukan di semua peringkat.

Industri sukan salah satu penyumbang terbesar dalam ekonomi dan pembangunan sosial negara

Dalam masa yang sama, badan dan persatuan sukan bertanggungjawab untuk menggalak dan membangunkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan mereka di semua peringkat.

Pemilihan atlet negara ke temasya sukan peringkat antarabangsa dilaksanakan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia.

Di bawah objektif ini, Agensi Anti-Doping Kebangsaan (ADAMAS) juga memainkan peranan dalam mempertingkatkan kempen kesedaran dan program pendidikan mengenai risiko penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan.

Melalui lapan (8) objektif dan strategi pelaksanaan tersebut, DSN secara kesimpulannya jelas memberi hala tuju kepada pembangunan sukan negara ke arah pemupukan integrasi nasional melalui amalan gaya hidup aktif dan sihat, pembinaan kesejahteraan diri dan semangat kesukanan yang tulen.

Oleh yang demikian, kerjasama bersepadu di antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan, persatuan sukan, badan sukarela serta individu yang terlibat dalam sukan diperlukan untuk menjayakan dasar ini.

RAKAN 4Q2021-47
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article