- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Merangka Strategi Baharu Penyediaan 500,0000 Rumah Mampu Milik

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak Januari-Mac 2022 –

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob, strategi tersebut akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju perumahan swasta.

Beliau memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat MPMMN yang dilangsungkan secara dalam talian pada 10 Februari lepas.

Mesyuarat MPMMN pada Februauri 2022 juga membincangkan bagaimana Bank Negara Malaysia (BNM) perlu melihat kembali model pembiayaan perumahaan bagi membantu golongan B40 dan M40 memiliki rumah

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Gabenor Bank Negara, YBhg Tan Sri Nor Shamsiah binti Mohd Yunus serta beberapa orang Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan.

MPMMN merupakan platform untuk membincang dan menyelaras hala tuju perancangan, pelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara selari dengan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa perkara berkaitan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) telah ditetapkan.

Hala tuju baharu berkenaan akan mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

Penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik akan dilaksanakan di bawah RMK-12

Antaranya ialah, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses internet seperti ‘fibre to the home’ (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan komited dalam memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Tambah beliau, melalui kempen pemilikan rumah ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), usaha berkenaan bertujuan untuk melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan dan pembiayaan perumahan termasuk program yang dapat membantu Keluarga Malaysia memiliki rumah kediaman sendiri.

Kerajaan komited dalam memastikan generasi muda dan golongan B40 berpeluang memiliki kediaman sendiri melalui pelbagai program dan strategi

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan tentang keperluan untuk Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan mempermudahkan pinjaman perumahan untuk golongan B40 dan M40.

Dalam hal ini, mesyuarat mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi subsidi dan Kerajaan Negeri menyediakan tanah.

Manakala pihak bank pula mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Langkah berkenaan adalah selaras dengan komitmen kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar-bandar kecil dan pinggir bandar sebagai usaha meningkatkan peluang golongan B40 membeli rumah.

Selain itu, isu peningkatan kos bahan binaan seperti besi dan keluli serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

RAKAN 1Q2022-16
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article