- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pendidikan Melahirkan Generasi Baharu Seimbang

Must read

Pandemik COVID-19 yang berlaku lebih dua tahun lalu telah mengakibatkan perubahan drastik terhadap sistem pendidikan negara apabila sekolah-sekolah terpaksa ditutup sehingga memberi kesan mendalam kepada murid-murid dan guru-guru serta ibu bapa.

Guru juga berperanan sebagai ibu bapa kepada murid-murid, demi menjaga keselamatan dan kebajikan mereka

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 telah mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), daripada secara bersemuka kepada pembelajaran dari rumah (home-based learning), yang ternyata menunjukkan semua pihak tidak bersedia dengan norma baharu pembelajaran itu.

Pelbagai kekangan telah dihadapi oleh murid-murid manakala pihak guru pula berdepan dengan kesuntukan masa untuk menyedia dan menyusun kaedah PdP mengikut kesesuaian guru dan murid termasuk PdP secara dalam talian.

Perkara ini disentuh oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob semasa berucap pada majlis Perhimpunan Khas Bersama Seluruh Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE pada 1 Oktober lepas.

Suasana semasa majlis Perhimpunan Khas Bersama Seluruh Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE pada 1 Oktober 2022

Beliau tidak menafikan, ramai dalam kalangan guru yang membelanjakan wang poket sendiri bagi memastikan anak-anak murid mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Selain itu, ada di kalangan para guru terpaksa menjadi ‘bread winner’ atau ‘ketua keluarga’ apabila suami atau isteri mereka sendiri ada yang turut kehilangan pekerjaan.

Dalam keadaan seperti ini, beliau amat terharu kerana ada guru-guru yang sanggup mengorbankan masa dan keringat, merangka pembelajaran bersesuaian yang sememangnya di luar norma semasa pandemik COVID-19 demi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia mendapat pendidikan yang sesempurna mungkin.

Warga pendidik di negara ini berdepan pelbagai cabaran dalam mendidik anak bangsa menjadi warga berguna

Beliau menegaskan bahawa sesungguhnya, Kerajaan amat menghargai pengorbanan semua guru justeru, beliau ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas komitmen yang padu diberikan kepada profesion para guru.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa masa depan negara terletak di tangan generasi muda yang menerima didikan guru-guru yang memikul tanggungjawab untuk melahirkan warga Keluarga Malaysia yang kreatif, inovatif sehingga mampu bersaing di pentas dunia.

Oleh itu, beliau berharap agar guru-guru terus memainkan peranan yang diberikan dengan berkesan walaupun berdepan pelbagai cabaran, yang adakala membuat guru-guru berasa Lelah dan kecewa seolah-olah usaha mereka tidak disokong serta dihargai.

Pada masa yang sama, beliau menyeru kepada semua ibu bapa supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada guru dan pihak sekolah dalam menjayakan usaha mereka meningkatkan pencapaian akademik atau kokurikulum anak-anak.

Peranan yang dimainkan oleh guru amat penting dalam mencapai aspirasi dan matlamat sekolah

Sewajarnya, ibu bapa menggunakan saluran yang betul untuk mengatasi sebarang masalah berbangkit, sekali gus membantu menaikkan semangat dan motivasi guru-guru dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Jelas beliau, Kerajaan sentiasa mengambil serius kebajikan setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memastikan tiada siapa yang dipinggirkan, termasuk guru-guru sebagai pendidik bangsa dan negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah meneliti rayuan NUTP agar guru-guru Gred DG41 hingga DG54 dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja asalkan mereka bukan pentadbir sekolah atau institusi pendidikan serta Pejabat pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Warga pendidik sentiasa komited untuk memberikan terbaik dalam melahirkan pewaris generasi masa depan negara

Setelah melakukan penelitian dan pertimbangan secara serius, Kerajaan pada 14 Jun lalu secara rasmi telah memberikan kebenaran kepada guru-guru untuk berbuat demikian sambil turut menikmati manfaat sebagai ahli kesatuan.

Semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 31 Ogos lalu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah mengumumkan satu insentif yang eksklusif untuk guru-guru iaitu tambahan kadar cuti Rehat Khas sebanyak lima hari bagi mereka yang berkhidmat melebihi 10 tahun, menjadikan keseluruhan Cuti Rehat Khas guru-guru sebanyak 15 hari setahun.

Beliau difahamkan bahawa saranan peningkatan jumlah Cuti Rehat Khas guru-guru ini juga adalah agenda penting dalam perjuangan NUTP semasa Mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan amat memandang serius dengan isu buli dan untuk menanganinya, Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan menambah baik prosedur kes gangguan seksual dan buli di Institut Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan telah ditubuhkan.

Jawatankuasa Khas ini yang dianggotai lapan tokoh dan pakar berpengalaman termasuklah Presiden NUTP Malaysia sendiri, akan meneliti dokumen berkaitan prosedur pengendalian kes buli dan gangguan seksual serta mengenal pasti dan menentukan cadangan tadbir urus yang bersesuaian.

Selain itu, Jawatankuasa Khas ini juga akan mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang boleh diambil oleh Kementerian Pendidikan dengan laporan dan perakuan dikemukakan kepada Menteri Kanan pendidikan pada bulan Disember 2022.

Selain itu, beliau turut memberi perhatian terhadap isu-isu yang melibatkan guru-guru termasuk isu kadar bayaran Pengawas Peperiksaan Awam dan juga kadar bayaran Pemeriksa Kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak setimpal dengan keadaan semasa.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga sedang berusaha mengatasi pelbagai isu yang membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan, elaun penolong kanan sekolah yang perlu dikaji semula dan kekurangan guru yang harus diatasi segera.

Kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 buah sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Situasi pembelajaran di salah sebuah sekolah di Miri

Kerajaan melalui KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan sistem secara menyeluruh bagi memastikan tugas guru dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisien.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberitahu bahawa beliau telah menerima cadangan-cadangan daripada NUTP untuk menyelesaikan isu-isu guru-guru dan pegawai-pegawai pendidikan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article