- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Peluang Terbaik Kebolehpasaran Kerja

Must read

Dalam Bidang Kemahiran Dan PerindustrianILP Miri

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri telah ditubuhkan pada 14 Mei 2004 dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan dalam sektor perindustrian.

Bangunan kampus ILP Miri yang terletak di Bandar Baru Permyjaya, Kuala Baram, Miri dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) di atas tanah seluas 60 ekar serta mampu menempatkan seramai lebih 600 orang pelajar.

Kampus ILP Miri

ILP Miri memberi tumpuan kepada tiga (3) bidang kemahiran utama, iaitu Mekanikal Pengeluaran, Elektrik Elektronik dan Teknologi Maklumat.

Sebanyak enam (6) kursus sepenuh masa peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 ditawarkan di ILP Miri, iaitu Teknologi Komputer Rangkaian, Teknologi Telekomunikasi, Teknologi Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Teknologi Pemasangan Paip Minyak dan Gas dan Teknologi Kimpalan.

Peratusan kadar guna tenaga kerja lepasan ILP Miri yang tinggi turut didorong oleh pembelajaran dan latihan secara praktikal yang dijalankan 70 peratus

Selain itu, ILP Miri turut menawarkan empat (4) kursus sepenuh masa peringkat diploma dalam bidang teknologi komputer dan rangkaian, komunikasi, elektrik dan elektronik dan teknologi penyejukbekuan dan penyamanan udara.

Berdasarkan pada pencapaian ramai bekas pelajar ILP Miri yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan, Pengarah ILP Miri, Ts. Encik Mustal bin Makmud percaya bahawa ILP Miri merupakan peluang terbaik untuk individu meneruskan kerjaya dalam bidang kemahiran dan sektor perindustrian.

RAKAN Sarawak berpeluang menemu bual beliau bagi mengikuti perkembangan dan pencapaian terkini ILP Miri sejak kampus tersebut ditubuhkan di Bahagian Miri.

Pengarah ILP Miri, Ts. Encik Mustal bin Makmud ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Kebolehpasaran Kerja Dalam Bidang Kemahiran dan Perindustrian

Menurut Encik Mustal, bagi memantau status bekas pelajar, ILP Miri membuat tinjauan (survey) pasaran kerja yang dikendalikan oleh seksyen Community and Employment Support Service (CESS) ILP Miri.

Sistem e-TOS (e- Tracer Study (Employability) Online System) yang dibangunkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Tenaga Manusia diguna pakai bagi memudahkan pengesanan sama ada pelajar sudah mendapat pekerjaan selepas menamatkan latihan.

Jelas beliau, tinjauan dijalankan sebanyak tiga (3) kali, bermula dari enam (6) bulan selepas pelajar tamat latihan, enam (6) bulan selepas majlis graduasi dan dalam tempoh setahun berikutnya.

Setakat ini, kadar guna tenaga lepasan ILP Miri mencatatkan peratusan yang tinggi, iaitu 93.7 peratus.

Peratusan kadar guna tenaga yang tinggi tersebut menurut beliau dapat dicapai kerana 70 peratus proses pembelajaran di ILP Miri dijalankan secara praktikal.

Tambah beliau, keterlibatan dan jalinan kerjasama yang kukuh serta sukatan pelajaran yang dibangunkan bersama pihak industri berdasarkan keperluan dan permintaan industri turut menjadi faktor membolehkan majoriti lepasan ILP Miri berjaya mendapatkan pekerjaan.

Sejak 2009, ILP Miri telah mengadakan memorandum persefahaman (MOU) bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam program pemasangan paip dan gas untuk industri minyak dan gas.

Sehingga ke hari ini, PETRONAS akan membiayai 20 orang pelajar dalam bidang berkenaan untuk satu sesi pengambilan hasil daripada perjanjian tersebut.

Pentauliahan Sijil Kemahiran Profesional

Encik Mustal juga memberitahu, ILP Miri merupakan satu-satunya institusi latihan kemahiran di Malaysia yang menawarkan pentauliahan sijil kemahiran profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pentauliahan sijil kemahiran profesional dijalankan menerusi kerjasama dengan pihak industri memandangkan kelayakan sijil bergantung pada permintaan dan tahap kemahiran yang diperlukan pihak industri untuk para pekerja.

Secara praktikal, ILP Miri menawarkan latihan yang diperlukan. Sijil profesional terbuka kepada individu yang sedang bekerja, misalnya pekerja industri ataupun individu yang berminat dengan mengikuti Kursus Jangka Pendek (KJP).

Pembelajaran dijalankan dalam tempoh yang singkat, iaitu sama ada selama tiga (3) ke empat (4) hari dan dalam tempoh dua (2) minggu atau tiga (3) minggu.

Kaedah latihan adalah fleksibel dan bergantung pada kesesuaian pelatih. Encik Mustal menjelaskan, ada di antara sijil profesional yang diperlukan syarikat-syarikat tertentu dijalankan mengikut tempoh jam dan bilangan hari latihan dijalankan.

Ada di antara sijil yang hanya memerlukan pelatih mengikuti ujian dan penilaian dan tidak kurang juga yang mengikuti latihan secara sambilan.

Pentauliahan sijil kemahiran profesional juga boleh dijalankan melalui pengiktirafan berdasarkan Pengesahan Pencapaian Terdahulu (PPT), bermakna pekerja tidak perlu mengikuti latihan di kampus. Melalui kaedah PPT, pengiktirafan sijil dijalankan berdasarkan pengalaman bekerja.

Jelas Encik Mustal, pekerja yang mempunyai pengalaman minimum tiga (3) tahun layak dinaik taraf ke peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

Selain program sepenuh masa, ILP Miri turut menawarkan latihan dalam bidang kemahiran melalui Kursus Jangka Pendek (KJP)

Antara syarikat dan agensi yang menjalinkan kerjasama dalam pentauliahan sijil kemahiran profesional dengan ILP Miri termasuklah Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell Malaysia Berhad, PETRONAS, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain lagi.

Pada pandangan beliau, kerjasama ILP Miri dengan pihak industri dalam pentauliahan sijil kemahiran profesional memberi impak yang besar terhadap kebolehpasaran dan peningkatan kemahiran pelajar. Beliau melihat inisiatif tersebut sebagai satu kelebihan dan keistimewaan kepada ILP Miri.

Menurut beliau lagi, seksyen CESS ILP Miri sentiasa berhubung dengan pihak syarikat dan industri dalam hal berkaitan pengambilan pekerja dan oleh sebab itulah MOU mahupun segala bentuk perkongsian dengan pihak industri diperlukan bertujuan memudahkan kemasukan pelajar dalam pasaran kerja.

Encik Mustal juga berkongsi, sejak beliau berkhidmat selama tiga (3) tahun di kampus ILP Miri dan selama 10 tahun di kampus lain, beliau sentiasa menekankan tentang pentingnya keterlibatan dan kerjasama dengan pemain industri.

Beliau berpegang pada objektif, matlamat sebenar dan indikasi kejayaan ILP secara amnya sebagai institusi latihan kemahiran, iaitu memastikan pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.

Oleh yang demikian, pentauliahan sijil kemahiran profesional perlu diperbanyakkan memandangkan setiap syarikat mempunyai perbezaan dari segi keperluan dan permintaan dalam mendapatkan kepakaran dan penguasaan di peringkat sijil kemahiran sahaja tidak memadai.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, untuk melaksanakan sijil kemahiran profesional, tenaga pengajar perlu terlebih dahulu diperkasakan dengan meningkatkan kemahiran mereka supaya memenuhi keperluan.

Dalam hal ini, pihak ILP Miri perlu membuat pelaburan dalam membangun dan meningkatkan kemahiran tenaga pengajar, biarpun mereka sudah mempunyai kelayakan, tambah beliau.

Inisiatif Penambahbaikan

Memandangkan kuota dan tawaran program peringkat diploma di kampus ILP Semenanjung Malaysia yang terhad, ILP Miri telah melaksanakan inisiatif penambahbaikan dengan menawarkan empat (4) program diploma daripada enam (6) program sepenuh masa sedia ada.

Melalui penambahbaikan tersebut, ILP Miri merupakan satu-satunya ILP di Malaysia Timur yang menawarkan program di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Program-program yang ditawarkan ialah Diploma Teknologi Komputer (Rangkaian), Diploma Teknologi Telekomunikasi, Diploma Teknologi Elektrik (Kuasa) dan Diploma Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara.

Jelas Encik Mustal, ramai di kalangan pelajar ILP Miri enggan meneruskan pengajian luar dari Sarawak atas faktor tidak mahu berjauhan dari keluarga selain faktor kos dan kewangan.

Oleh yang demikian, penambahan program-program tersebut memudahkan pelajar-pelajar lepasan sijil meneruskan pengajian ke peringkat diploma tanpa perlu pergi jauh ke luar Sarawak.

Selain daripada itu, ILP Miri juga komited dalam membina sikap dan sahsiah pelajar menerusi penerapan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang turut ditekankan oleh pihak industri di alam pekerjaan.

ILP Miri menekankan pembinaan sikap dan sahsiah pelajar ketika di alam pengajian mahupun di alam pekerjaan

Dasar EKSA ILP bertujuan mewujudkan pusat latihan yang selamat, bersih dan mempunyai persekitaran yang menarik untuk program latihan yang berkualiti dengan matlamat untuk sentiasa meningkatkan penambahbaikan berterusan dalam latihan dan pembangunan diri pelajar dan tenaga pengajar untuk menjadi institusi yang terbilang.

Selain itu, ILP Miri juga bercadang untuk mewujudkan Kampus Hijau yang bakal dilaksanakan pada tahun ini (2022).

Tujuannya juga adalah untuk membina sikap, sahsiah dan tingkah laku pelajar dengan menerapkan nilai-nilai pemuliharaan alam sekitar.

Jelas Encik Mustal, inisiatif Kampus Hijau ILP Miri mengandungi tujuh (7) komponen dan antara komponen pertama yang bakal dilaksanakan ialah Kurikulum Hijau.

Antara perkara lain yang turut dikongsikan Encik Mustal ialah pembudayaan Training Cum Maintenance (TCM).

TCM ialah amalan berkaitan penyelenggaraan aset di dalam kampus yang dilakukan sendiri oleh tenaga pengajar dan pelajar tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan kontraktor atau pihak luar.

Amalan tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan kemahiran pelajar dalam bidang yang diceburi dengan mendedahkan mereka kepada situasi bekerja sebagai pendedahan awal sebelum mereka memasuki alam pekerjaan sebenar.

Misalnya, penyelenggaraan alat penyaman udara akan dilakukan oleh pelajar program Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara dan demikian juga halnya untuk aset-aset milik ILP Miri yang terdapat di dalam kampus.

Tambah Encik Mustal, tidak semua kerja penyelenggaraan dilakukan oleh para pelajar kerana ada ketikanya pihak kampus perlu mendapatkan perkhidmatan pihak luar, terutama untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang terdedah kepada bahaya seperti di tingkat tinggi bangunan kampus.

Menurut beliau lagi, amalan TCM mula dipraktikkan sejak tahun pertama beliau berkhidmat di ILP Miri seperti mana yang beliau praktikkan di kampus-kampus ILP lain sebelum ini.

Bagi menjalankan penyelenggaraan aset, anggaran perbelanjaan yang diperlukan adalah sekitar RM300,000 setahun.

Menerusi amalan TCM, pihak kampus menurut beliau dapat mencapai penjimatan sebanyak 60 peratus.

Pembudayaan Inovasi dan Kreativiti

ILP Miri turut menerapkan pembudayaan inovasi dan kreativiti dari segi proses kerja dan latihan dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar.

Produk Welder Arm V1.0 merupakan salah satu produk inovatif yang dihasilkan oleh ILP Miri menerusi cetusan idea pelajar dan tenaga pengajar kursus kimpalan.

Welder Arm merupakan produk inovatif yang dihasilkan oleh pelajar dan tenaga pengajar ILP Miri

Menurut Encik Mustal, Welder Arm berfungsi membantu pengimpal membuat kimpalan dengan posisi lengan yang berada pada sudut darjah yang lebih tepat, seterusnya menghasilkan kimpalan yang lebih kemas.

Welder Arm sesuai untuk pengimpal tahap awal dan yang sudah mahir. Secara praktikal, penggunaan alat berkenaan dapat memendekkan masa latih tubi, asas mengimpal serta dapat menjimatkan bahan latihan.

Hasil daripada projek inovatif tersebut, ILP Miri pernah menjuarai Kategori Inovasi dan Ciptaan Baharu pada Anugerah Crown Prince CIPTA 2017 di Brunei pada tahun 2017 dan Anugerah Emas Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) di Korea Selatan pada 2018.

Welder Arm merupakan produk pertama ILP yang telah dipatenkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan telah pun memasuki pasaran sejak beberapa tahun lepas.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article