Pembinaan Muzium Limbang merupakan satu usaha Kerajaan Sarawak dalam memperlihatkan kepada umum mengenai asal usul sejarah pembangunan Daerah Limbang dari segi sejarah pembukaannya dan pentadbirannya yang bersempadan dengan negara Brunei Darussalam.
Muzium Limbang merupakan salah satu muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Sarawak yang telah mula dibina pada tahun 2019 dengan kos keseluruhan sebanyak RM6.39 juta, dan ia merupakan satu projek di bawah rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Seni bina muzium ini diinspirasikan berdasarkan Kuarters Kerajaan dan telah menjadi saksi kepada kelahiran tokoh pemimpin Sarawak iaitu YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Muzium ini mempunyai Galeri Pentadbiran dan Galeri Pembangunan yang menempatkan sejarah pentadbiran dan pembangunan bermula dari Era Brooke diikuti dengan perubahan sosio-ekonomi di Limbang, Trusan dan Lawas.
Selain mempunyai ruang pameran, muzium ini juga mempunyai kedai cenderamata, galeri kanak-kanak dan ruang pejabat.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzium baharu Limbang menyifatkan muzium adalah satu daripada tarikan untuk para pelancong datang ke sesuatu tempat.
Beliau ketika dulu pernah menggalas tugas sebagai Menteri Pelancongan, justeru beliau tidak menafikan bahawa sememangnya benar orang luar amat teruja melihat khazanah sesuatu tempat.
Khazanah ini termasuklah budaya, corak hidup serta tarikan yang ada di sesuatu tempat dan Limbang mempunyai khazanah tersendiri yang boleh dilihat dari sudut budaya, bahasa, cara hidup dan juga bentuk geografinya.
Sebab itu, semua artifak-artifak yang ada hendaklah dikumpulkan dan dipamerkan di dalam sebuah bangunan yang dapat memaparkan cara hidup di sesebuah kawasan termasuklah Limbang ini.
Akhirnya, pada hari ini, masyarakat di Limbang telah dapat menyaksikan sebuah muzium yang baharu didirikan berdekatan dengan kubu lama.
Kubu lama ini juga sebenarnya mempunyai banyak sejarah antaranya peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah Limbang dan Lawas pada tahun 1962 iaitu peristiwa pemberontakan dan juga sejarah politik yang berlaku di kawasan ini.
Jadi, inilah sebabnya muzium sangat penting sehingga Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan yang besar untuk membangunkan muzium ini agar ia dapat menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan juga generasi yang akan datang
Muzium merupakan suatu tempat yang sangat bermakna kepada generasi akan datang bagi melihat proses pembangunan sesuatu tempat dan sejarah yang berlaku sebelum ini.
Sebenarnya dari sudut tamadun manusia, kita banyak belajar daripada peristiwa yang sudah berlaku kerana di sanalah kita melihat kekuatan dan kelemahan kita dan pada hari ini, kita cuba memperbaiki keadaan tersebut, seterusnya pada keesokan harinya, kita sudah ada hala tuju.
Tambah beliau lagi, muzium selalu menjadi tempat untuk rujukan dan oleh sebab itu, di dalam muzium haruslah ada arkib yang menyimpan rekod-rekod lama untuk dijadikan sebagai rujukan.
Misalnya di Limbang ini, sudah tentu pihak akademik dan para penyelidik akan memanfaatkan muzium untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan mengenai sejarah Limbang ataupun merujuk artifak-artifak fakta yang betul mengenai Limbang.
Sebab itulah muzium ini akan menjadi satu tempat yang penting bukan saja untuk para pelancong yang ingin mengetahui sesuatu sejarah tetapi juga buat para akademik, justeru Premier Sarawak berharap muzium ini akan memberi makna yang besar kepada masyarakat setempat.