- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkhidmatan Awam Sarawak Mendokong Wawasan Sarawak Maju Menjelang 2030

Must read

Anggota perkhidmatan awam Sarawak beriltizam untuk sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan negeri di bawah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg untuk sama-sama mendokong wawasan menjadikan Sarawak maju menjelang tahun 2030.

Demikian jaminan yang dinyatakan Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Dato Sri Haji Mohammad Abu Bakar bin Marzuki ketika menyampaikan ucapan aluan pada sesi Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak yang diadakan di salah sebuah hotel di bandar raya Kuching pada 28 September 2022.

Menurut beliau, penganjuran sesi townhall berkenaan adalah inisiatif Premier Sarawak sendiri yang berhasrat untuk berjumpa dengan rakan-rakan daripada kalangan penjawat awam Sarawak.

Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menjawab soalan ketika Sesi Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak pada 28 September 2022 di Kuching. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Sarawak YB Dato Sri Haji Mohammad Abu Bakar bin Marzuki (kiri)

Tujuannya ialah bagi memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam negeri untuk sama-sama mendengar dan berkongsi pandangan kepada Premier Sarawak bagi memajukan sektor perkhidmatan awam, khususnya dari sudut sumbangan yang boleh anggota perkhidmatan awam berikan untuk mencapai wawasan yang diilhamkan Premier Sarawak untuk menjadikan negeri ini maju menjelang 2030.

Seramai kira-kira 700 anggota perkhidmatan awam dari seluruh negeri dari pelbagai peringkat jawatan termasuk ketua-ketua jabatan, Pegawai Daerah serta Residen menghadiri sesi townhall tersebut.

Sesi soal jawab Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak

Setiausaha Kerajaan Sarawak menegaskan, perkhidmatan awam negeri percaya bahawa hanya melalui semangat kerja berpasukan sama ada dalam sektor awam, kepimpinan politik termasuk masyarakat, wawasan yang diamanahkan dapat dicapai.

Beliau turut menegaskan bahawa anggota perkhidmatan awam di seluruh negeri akan bekerja sebagai satu pasukan tanpa mengira jawatan dan peringkat dalam kerajaan untuk menyokong aspirasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negeri.

Sesi townhall tersebut juga telah menyaksikan Premier Sarawak melancarkan slogan dan logo ‘One Team SCS, An Honour to Serve’ yang baharu.

Seramai lebih 700 penjawat awam dari seluruh Sarawak menghadiri Sesi Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak

Pada sebelah pagi, dua (2) sesi perkongsian bersama Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut diadakan.

Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi bin Razak menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Perkongsian dan Penyebaran Data Digital Dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Memacu Platform Data Raya Negeri’ manakala Pensyarah UNIMAS, Profesor Madya Dr. Shanti Faridah binti Salleh pula menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Sustainability Transition and Climate Change’.

Menerusi kedua-dua perkongsian tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak percaya bahawa ia sedikit sebanyak telah membuka mata dan minda semua penjawat awam yang hadir berkenaan kepentingan perkongsian dan penyebaran data digital dalam perkhidmatan awam dan perubahan iklim.

Dalam perkongsian beliau, Dr. Zaidi menerangkan tentang peranan setiap agensi dan jabatan kerajaan dalam perkongsian data, kepentingan dan standard data serta bagaimana data dapat diolah untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat seperti yang dirancang dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Dr. Shanti Faridah telah berkongsi mengenai kepentingan transformasi kelestarian dan perubahan iklim dalam memastikan pembangunan sosioekonomi dilaksanakan secara mampan bermula dari peringkat perancangan, pelaksanaan hinggalah ke peringkat penilaian sejajar dengan PCDS 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article