- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Pengisian Guru di Sarawak Capai 93.47% Keseluruhan

Must read

Barisan guru yang berkualiti dan mencukupi bagi menampung pertambahan bilangan murid dan kelas diperlukan bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat pendidikan yang terbaik.

Pada masa ini, masalah kekurangan guru untuk subjek-subjek tertentu di kawasan-kawasan pedalaman di negeri ini masih di tahap kritikal. 

Secara keseluruhan, pengisian guru di Sarawak telah mencapai 93.47 peratus, di peringkat sekolah rendah 92.42 peratus dan 95.20 peratus di sekolah menengah selepas mengambil kira penempatan seramai 2,929 orang guru ‘one-off’ dan guru ‘contract of service (COS)’ baru-baru ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Sarawak, YBhg Datuk Dr. Haji Azhar bin Ahmad, pencapaian peratusan tersebut adalah berkat usaha gigih dan keprihatinan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak serta sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr. Haji Azhar bin Ahmad menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Limbang pada 18 Ogos 2022 (Foto JAPEN Sarawak)

Jelas beliau, JPN Sarawak akan terus berusaha untuk mengisi kekosongan perjawatan guru, terutama sekolah-sekolah di sekolah pedalaman.

Pihak JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga telah menyediakan garis panduan khusus untuk menangani isu kekurangan guru buat sementara waktu bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dapat terus dilaksanakan.

Dalam hal ini, beberapa pendekatan diambil termasuk melaksanakan redeployment guru di peringkat daerah, pendekatan kelas bergabung dan pendekatan PdP secara terbeza (differentiated learning) selain memanfaatkan sumber teknologi digital dalam pelaksanaan PdP.

Penambahan guru untuk subjek-subjek tertentu di sekolah-sekolah luar bandar Sarawak diperlukan bagi menampung pertambahan bilangan murid dan kelas

Menyentuh mengenai kemudahan infrastruktur pendidikan, beliau memberitahu, KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti infrastruktur bangunan sekolah, pelbagai kemudahan asas pembelajaran, kuarters guru dan pejabat PPD di Sarawak.

Setakat ini, sebanyak 567 atau 38.9 peratus sekolah di seluruh negeri berstatus daif dengan mengambil kira taraf kemudahan di sekolah seperti bilik darjah, kuarters guru dan kemudahan-kemudahan lain berdasarkan skala 6 dan 7 yang telah ditetapkan KPM dan setelah mendapat pengesahan daripada pihak PPD dan JKR Sarawak.

Salah sebuah sekolah daif di luar bandar Sarawak yang dinaik taraf

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, KPM dan JKR melaksanakan sebanyak 409 projek pembangunan institusi pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan sambungan RMKe-12 melibatkan peruntukan sebanyak RM5.76 bilion termasuk peruntukan RM1 bilion bagi 147 buah projek yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 116 projek telah siap sepenuhnya manakala 126 projek pula dalam peringkat pelaksanaan dan sebanyak 167 projek dalam peringkat pra pelaksanaan.

Datuk Dr. Haji Ahmad memaklumkan perkara tersebut dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 di Dewan Suarah Limbang pada 18 Ogos lepas.

Antara lain, beliau turut menerangkan secara ringkas Pelan Strategik Organisasi JPN Sarawak 2020-2022 yang menggariskan tujuh (7) fokus strategik bagi mencapai matlamat kemenjadian murid yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, membudayakan nilai murni serta bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara melalui sekolah yang berkualiti. 

Dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini juga, JPN Sarawak memberi tumpuan terhadap usaha memantapkan kualiti kepimpinan dan pengurusan di pelbagai peringkat, meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru dan memaksimumkan pembelajaran murid agar golongan tersebut lebih berdikari dalam proses pembelajaran.

Pada masa yang sama, JPN Sarawak juga memberikan penekanan terhadap usaha membentuk sahsiah dan disiplin murid berteraskan nilai murni, memperkembang bakat murid secara holistik, mengukuh jalinan dan penglibatan ibu bapa, komuniti dan agensi luar serta sentiasa berusaha meningkatkan kualiti prasarana dan infrastruktur di semua 1,458 buah sekolah rendah dan menengah serta 30 PPD di seluruh Sarawak.

Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak tahun ini yang bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’ dirasmikan oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Encik Phang Sin Nan (Foto JAPEN Sarawak)

Pesara guru, Encik Phang Sin Nan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru tahun 2022 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan dianugerahkan kepada Dato Sulaiman @ Sulaiman Wak.

Datu Dr. Haji Azhar menyampaikan cenderahati kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari ketika majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2022. Turut kelihatan Datuk Roland Sagah (dua, kanan) (Foto UKAS)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article