- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

BIWWEC Bantu Tingkatkan Sistem Pengurusan Air Serta Air Kumbahan

Must read

Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022 adalah satu platform untuk berbincang serta berkongsi idea berkaitan inovasi termasuk teknologi baharu daripada kedua-dua industri tempatan dan antarabangsa.

Penganjurannya BIWWEC 2022 adalah selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangun serta menambah baik pengurusan air serta air kumbahan di negeri ini sekali gus bagi merealisasikan visi kerajaan Sarawak untuk membawa perubahan kepada sistem perairannya.

Bertemakan “Kelestarian dan Ketahanan Melalui Teknologi Pintar dan Inovasi”, BIWWEC 2022 telah membuka tirainya pada 17 Oktober dan akan melabuhkan tirainya pada 19 Oktober 2022.

BIWWEC yang dianjurkan oleh Persatuan Air Malaysia (MA) Cawangan Sarawak adalah kali yang ke-5 diadakan sejak 2011 dan ia merupakan satu-satunya persidangan air dan sisa kumbahan di Borneo yang diadakan dua tahun sekali.

Pada kali ini, BIWWEC 2022 menampilkan sebanyak 30 orang penceramah yang membahaskan pelbagai topik pada sesi ‘townhall’, pameran 40 jenis produk dan perkhidmatan sekali gus mendidik orang ramai tentang pelbagai teknologi baharu yang mungkin bermanfaat untuk industri air di Sarawak.

Perkongsian daripada salah seorang panel sempena BIWWEC 2022

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, BIWWEC dianjurkan kerana menyedari Sarawak menghadapi pelbagai cabaran berhubung pengurusan air termasuk dalam bidang kebolehcapaian dan ketersambungan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara digital.

Justeru, beliau berharap agar perkongsian kepakaran oleh ahli-ahli panel dari dalam dan juga luar negara akan dapat diguna pakai bagi menambah baik sistem pengurusan air di Sarawak.

Selain itu, beliau turut berharap BIWWEC 2022 ini akan mewujudkan sistem bekalan air yang boleh dipercayai, ekonomi dan mampan di seluruh Sarawak serta meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Suasana di ruang pameran
Sistem Paip Plastik Sirim Eco 054:2016 untuk paip berprofil Floline 3W High Density Polyethylene (HDPE) yang dicipta oleh WEIDA

Beliau berkata demikian semasa hadir untuk menyempurnakan Majlis Perasmian BIWWEC 2022 yang diadakan di Hotel Imperial Kuching pada 17 Oktober 2022.

Penganjuran BIWWEC ini amat bertepatan dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk mempunyai 100 peratus bekalan air bersih bagi rakyat Sarawak dengan data terkini menunjukkan bahawa Sarawak hanya kekurangan 16.4 peratus pencapaian liputan penuh bekalan air di seluruh Sarawak.

Difahamkan, keseluruhan liputan bekalan air kini pada 83.6 peratus dengan 99 peratus liputan untuk kawasan bandar dan 66.9 peratus bagi kawasan luar bandar.

Suasana di ruang pameran
Antara produk (Electrofusion Units MSA 330 MSA 340) yang dipamerkan

Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan pelbagai program bagi mencapai matlamat berkenaan termasuk Program Grid Air Negeri dan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Manakala bagi air kumbahan, Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan beberapa sistem pengurusan air sisa berpusat untuk bandar dan bandar utama di Sarawak.

Justeru, acara seperti BIWWEC 2022 ini wajar dilaksanakan kerana ia berfungsi menyediakan platform yang membina dan berfaedah untuk membincangkan serta melahirkan inovasi termasuk teknologi baharu daripada kedua-dua industri tempatan dan antarabangsa.

Persidangan BIWWEC 2022 ini telah ditaja oleh beberapa buah syarikat terkemuka antaranya Ibraco Berhad, Pansar Berhad, WEIDA Resources, Empayar Setia, Group Engineers Malaysia, AFC Valves, Exxor Technologies, Weidasar, Cipta Wawasan Maju, Krah Grande, SNA Consult, Mirecont, Taliworks Corporation, Water Engineering Technology, D.A.L. Keluarga Realty dan Ken Seng Line Stopping.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article