Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching yang ditubuhkan pada tahun 1983 diiktiraf sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tertua di Sarawak.
Matlamat penubuhan IKM Kuching adalah untuk melahirkan modal insan yang seiring berasaskan industri serta tekno-usahawan yang berjaya sejajar dengan keperluan negara.
Antara objektif penubuhannya adalah untuk membentuk modal insan TVET yang holistik dan seimbang berteraskan Agama, Inovatif, Kemahiran dan Keusahawanan atau dalam Bahasa Inggeris iaitu Religious, Innovative, Skills and Entrepreneurship (R.I.S.E).
Selain itu, IKM MARA Kuching juga berhasrat untuk menjadi pemangkin dalam revolusi teknologi bagi Meningkatkan daya saing; Membentuk tadbir urus korporat TVET MARA yang mampan dan dinamik; dan Menjadi institusi pendidikan TVET yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Daripada asalnya dikenali sebagai “sekolah tukang” ketika zaman RIDA iaitu pusat latihan yang melahirkan pekerja mahir dalam sesuatu bidang, pendidikan kemahiran MARA terus berevolusi dengan menawarkan latihan sejajar dengan tuntutan industri dan keperluan pembangunan ekonomi negara.
Berbekalkan pengalaman hampir empat (4) dekad, IKM Kuching telah melahirkan seramai 13, 149 graduan di mana 90% daripadanya adalah terdiri daripada anak Sarawak.
Maklumat ini dikongsikan oleh Pengarah IKM MARA Kuching, Puan Nur Azlina binti Abdul Mutalib ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.
Menurut beliau, IKM Kuching merupakan sebuah institusi TVET di peringkat tertiari yang terletak di bawah agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA), seterusnya di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Penglibatan MARA dalam bidang TVET adalah kesinambungan dari zaman RIDA di mana usaha MARA menubuhkan IKM pertama di Melaka pada tahun 1968 boleh disifatkan sebagai pencetus kepada wujudnya pendidikan teknikal negara berteraskan keperluan industri.
Walau bagaimanapun, cabaran utama MARA pada ketika itu bukanlah sekadar kesukaran untuk membangunkan institusi pendidikan berteraskan kemahiran yang terawal semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu adalah untuk mengubah paradigma Bumiputera pada dekad awal kemerdekaan.
Tambah beliau, TVET MARA telah berkembang dengan mempunyai pelbagai peringkat pengajian iaitu bermula dari Sijil, Diploma sehinggalah ke peringkat Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran melalui GIATMARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Terdapat sepuluh (10) Program yang ditawarkan di IKM MARA Kuching iaitu;
- Sijil Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri)
- Sijil Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa)
- Sijil Teknologi Kejuruteraan Automatif
- Sijil Teknologi Baikpulih Badan Kenderaan
- Sijil Teknologi Kimpalan
- Sijil Teknologi Kejuruteraan Marin
- Sijil Teknologi Bangunan
- Diploma Teknologi Automatif (4WD)
- Diploma Kompetensi Elektrik (Pendawai PW4)
- Diploma Kompetensi Kimpalan
Kesemua program ini telah mendapat pengiktirafan MQA, JPK manakala untuk Program Elektrik, ditambah dengan pengiktirafan oleh Suruhanjaya Tenaga dan juga Sarawak Electrical Inspectorate Unit (EIU).
Beliau turut memaklumkan berkenaan pengambilan pelajar yang dibuat secara dua kali dalam setahun iaitu pada bulan Januari dan Julai, seterusnya permohonan kemasukan ke IKM adalah secara dalam talian (online) menerusi laman sesawang www.tvetmara.edu.my atau www.upu.mohe.edu.my.
Antara kemudahan yang disediakan di IKM MARA Kuching ialah bengkel-bengkel untuk setiap program yang ditawarkan, asrama pelajar, dewan makan, dewan besar dan juga surau.
Di bangunan integrasi pula terdapat kelas-kelas yang terdiri daripada smartclass, empat (4) buah makmal komputer, sebuah auditorium dan pusat sumber.
Di IKM MARA Kuching juga terdapat kemudahan sukan dan rekreasi seperti padang bola, padang petanque, futsal, gelanggang serba guna dan aktiviti seni dan kebudayaan.