- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerajaan Sarawak Tingkatkan Usaha Budayakan Integriti dan Banteras Rasuah

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak Januari-Mac 2022 –

Statistik yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Penurunan CPI ini harus diberi perhatian yang serius oleh keseluruhan sektor awam negara, bahkan Kerajaan Sarawak tidak pernah berdiam diri dalam usaha mengekang gejala rasuah dan salah guna kuasa di sektor awam.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus mempergiatkan usaha membudayakan integriti, menambahbaik tadbir urus dan membasmi rasuah dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

Teks ucapan beliau telah dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa perasmian Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2022 pada 28 Februari 2022.

Sesi bacaan ikrar semasa Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2022

Dalam usaha tersebut, beliau berharap agar wujudnya kerjasama melalui Unit Integriti dan Ombudsman dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk membangunkan mekanisme pengukuran CPI di peringkat negeri.

Beliau amat yakin, Sarawak kini berada di landasan yang betul kerana telah membina satu asas yang kukuh dengan objektif yang jelas untuk menangani permasalahan rasuah, urus tadbir dan integriti.

Kerajaan Sarawak telah menetapkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan Sarawak selangkah ke hadapan dengan mewujudkan Ombudsman sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kepentingan awam dipelihara.

Usaha pembudayaan integriti ini telah bermula sejak kemerdekaan lagi menerusi Ketua menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada 5 November 1965 semasa ucapan perasmian “Supervision Course for Civil Servants”.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) YB Dato’ Murshid Di Raja Dr. Juanda Jaya menyampaikan ucapan sempena MAPI 2020

Usaha tersebut diteruskan sehingga ke era kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) dengan menyaksikan seluruh anggota kabinet telah melafaz dan menandatangani ikrar integriti pada 15 Januari 2015.

Semasa beliau (Abang Abdul Rahman Zohari) mengambil alih kepimpinan pada mulanya, semua anggota pentadbiran termasuk beliau sendiri telah melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah pada 25 Januari 2017.

Baru-baru ini, setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, sekali lagi beliau bersama semua anggota kabinet telah melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah pada 27 Januari 2022.

Tindakan ini dilakukan agar kerajaan di bawah pentadbiran beliau sentiasa berintegriti, bebas rasuah dan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan simbolik perasmian Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2022

Bagi beliau, kepimpinan bukanlah platform untuk kita mengejar pengaruh, status dan kekayaan sebaliknya, ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul.

Justeru, sokongan padu daripada setiap lapisan masyarakat adalah sangat penting bagi menentukan kejayaan usaha pembudayaan integriti.

Di samping itu, hubungan diantara kerajaan dan rakyat hendaklah sentiasa dipelihara dan dipupuk atas dasar saling memahami dan mempercayai.

Beliau secara peribadi percaya bahawa, dalam sistem kerajaan terbuka berpaksikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti, kita hendaklah sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat keseluruhannya.

YB Dato’ Murshid Di Raja Dr. Juanda Jaya menyerahkan cenderahati kepada YB Datuk Amar Douglas Embas

Oleh itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak berganding bahu untuk sama-sama memajukan Sarawak dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni dan aman damai.

Oleh itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak berganding bahu untuk sama-sama memajukan Sarawak dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni dan aman damai.

Rasuah adalah penyalahgunaan kuasa, perbuatan menumbuk rusuk dan penggelapan wang rakyat yang dihadapi seluruh dunia sehingga menjadi punca jatuhnya negara berkenaan.

Kerana itu, beliau tidak mahu perkara seperti ini berlaku di Sarawak kerana ia dapat memecah belah dan meruntuhkan masyarakat.

Kita percaya bahawa dalam usaha memerangi rasuah, ianya sudah tentu berhubung kait dengan peningkatan sahsiah atau moral individu dan integriti masyarakat.

Integriti adalah kejujuran dan keberterusan dalam melakukan perkara yang betul menurut nilai, kepercayaan dan prinsip seseorang, walaupun ketika tiada orang lain yang melihat.

Integriti bukanlah sesuatu yang sedia ada pada individu sejak lahir, tetapi ianya dibentuk hasil daripada didikan keluarga dan masyarakat sekitar.

Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak amat mengambil berat tentang integriti, justeru usaha pembudayaan integriti akan terus dipergiatkan.

Beliau berharap, setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing dalam menjuarai integriti, bukan hanya menjadikannya sebagai salah satu daripada prinsip dan nilai sahaja, tetapi, juga memastikannya dalam setiap tindak tanduk kita.

Ia diterjemahkan dalam soal memilih pemimpin yang baik dan ikhlas untuk organisasi, memastikan integriti pada rekod dan penyata kewangan, menolak rasuah sama ada dalam mendapatkan kontrak atau pertolongan, dan untuk memberikan maklumat apabila melihat ketidakjujuran berlaku.

Beliau percaya, jika setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing, kita akan menuju ke arah menurunkan CPI dan rasuah itu sendiri serta mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.

RAKAN 1Q2022-12
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article