‘Belia Peneraju Masa Depan Sarawak’ merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang telah berlangsung di Dataran Perayaan, Petra Jaya Kuching bermula daripada 19 Oktober (Rabu) sehingga 22 Oktober 2022 (Sabtu).
Objektif sambutan adalah untuk meraikan sumbangan dan penglibatan belia kepada pembangunan negeri selain bertujuan untuk meningkatkan semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan para belia dan pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh peringkat Negeri Sarawak.
Sambutan Hari Belia pada kali ini menyasarkan kehadiran lebih 2,000 orang daripada sekolah-sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Pertubuhan Belia dan Sukan serta orang awam.
Antara acara utama adalah penyampaian Anugerah Belia Negeri individu (lelaki dan wanita) dimana masing-masing mereka akan menerima RM5, 000 dan Anugerah Belia Negeri (persatuan) yang akan menerima RM10, 000 dan RM 7,000.
Antara pengisian program pula termasuk Sarawak X-Tive (E-Sports, Extreme Game Demo, Sukan Kreatif Moden, Sukan Rakyat, Youth Fitness Blast dan Youth Wall Climbing; Belia Got Talent (Youth Voice dan Youth Dance); Belia Showcase; Perkhemahan Belia (Pengakap dan Pandu Puteri); dan Pameran Agensi.
Sehubungan itu, simbolik pelancaran Sambutan Hari Belia 2022 Peringkat Negeri Sarawak akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 22 Oktober 2022 (Sabtu).