- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Regata Sarawak Buka Ruang Usahawan Promosi Produk Niaga

Must read

Semasa tinjauan ke Sarawak Kitchen 2022 sempena Regata Sarawak pada 29 Oktober (Jumaat), RAKAN Sarawak berkesempatan menemu bual pemilik BurgerDotcom, Mohamad Sharizal, 39, yang berasal dari Lutong, Miri.

Mohamad Sharizal memberitahu, antara faktor utama yang mendorongnya mahu mengambil bahagian sempena Regata Sarawak kali ini adalah kerana dia ingin mempromosikan BurgerDotcom yang telah dibuka di Best Time Café, Kuching sejak lebih dua (2) bulan yang lalu.

Sebanyak 32 gerai makanan dan minuman yang boleh dikunjungi di Sarawak Kitchen 2022

Dengan adanya penglibatan mereka di Sarawak Kitchen kali ini, Sharizal berharap orang ramai mula tahu akan kewujudan BurgerDotcom di Kuching.

Sharizal memberitahu, daripada lebih 100 individu yang memohon untuk berniaga di Sarawak Kitchen, hanya 32 individu yang dipilih, maka sudah tentu mereka sangat gembira dan bersyukur kerana peluang yang telah diberikan itu.

Di Miri mereka juga sering tidak melepaskan peluang untuk berniaga di Bazaar Ramadhan setiap tahun kerana pada masa itulah mereka boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan.

Pemilik BurgerDotcom, Mohamad Sharizal
Antara kakitangan BurgerDotcom yang terlibat di Sarawak Kitchen
Kecekapan BurgerDotcom menyiapkan pesanan pelanggan

Semasa Bazaar Ramadhan, BurgerDotcom akan mula beroperasi pada pukul 2 petang hingga 6.30 petang (kadang-kadang belum pukul 6, jualan mereka sudah habis) dan mereka mampu meraih pendapatan sekitar RM3, 000 hingga RM4, 000 sehari.

Sempena Sarawak Regata ini, BurgerDotcom menggunakan konsep ‘Roti John’ dengan menampilkan menu seperti Roti John Biasa, Roti John Special, Roti John Special Cheese Tarik, Roti John Special Cheezy dan Roti John Special Snow Cheese.

Sharizal memberitahu, setakat hari yang pertama, perniagaan mereka mendapat sambutan yang sangat positif daripada pengunjung-pengunjung yang datang ke Sarawak Kitchen.

Sudah tentu, dia mengharapkan pendapatan sempena Sarawak Regata lebih memberangsangkan kerana ini adalah kali pertama mereka berniaga di festival yang besar seumpama ini.

Menurut Sharizal, dia telah memulakan perniagaan burger sejak 2005 di Lutong, dan kini dia telah berjaya membuka dua (2) buah lagi gerai burger bertempat di nasrCafe Miri dan di Best Time Café Kuching.

BurgerDotcom Lutong dibuka dari pukul 3 petang hingga 11 malam; BurgerDotcom City yang terletak di nasrCafe Miri dibuka dari pukul 4 petang hingga 12 malam; dan BurgerDotcom Best Time Café dibuka dari jam 4 petang hingga 12 malam.

Dia terdorong untuk membuka gerai di Best Time Café Kuching apabila mendapat permintaan daripada kenalan, rakan-rakan dan pelanggan-pelanggan yang pernah merasakan kelazatan burger beliau.

Setakat ini, perniagaan BurgerDotcom di Miri berjalan dengan baik kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan sejak ia dibuka secara kecil-kecilan di Lutong sehinggalah ia dibuka di lokasi kedua iaitu nasrCafe Miri

Menceritakan pengalaman yang dilalui semasa pandemik COVID-19, dia memberitahu, di kala ramai peniaga kecil-kecilan gulung tikar, sebaliknya perniagaannya terus berjalan dengan lancar kerana dia  terus aktif mempromosikan BurgerDotcom menerusi media sosial seperti Facebook (FB).

Dia juga menggunakan khidmat Food Panda dan Grab Food untuk menghantar burger yang dipesan oleh pelanggannya.

Jadi, dia menganggap pandemik COVID-19 tidak terlalu memberi kesan buruk kepada BurgerDotcom kerana dia masih dapat menjalankan perniagaan seperti biasa dari rumah.

Salah satu kejayaan yang sangat mengagumkan ialah apabila Sharizal memberitahu bahawa BurgerDotcom kini mempunyai 12 pekerja dan dari segi pendapatan BurgerDotcom, untuk satu hari mereka boleh meraih pendapatan dari RM1,800 hingga RM2,000.

Selain Shahrizal, RAKAN Sarawak juga berkesempatan menemu bual pengusaha Pakaian Tradisional Sabah, Puan Sarah Magtotor, 52 yang berasal dari Tawau, Sabah.

Pengusaha Pakaian Tradisional Sabah, Puan Sarah Magtotor

Puan Sarahmemberitahu RAKAN Sarawak bahawa dirinya sangat teruja apabila berkesempatan datang ke Kuching untuk menjalankan perniagaan sempena Sarawak Regata 2022.

Dia memberitahu antara faktor yang mendorongnya untuk datang ke Regata Sarawak walaupun harga tiket penerbangan sangat mahal adalah kerana dia mahu memenuhi permintaan daripada kenalan, kawan-kawan usahawan dan pelanggan-pelanggannya yang ada di Sarawak.

Bercerita kepada RAKAN Sarawak, Puan Sarah memberitahu dirinya telah mula berkecimpung dalam bidang jahitan pakaian tradisi Sabah sejak 2012 dan sebelum menceburkan diri dalam bidang jahitan, dia pernah bekerja selama 15 tahun (1995 – 2010) dalam bidang landskap (landscaping).

Antara jenis-jenis pakaian tradisional lelaki yang terdapat di booth Puan Sarah
Pengunjung sedang mengunjungi booth Pakaian Tradisi Sabah

Puan Sarah mengakui, dia sebenarnya mempunyai sijil menjahit yang diperolehinya pada tahun 1990, namun dia hanya menjahit langsir dan menjualnya di pasar tamu secara sambilan sahaja.

Namun apabila anak lelakinya bakal berkahwin dengan perempuan berbangsa Kadazan Dusun, dia terpaksa menjahit sendiri baju tradisional Kadazan Dusun buat kali pertama untuk anak lelakinya itu, dan sejak detik itu, maka timbullah minatnya untuk menjahit baju tradisional Sabah.

Menurut Puan Sarah, baju tradisional yang paling mendapat sambutan adalah Pakaian Tradisional Suku Kaum Kadasan Dusun iaitu Tindal Kota Belud.

Namun katanya, menjahit baju tradisional Kadazan Dusun memang lain daripada yang lain kerana ia agak mencabar disebabkan beberapa helaian renda berwarna merah dan kuning perlu dijahit tangan pada bahagian tertentu baju, dan ia perlukan penelitian untuk kekemasan.

Kemudian, ‘siling’ yang dikait pula berharga RM60/meter dan biasanya untuk baju perempuan, 10 meter (RM600) diperlukan.

Harga tersebut belum lagi termasuk kain dan jahitan yang lain, bermakna kos untuk satu set baju perempuan adalah dalam RM800 – RM1, 000 manakala baju lelaki hanya dalam RM500 sahaja.

Puan Sarah bersyukur kerana setakat ini, perniagaannya berjalan dengan sangat baik apatah lagi dia selalu menerima tempahan daripada pelanggan-pelanggannya termasuk daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana persatuan.

Boleh dikatakan setiap minggu beliau menerima tempahan daripada pelanggan  dan menurut Puan Sarawak, pendapatannya jika ada festival seperti ini, boleh mencecah sehingga RM20 ribu sebulan.

Puan Sarah enggan mencari pembantu kerana dia mahu 100% produk yang dihasilkan adalah hasil kerja tangannya sendiri kerana dia ingin menjaga kualiti produk yang dihasilkan.

Puan Sarah tidak menafikan pelbagai cabaran harus didepani bagi sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan terutamanya bidang jahitan sepertinya.

Setiap kerja yang dilakukan harus dibuat dengan teliti dan tidak boleh dibuat dengan ala kadar atau sambil lewa kerana perhatian harus diberikan sepenuhnya terhadap apa yang diusahakan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article