- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Sesi Pemeriksaan Bajet Rolling Plan 3 Jabatan Hutan Sarawak (JHS) 

Must read

Sesi Pemeriksaan Bajet Rolling Plan 3 tahun 2023 (RP3), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) ke atas Jabatan Hutan Sarawak (JHS) adalah untuk mengenal pasti status pelaksanaan program atau projek serta prestasi perbelanjaan dalam tahun semasa.

Ini bagi membolehkan pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) meneliti status pelaksanaan serta prestasi projek dalam tahun semasa sebelum meluluskan peruntukan bagi tahun seterusnya

Pengarah JHS, YBhg Datu Hamden bin Mohammad menjelaskan kepada RAKAN Sarawak ketika ditanya sesi pemeriksaan Bajet Rolling Plan 3 tahun 2023 (RP3).

Jelas beliau lagi, ini bagi mengelakkan berlakunya kelewatan dalam pelaksanaan projek dan Jabatan/Agensi seharusnya menilai ketersediaan projek sebelum sesuatu permohonan peruntukan dibuat.

Mengenai prestasi Jabatan tersebut, menurut beliau pada tahun 2022, jumlah peruntukan projek pembangunan di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menurun sebanyak 28.81% berbanding peruntukan pada RP1, tahun 2021 dengan jumlah RM1,038,401,200 kepada RM739,215,900.00 pada RP2, tahun 2022. 

Peruntukan tersebut melibatkan sejumlah 197 projek di mana 68 projek merupakan projek sambungan/sedia dan 19 projek baharu.

Bagi pecahan mengikut sektor, Sektor Sumber Asli telah diperuntukkan sebanyak RM406,760,800 dan Sektor Tenaga sebanyak RM332,455,100. Bagi RP2 Tahun 2022 hanya peruntukan secara langsung diluluskan dan tiada secara pinjaman.

Hasil dari sesi pemeriksaan bajet terbabit, Bahagian Pembangunan, KeTSA berpandangan Sesi semakan Belanja Pembangunan (Budget Screening) dapat dilaksanakan di Jabatan/Agensi masing-masing agar tadbir urus perancangan kewangan dan fizikal program dan projek dapat dibincangkan secara langsung dengan pegawai program dan projek.

Sementara itu pada hari yang sama, lawatan pemantauan projek pembangunan JHS  turut diadakan iaitu Lawatan ke Pangkalan Udara DA4-MPP, Hornbill Hangar, Miri dan  Lawatan ke Projek Heart of Borneo Fasa II (HoB) di Hutan Simpan, Lawas, Sarawak

Taklimat ringkas berkenaan sistem udara DA42-MPP (9M-JHS) disampaikan oleh Ketua Projek, Dr. Affendi Suhaili

Bagi lawatan ke Pangkalan Udara DA4-MPP, Hornbill Hangar, Miri, satu taklimat ringkas mengenai hasil Projek Pembangunan Sistem Cerapan Hiperspektral Secara Turnkey untuk Penguatkuasaan dan Pemantauan Sumber Asli Negara serta Projek Pengembangan Aplikasi Hiperspektral dalam Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli Negara telah disampaikan Dr. Affendi Suhaili, Ketua Bahagian Teknologi dan Geospatial Hutan, Jabatan Hutan Sarawak.

Pihak Jabatan Hutan Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk mengembangkan kepakaran dan perkhidmatan penggunaan dan aplikasi teknologi ini ke Jabatan/Kementerian di bawah KeTSA di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Taklimat ringkas berkenaan operasi keseluruhan pesawat DA42-MPP (9M-JHS) disampaikan oleh Ketua Operasi Layang Layang Aerospace Sdn Bhd, Kapten Irwin Menezes

Taklimat juga turut disampaikan oleh Ketua Operasi iaitu Kapten Irwin Menezes yang mewakili Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd yang memaklumkan kepada pihak KeTSA bahawa Sistem Udara DA42-MPP (9M-JHS) bersiapsiaga memberi perkhidmatan dan beroperasi sepenuhnya di Sarawak malah dapat diterbangkan ke Semenanjung Malaysia dan Sabah sekiranya ada keperluan dan permohonan daripada mana-mana agensi kerajaan.

Pada masa ini, pihak Jabatan Hutan Sarawak masih menunggu alat ganti (replacement) pesawat Diamond DA42-MPP yang telah tiba di KLIA dan dalam proses semakan dan kelulusanoleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bernilai RM3,296,108.24.

Penerangan ringkas berkenaan pesawat disampaikan oleh First Officer En. Jeremy Tng kepada pegawai KeTSA manakala sensor udara/mission equipments dan penggunaannya telah disampaikan oleh Cik Salfa Katira kepada SUB Pembangunan KeTSA

Secara keseluruhannya, taklimat yang disampaikan berkenaan keseluruhan operasi Sistem Udara DA42-MPP (9M-JHS) ini adalah untuk memaklumkan kepada pihak KeTSA bahawa pihak Jabatan Hutan Sarawak telah sedia memberi perkhidmatan dan kepakaran sekiranya terdapat keperluan daripada agensi Kerajaan  di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Keupayaan sistem ini membuktikan bahawa ianya telah berfungsi dengan baik dan menepati objektif yang telah dinyatakan di dalam RMKe-11 terutamanya untuk tujuan khusus untuk Penguatkuasaan dan Pemantauan Sumber Asli Negara serta dapat diguna sama mana-mana agensi kerajaan di Malaysia.

Penerangan mengenai pemprosesan data hiperspektral daripada Sistem Udara DA42-MPP (9M-JHS) telah disampaikan oleh Cik Khadeeja dan Cik Ainazatihanani
Ketua Projek, Dr. Affendi Suhaili memberi penerangan lanjut berkaitan hasil dan keupayaan sistem udara DA42-MPP (9M-JHS)

Manakala bagi lawatan ke Projek Heart of Borneo Fasa II (HoB) di Hutan Simpan, Lawas,  delegasi KeTSA dibawa melawat tapak projek Heart of Borneo Fasa II (HoB) yang terletak di Hutan Simpan, Lawas.

Pihak Jabatan memaklumkan bahawa pusat interpretasi HoB ini akan digunakan juga sebagai pejabat dan galeri perhutanan yang akan mempamerkan dan menyediakan maklumat berkenaan hutan simpan di kawasan tersebut.

Semasa sesi lawatan tersebut, delegasi KeTSA telah diberikan taklimat secara ringkas berkenaan perancangan serta status pengoperasian HoB tersebut.

Secara keseluruhannya, pihak BP, KeTSA melihat pembinaan HoB sebagai pusat interpretasi dapat meningkatkan pengurusan hutan lestari dan memupuk kesedaran awam berkenaan hutan simpan di Negeri Sarawak. Pihak KeTSA mengharapkan agar pembinaan HoB ini dapat disegerakan supaya ianya dapat menjadi pusat tarikan ekopelancongan yang baharu kepada kawasan tersebut.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article