- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Perkenal Program Selari Agenda Hijau Sarawak

Must read

SIRIM di saran membantu memperkenalkan lebih banyak program-program terkini selari dengan keperluan serta agenda yang dirancangkan oleh Kerajaan Sarawak.

Demikian hasrat Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan Makmal Gas Domestik dan Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman Antara SIRIM dan SEDC.

Teks ucapan Premier Sarawak dibaca oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi Bin Narawi.

Jelas Premier Sarawak, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah pro-aktif, untuk merangka  pelan Post Covid Development Strategy (PCDS) 2030 bagi menangani cabaran pembaharuan ekonomi Sarawak untuk bergerak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun berkenaan.

Antara asas penting di bawah PCDS, tegas beliau ialah Pelan Tindakan  Lestari Sarawak atau Sustainable Sarawak Blueprint yang dibangunkan bagi membimbing agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti dalam mencapai matlamat kelestarian alam sekitar Sarawak.

SIRIM yang telah bertapak lebih 40 tahun di Sarawak boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong  pelan ‘Post Covid Development Strategy (PCDS) 2030’ Sarawak termasuk  rancangan negara ke arah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan mengurangkan kadar intensiti pelepasan gas (GHG) sebanyak 45 peratus

Menurut Premier Sarawak lagi, Agenda Hijau Sarawak akan memberi penekanan kepada dasar pengurusan hutan lestari serta penggunaan inovasi dan teknologi baharu untuk memastikan Sarawak mencapai matlamatnya dalam pengurusan sumber yang mampan.

Pada masa yang sama, ini juga menyokong inisiatif dan rancangan negara ke arah penerapan elemen pengendalian dan amalan baik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan mengurangkan kadar intensiti pelepasan gas (GHG) sebanyak 45 peratus.

Sarawak juga jelas beliau akan membangunkan pelan induk bagi membangunkan bandar pintar Kuching untuk menjadikan Bandaraya Kuching sebagai lokasi pertama dibangunkan dengan mobiliti rendah karbon dan infrastruktur bandar pintar yang menerapkan konsep kelestarian alam sekitar.

Sarawak sudah menetapkan hala tuju dengan memfokuskan kepada tiga (3) sumber tenaga hijau bersin iaitu tenaga hidro, tenaga solar dan hidrogen.

Premier Sarawak memperakui peranan yang dimainkan SIRIM atas sumbangan yang bermakna terhadap pembangunan industri di Sarawak sejak lebih 40 tahun yang lalu. SIRIM sangat proaktif dalam pembangunan pelbagai industri di Sarawak, seperti industri besi, perkayuan, elektrik, termasuk minyak dan gas.

Beliau amat tertarik dengan usaha pihak SIRIM yang telah membangunkan SIRIM Carbon Calculator, yang berfungsi untuk mengira jejak karbon daripada produk industri yang  pasti sekiranya inisiatif ini digunakan di Sarawak ia akan dapat membantu Sarawak memantau kesan pencemaran alam sekitar di negeri ini.

Beliau berharap agar Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak (MUT), SIRIM dan SEDC terus dan mengukuhkan lagi kerjasama dalam usaha merancakkan dan memberi nilai tambah semua sektor industri di negeri ini ke arah pertumbuhan ekonomi di Sarawak yang lebih berdaya saing. 

Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan insentif dan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan usahawan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini memasuki pasaran eksport.

Kumpulan ini digalakkan untuk membentuk usaha sama dengan pelabur asing, serta mengambil bahagian dalam industri hiliran, menyokong industri perkayuan, minyak dan gas, kelapa sawit, industri tenaga, segmen halal dan juga sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Berkaitan dengan majlis ini pula, Premier Sarawak menyifatkan kejayaan membangunkan makmal Dapur Gas Domestik, bertempat di Kompleks SIRIM Sarawak di Demak dapat  membantu kerajaan Sarawak merancakkan lagi pembangunan industri gas terutamanya melibatkan isu kepenggunaan dan isu keselamatan pengguna.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article