- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

SFC Melindungi Kepelbagaian Biologi Sarawak

Must read

SFC adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Ordinan Perbadanan Perhutanan Sarawak, 1995 yang berfungsi untuk mengurus dan mentadbir Kawasan Terlindung Sepenuhnya seperti Taman Negara, Rezab Semula jadi dan Sanktuari Hidupan Liar.

Selain itu, SFC juga bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pemeliharaan hidupan liar di mana sebarang aktiviti jenayah hidupan liar atau pencerobohan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) boleh dilaporkan kepada pihak SFC.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang terkenal dengan Orang Utan telah dibuka sejak tahun 1975
Taman Negara Niah ini terletak 110km perjalanan dari Bandaraya Miri dan 3km dari Pekan Batu Niah

Susulan penstrukturan semula SFC dan Jabatan Hutan Sarawak yang diumumkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 2 Januari 2020, fungsi kedua-dua agensi telah diperkemas untuk fokus yang lebih kukuh.

Oleh itu, SFC kini memberi tumpuan kepada:

  • Perlembagaan TPA baharu;
  • Pengurusan TPA, termasuk taman negara, kawasan perlindungan hidupan liar dan rizab alam semula jadi;
  • Perlindungan, peningkatan dan penjanaan semula flora dan fauna asli Sarawak, dan pemulihan, di dalam dan di luar kawasan perlindungan;
  • Aktiviti yang berkaitan dengan pemuliharaan biodiversiti;
  • Mewujudkan kesedaran awam tentang isu pemuliharaan dan kemampanan melalui pendidikan, tafsiran dan latihan;
  • Pembangunan perniagaan dan perancangan projek untuk aktiviti berasaskan pemuliharaan;
  • Promosi dan peraturan eko-pelancongan berasaskan alam semula jadi dan berasaskan komuniti.

Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Tuan Haji Zolkipli Mohamad Aton ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Tuan Haji Zolkipli Mohamad Aton menunjukkan sijil ISO 9001:2015 Quality Management Systems Certificate yang diterima pada 8 Ogos 2022

Menurut beliau, di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, hidupan-hidupan liar ini terdiri daripada dua kategori iaitu kategori haiwan terlindung dan kategori haiwan terlindung sepenuhnya.

Antara haiwan terlindung di Sarawak ialah kera, beruk, landak, tupai terbang, musang, kelawar, kucing hutan, tenggiling, burung layang-layang, burung tiong, semua pekaka, semua kedidi dan camar, burung rajawali, ular sawa, buaya katak, buaya jujulong dan banyak lagi.

Manakala, haiwan terlindung sepenuhnya termasuk orang utan, badak, tembadau, enggang, kerak hantu, kucing merah, kucing dahan, kucing hutan, burung laut, semua penyu laut, beluku, cicak gua niah, cicak purba, ujoh laut, kedidi dan banyak lagi.

Jelas beliau, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tidak membenarkan penjualan hidupan liar termasuk spesies yang tidak dilindungi yang diambil dari hutan.

Di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, sesiapa sahaja tidak dibenarkan menjual hidupan liar

Di bawah ordinan itu, penjualan dan pembelian sebarang hidupan liar atau produk hidupan liar tanpa lesen adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman RM5,000 kepada penjual dan RM2,000 kepada pembeli.

Senarai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya (totally protected) telah dinyatakan di dalam Bahagian I, Jadual Pertama dalam Ordinan tersebut, manakala senarai hidupan liar yang dilindungi (proctected) pula dinyatakan di dalam Bahagian II, Jadual Pertama Ordinan yang sama.

Menurut seksyen 29 Ordinan tersebut, adalah menjadi kesalahan untuk memburu, membunuh, menangkap, menjual, mengimport, mengeksport, atau memiliki mana-mana hidupan liar dilindungi sepenuhnya dan yang dilindungi kecuali dengan keizinan bertulis Pengawal Hidupan Liar.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 29 itu boleh dikenakan hukuman;

  1. Jika hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya, hukumannya adalah penjara lima (5) tahun dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 setiap ekor.
  2. Jika hidupan liar itu dilindungi, hukumannya adalah penjara setahun dan denda RM10,000 setiap ekor.

SFC mempunyai tanggungjawab dalam mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai dan pihak berkepentingan tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan usaha ini dilakukan dengan pendekatan bersemuka melalui ceramah.

Antaranya ialah Program 3M (Mengenali, Memahami dan Memulihara) Buaya bagi memberi penerangan dan kesedaran mengenai buaya serta langkah-langkah dalam menangani ancaman reptilia ini.

Program 3M Buaya adalah satu pendekatan yang relevan dan efektif untuk membolehkan penduduk kampung mengenali, memahami dan memulihara buaya

Bagi mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam diri masyarakat tempatan untuk memahami kepentingan pemuliharaan ekosistem serta hidupan liar ini, SFC turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).

Program CEPA ini adalah sejajar dengan pendekatan ‘penglibatan masyarakat’ dalam mengurus kawasan yang dilindungi di mana pihak SFC akan berjumpa dengan orang kampung, pelajar-pelajar di sekolah untuk memberitahu mereka betapa pentingnya menjaga khazanah-khazanah yang kita ada.

SFC menganjurkan Program 3M sebagai usaha untuk mewujudkan kesedaran masyarakat
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article