- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Jalan Seksyen Selangau LPBS Dibuka Secara Rasmi

Must read

Jajaran Selangau sepanjang 27 kilometer bernilai RM588 juta dan ia merupakan jajaran dalam pakej kerja 08 yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada daripada Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67km yang mula dibina sejak November 2016.

Skop pembinaan jajaran ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan yang sedia ada, pembinaan tujuh (7) buah jambatan, 19 buah hentian bas dan sebuah persimpangan bertingkat di mana kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 14 November 2022.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob pada 14 November 2022 telah merasmikan Pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (WPC08) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPBS).

Perdana Menteri bersama Premier Sarawak merasmikan Projek Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer yang kini dibuka secara rasmi

Projek ini telah membuka peluang kepada penduduk di sekitar ini terlibat sama sebagai perunding, pembekal atau kontraktor dalam memacu ekonomi tempatan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyumbang kepada pembangunan Negeri Sarawak.

Perdana Menteri menyifatkan projek yang dirancang rapi dan bersifat holistik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf sebagai sebuah negeri maju.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof berkata, dengan menaiktaraf jalan sedia ada dari satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala akan membantu memudahkan aliran trafik antara Sibu ke Bintulu.

Selain itu, penduduk di sepanjang jajaran iaitu Bandar Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian turut mendapat faedah infrastruktur jalan raya yang lebih baik, selesa dan selamat hasil daripada pembinaan jalan ini.

Jelas beliau, Projek LPBS Jalan Seksyen Selangau yang telah bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan RM588 juta itu kini telah dibuka sepenuhnya pada hari ini, 14 November 2022 (Isnin).

Beliau turut menyifatkan Projek LPBS yang dilancarkan pada Mac 2015 merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menambah baik jaringan jalan raya sedia ada di Sarawak dari Sematan ke Miri dan Limbang ke Lawas.

Bermula dari perancangan rapi berpandukan Highway National Development Planning (HNDP), kerjasama erat oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak telah membuahkan hasil dengan pembinaan Projek LPBS di sepanjang jajaran Asian Highway 150 (AH150) yang menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan.

Kerajaan Persekutuan tetap dengan komitmen sebelum ini untuk meneruskan Projek LPBS serta projek-projek lain di Sarawak yang kini sedang giat dilaksanakan, dan semua lapisan rakyat akan menggunakan kemudahan jaringan LPBS ini tanpa perlu membayar tol.

Projek Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer dipancarkan ke arah skrin

Berhubung dengan perkembangan terkini LPBS, beliau memberitahu, Fasa 1 yang telah bermula pada Oktober 2015, meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 km dari Telok Melano ke Miri.

Beberapa jajaran yang telah siap dan sedia untuk digunakan oleh orang ramai antaranya adalah:

  1. Pakej Telok Melano ke Sematan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019;
  2. Seksyen Jambatan Batang Rajang dan Seksyen Julau bagi Pakej Kerja 07, Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau telah siap pada 9 Oktober 2021 dan 28 Oktober 2021;
  3. Seksyen Serian bagi Pakej Kerja 03, Bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021;
  4. Seksyen Persimpangan Bertingkat Nyabau bagi Pakej Kerja 10, Simpang Nyabau ke Sungai Tangap telah siap pada 26 Januari 2022;
  5. Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja 11, Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 2 Julai 2022; dan
  6. Persimpangan bertingkat Sri Aman bagi Pakej 04, Persimpangan Pantu ke Batang Skrang yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 4 September 2022.

Manakala status kemajuan keseluruhan terkini pembinaan projek LPBS bagi baki 10 pakej kerja iaitu dari Sematan ke Miri yang kini sedang giat dilaksanakan adalah sebanyak 89% dengan jangkaan siap pada suku pertama tahun 2023. 

Meskipun projek LPBS masih belum siap sepenuhnya dan masih dalam pembinaan, namun Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa berusaha melaksanakan pelan mitigasi dan tindakan susulan bagi menambah baik kaedah pelaksanaannya agar dapat disiapkan pada tempoh yang telah ditetapkan.

Selain itu, semua kontraktor terlibat dengan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini juga telah diwajibkan mempunyai pasukan pengurusan trafik yang cekap dan efisien bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya akan terus memberikan komitmen padu dalam menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat demi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup dan pendapatan melalui aktiviti ekonomi buat seluruh Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob tiba di Majlis Perasmian Pembukaan LPBS Seksyen Selangau WPC08
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob dibawa untuk melihat peta Lebuhraya Pan Borneo-Selangau sepanjang 27 kilometer yang dibuka hari ini
Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia oleh YAB Perdana Menteri
Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia oleh YAB Perdana Menteri
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article