- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Klinik Luar Bandar Pertama Menggunakan Sumber Tenaga Hibrid

Must read

Klinik Kesihatan Long Loyang yang terletak di Daerah Baram, Miri menjadi klinik kesihatan pertama di negara ini yang menggunakan sistem hibrid solar-hidrogen sebagai bekalan tenaga yang diperolehi daripada sumber matahari dan air hujan.

Terletak kira-kira 183-kilometer dari bandar raya Miri, klinik luar bandar berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada seramai lebih kurang 2,000 penduduk yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Kenyah.

Sebelum sistem hibrid itu diperkenalkan, operasi harian klinik bergantung pada penggunaan set generator atau ‘genset’ untuk menjana tenaga elektrik.

Sistem yang dibangunkan oleh syarikat HE Energy Sdn Bhd berfungsi membekalkan tenaga elektrik berkapasiti 25 hingga 30 kilowatt (KW) sejam untuk sepanjang masa atau 24 jam dan mampu menampung sehingga beban puncak 2.88 KW.

Bekalan elektrik 24 jam amat diperlukan untuk tujuan pencahayaan dan penyimpanan ubat-ubatan sensitif suhu yang perlu disimpan dalam suhu rendah, bekalan vaksin, defibrillator dan bahan perubatan asas yang lain.

Sistem berkenaan dengan reka bentuk modular berskala kecil boleh menghasilkan bahan api hidrogen daripada elektrolisis yang menggunakan air (takungan air hujan) dan tenaga suria.

Hidrogen yang dihasilkan mampu menjana elektrik melalui ‘fuel cell’ sewaktu ketiadaan sumber tenaga matahari.

Janaan kuasa daripada fuel cell tersebut juga berpotensi menggantikan bateri yang pada ketika ini digunakan di kawasan pedalaman untuk projek di bawah Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES).

Penggunaan sistem hibrid itu juga sesuai untuk lokasi terpencil yang sukar diakses oleh sistem grid elektrik utama di samping dapat menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

Projek rintis tersebut merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MOUT).

Datuk Haji Julaihi serta tetamu-tetamu kehormat yang lain menunjukkan sistem hibrid Modul Solar-Hidrogen (H2E1) yang akan menjana tenaga untuk Klinik Kesihatan Kampung Long Loyang, Baram

Pada Julai tahun ini, projek yang mengambil masa selama empat (4) tahun untuk disiapkan menunjukkan kejayaan apabila mampu membekalkan 25 KW tenaga sepanjang masa setiap hari.

Menurut Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi bin Narawi, projek tersebut dibangunkan selaras dengan hala tuju Sarawak dalam mempromosi tenaga hijau dan eksplorasi bahan tenaga yang dihasilkan menerusi sumber hidrogen.  

Tambah beliau, pelaksanaan projek seumpama itu menekankan betapa perlunya kawasan luar bandar seperti Long Loyang supaya sentiasa berada dalam perhatian Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta agensi pelaksana dalam aspek penjagaan kesihatan, utiliti dan telekomunikasi.

Menerusi penekanan Kerajaan Sarawak terhadap ekonomi mampan termasuk berasaskan hidrogen seperti projek rintis berkenaan, beliau berharap supaya usaha sedemikian dapat membuka pintu kepada aplikasi tenaga hidrogen hijau untuk bekalan tenaga luar bandar yang mesra alam dan mampan.

Menurut beliau lagi, MOUT sentiasa mencari jalan untuk menjangkaui seluruh pelosok negeri bagi menyediakan sistem bekalan elektrik dan air yang dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dengan mereka bentuk modular mudah alih yang boleh digunakan di lokasi luar daripada sistem grid elektrik utama negeri.

Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi bin Narawi hadir merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kajian Rintis Modul Solar-Hidrogen (H2E1) di Kampung Long Loyang, Baram pada 8 Ogos 2022 (Foto UKAS)

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kajian Rintis Modul Solar-Hidrogen (H2E1) di Kampung Long Loyang, Baram pada 8 Ogos 2022.

Yang turut hadir ialah Residen Bahagian Miri, Encik Abdul Aziz bin Mohd Yusuf, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Encik Chang Kuet Sian dan Ketua Bahagian Bekalan Elektrik MOUT, Encik Syed Mohammad Fauzi bin Shahab.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article