- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022

Must read

Idea Bina Negara (IBN) disifatkan sebagai sebuah platform digital yang membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023.

Dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian.

Hal ini disebabkan anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan dengan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato ’Sri Ismail Sabri Bin Yaakob semasa berucap pada Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) yang diadakan pada 4 Oktober 2022 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Kedatangan Perdana Menteri Majlis IBN di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam disambut meriah
Perdana Menteri menyampaikan amanat semasa Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) pada 4 Oktober 2022

Jelas beliau, program yang berslogankan ‘Ini Suara Kita’ menjadi identiti IBN bagi memastikan input suara belia dan anak muda didengari dan meningkatkan semangat patriotik dan nasionalisme agar Malaysia menjadi lebih progresif.

Beliau percaya, inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan mereka kepada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau difahamkan, aplikasi IBN yang telah dibangunkan ini telah menerima lebih daripada 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara.

Sesungguhnya beliau amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar iaitu sebanyak 57.9 peratus adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun.

Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi ini, ia akan membantu Kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak-anak muda.

Sesungguhnya, Kerajaan amat memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia.

Tegas beliau “Suara anak muda Malaysia’ kami dengar, kami cakna dan kami santuni” apatah lagi melalui analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (Artificial Intelligence) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN ini bersifat positif dan sangat membina.

Sesi dialog anak muda bersama Perdana Menteri

Menurut beliau, sebanyak 12 peratus anak muda telah menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin.

Justeru, Kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini lebih-lebih lagi, terdapat 46.2 peratus anak muda yang memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Sehubungan itu, Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

Kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Malah, peruntukan RM4.8 bilion telah disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia.

Kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan kadar minimum Elaun Sara Hidup (ESH) dari minimum RM650 ke maksimum RM950 sebulan bagi pelajar dalam negara dan minimum RM1,380 sebulan ke maksimum RM7,600 sebulan bagi pelajar luar negara dari pelbagai peringkat pengajian.

Penyampaian hadiah kepada pemenang Idea Anak Muda
Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022

Kerajaan turut mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta menerusi Program ePemula iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang dimanfaatkan oleh golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi.

Beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara telah dilaksanakan menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi baharu, lengkap dengan rangkaian 4G serta memastikan hampir 4,000 premis dilengkapi dengan gentian optik.

Bagi memenuhi kehendak era Pendidikan 5.0 serta mendorong budaya kerja cemerlang, kreatif dan inovatif, Kerajaan akan memastikan kemudahan dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa dinaik taraf dengan pelbagai pembaharuan.

Perdana Menteri yakin, dengan mengambil cakna terhadap suara, solusi, dan aspirasi anak muda kepada Kerajaan, kita mampu untuk bersama-sama menjayakan agenda besar pemulihan negara.

Anak-anak muda pada hari ini mempunyai idealisme yang sangat penting untuk pembangunan negara
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article