- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembangunan Fizikal Daerah Saratok Dijangka Semakin Rancak

Must read

Daerah Saratok yang dahulunya dikenali sebagai Kalaka merupakan sebahagian daripada Pentadbiran Bahagian Betong.

Hari ini, kawasan keseluruhan di bawah pentadbiran Daerah Saratok termasuk Daerah Kecil Nanga Budu, Ulu Krian, Batang Kabo, Awik, Krian Tengah, Sebetan, kampung-kampung serta kawasan perumahan di Pekan Saratok dan kawasan Kupang atau Kaba. Daerah Saratok itu sahaja berkeluasan 5,897.53 km persegi.

Ringkasan profil Daerah Saratok

Pada sekitar 1878, Pejabat Daerah Saratok atau dikenali sebagai “Fort Charles” telah dibina oleh seorang kakitangan Kerajaan Brooke yang Bernama Maxwell.

Pejabat berkenaan terletak di atas Bukit Sagatok, di tengah pusat Bandar Saratok. Saratok juga dikatakan secara lisan diambil dari nama bukit tersebut.

Mengikut bancian pada tahun 1871, seramai 9,530 orang penduduk di Daerah Saratok manakala populasi terkini daerah tersebut pula dicatatkan seramai 30,342 orang.

Grafik menunjukkan peratusan keluasan tanah untuk kegiatan ekonomi di sekitar Daerah Saratok (Sumber Pejabat Daerah Saratok)

Pertanian, penternakan dan perikanan merupakan aktiviti-aktiviti ekonomi utama yang dijalankan penduduk Daerah Saratok.

Ramai di kalangan penduduk Saratok bekerja sendiri, iaitu kira-kira 11,159 orang atau dengan peratusan 62%.

Selebihnya bekerja dalam sektor swasta, iaitu seramai 4,453 orang (25%) dan seramai 2,300 orang (13%) bekerja dalam perkhidmatan awam.

Daerah Saratok kini mengalami perkembangan dari segi pembangunan fizikal dan projek infrastruktur asas yang memberi impak kepada sosioekonomi penduduk.

Statistik terkini kemudahan infrastruktur di Daerah Saratok (Sumber Pejabat Daerah Saratok)

Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Daerah Saratok, beberapa projek berimpak besar telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini (2021-2022).

Projek pembinaan jambatan untuk laluan kenderaan, iaitu Jambatan Kaki Wong telah mula dilaksanakan pada April 2021 dan dijangka siap pada Oktober tahun ini. Jambatan sepanjang 71 meter dan lebar 4 meter itu dibina dengan kos RM3.747 juta.

Sepanjang tempoh tersebut juga, dua (2) buah projek infrastruktur berimpak besar yang dilaksanakan telah siap sepenuhnya pada Mei tahun ini, iaitu projek Jambatan Ibeam Rh. Saban Mapar, Kaki Wong Krian dengan kos RM724,626.24 dan bina baharu Jambatan Rh. Nyambar Ulu Sebetan dengan kos RM171,717.08.

Statistik terkini kegiatan ekonomi Daerah Saratok (Sumber Pejabat Daerah Saratok)

Selain menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik, projek-projek tersebut telah membuka ruang kepada pembukaan kawasan baharu yang turut dijadikan kawasan pertanian komersial dan telah membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar untuk menjana pendapatan.

Jambatan Rh. Nyambar, Ulu Sebetan, Saratok siap sepenuhnya pada 22 Mei 2022 (Foto Pejabat Daerah Saratok)

Selaras dengan penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) baru-baru ini, Daerah Saratok tidak terkecuali daripada pelaksanaan pelbagai projek yang bakal merancakkan lagi pembangunan di sekitar daerah berkenaan.

Antara projek berimpak besar yang bakal dilaksanakan di bawah BIDA termasuklah pembinaan Esplanade atau Tebingan Saratok, pembinaan dermaga (wharf) baharu, Dewan Masyarakat Saratok baharu, pembinaan beberapa buah jalan serta jambatan dan pelbagai jenis projek.

Pihak Pejabat Daerah Saratok menjangkakan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga (3) tahun akan datang, lebih banyak projek pembangunan fizikal yang akan meningkatkan ekonomi Saratok.

Sehubungan dengan itu, pihak pejabat daerah menyasar untuk mencapai 100% liputan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Projek Jambatan Kaki Wong sedang dalam pembinaan (Foto Pejabat Daerah Saratok)

Selain daripada itu, pihak pejabat daerah juga berharap supaya jurang digital di antara kawasan bandar dengan bandar dapat dikurangkan melalui liputan rangkaian telekomunikasi dan pembinaan menara telekomunikasi baharu di Saratok.

Pembangunan secara lestari dan pengekalan kawasan liputan hutan dan penanaman semula kayu balak serta teknologi hijau di bandar Saratok juga diharap dapat dilaksanakan.

Melalui pelaksanaan projek di bawah BIDA, besar harapan pihak pejabat daerah untuk melihat wujudnya peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi dan pendapatan isi rumah penduduk setempat.

Pihak pejabat daerah juga berharap supaya konsep taman agro atau agro pelancongan akan diperkenal dan dilaksanakan di Saratok, selain lebih banyak pembangunan industri hiliran berimpak tinggi yang melibatkan pihak swasta diharap dapat mentransformasi ekonomi Daerah Saratok kepada lebih berdaya saing, memperhebatkan kaedah dan konsep pertanian secara komersial dan penggunaan teknologi baharu dalam pertanian.

Cadangan Projek-projek Berimpak Besar Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) yang akan dilaksanakan pada tahun 2022:

  1. Bina Baharu Esplanade / Waterfront Saratok (Kos RM50,000,000.00)
  2. Cadangan Rc Wharf Baru Saratok (Kos RM10,000,000.00)
  3. Bina Baharu Dewan Masyarakat Saratok (Kos RM10,000,000.00)
  4. Bina Baharu Jalan Bajau-Kupang Menghubung Ke Jalan Pusa (Kos RM15,000,000.00)
  5. Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Sg. Anak Ke Second Trunk Road Roban/Kaba (Kos RM15,000,000.00)
  6. Naik Taraf Jalan Lubok Nibong, Kabong (Kos RM10,000,000.00)
  7. Bina Baharu Jambatan Dan Jalan Dari Senyawan / Lubuk Renit Ke Sawmill Kampung Hulu Saratok (Kos RM10,000,000.00)
  8. Jambatan Gantung Fort Renee Saratok (Kos RM15,000,000.00)
  9. Galeri Pameran Dan Pusat Kraftangan Saratok (Kos RM5,000,000.00)
  10. Naik Taraf Tapak Pelupusan Sampah Bukit Perabun (Kos RM5,000,000.00)
  11. Parking Bertingkat Daerah Saratok (Kos RM10,000,000.00)
  12. Sistem Perparitan Bersepadu Daerah Saratok (Kos RM15,000,000.00)
  13. Naik Taraf Kompleks Sukan Saratok Dan Bina Baharu Indoor Stadium Serta Bilik Penginapan (Kos RM10,000,000.00)
  14. Bina Baharu Market Saratok (Kos RM10,000,000.00)
  15. Riverbank Protection Saratok Project (Kos RM12,000,000.00)
  16. Naik Taraf Jalan Perpat / Paloh (Kos RM15,000,000.00)
  17. Tempat Rekreasi Bukit Tengalat (Kos RM5,000,000.00)
  18. Naik Taraf Dan Jajaran Baharu Jalan Roban Lama (Kos RM10,000,000.00)
  19. Pusat Pertumbuhan Baru Dan Service Centre Ng. Budu (Kos RM50,000,000.00)
  20. Bina Baharu Jalan Ke Wong Klansau, Kabo Dan Pembangunan Fasaliti Perlancongan (Kos RM2,000,000.00)
  21. Jalan Baharu Dari Sk Ng Atoi Ke Ulu Sebetan (Kos RM10,000,000.00)
  22. Jalan Baharu Dari Batu 3 Ke Rumah Abing, Krikap (Kos RM10,000,000.00)
  23. Naik Taraf Jalan Kampung Ke Jalan Luar Bandar Jalan Babang Krangan Rusa Simpang Pangka (Kos RM10,000,000.00)
  24. Naik Taraf Jalan Kampung Ke Jalan Luar Bandar Jalan Awik/ Jalan Meruji Menuju Ke Jalan Kabo (Kos RM15,000,000.00)
  25. Naik Taraf Jalan Kampung Ke Jalan Luar Bandar Dari Ulu Krian Ke Rh. Hendry Sang Dan Rh. Jungan Ulu Gerenjang (Kos RM15,000,000.00)
  26. Naik Taraf Jalan Kampung Ke Jalan Luar Bandar Rh. Endit Ng. Batang Gerenjang Krian (Kos RM10,000,000.00)
  27. Naik Taraf Jalan Rh. Bonnie Sg. Antu Awas Ke Rh. Ancharang Ng. Alum Gerenjang (Kos RM10,000,000.00)
  28. Naik Taraf Jalan Kampung Ke Jalan Luar Bandar Menuju Ke Rh. Asol Tabau Krian Dan Rh. Ipa Krango Krian Menuju Ke Kampung Sepu, Jalan Abu Bengang Dan Jalan Bajau (Kos RM20,000,000.00)
  29. Naik Taraf Jalan Pertanian Jalan Kawit Asal Dan Simpang Kawang Ke Ng. Drau (Kos RM10,000,000.0)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article