- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

MBS Kini Mencapai Usia Ke-152 Tahun

Must read

Mahkamah Bumiputera Sarawak (MBS) pada asalnya telah ditubuhkan semasa pentadbiran Rajah Brooke pada 11 Oktober 1870 dan kini telah mencapai usia yang ke 152 tahun.

MBS yang ditubuhkan di bawah Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992, merupakan satu-satunya badan kehakiman tertua di Sarawak yang telah ditubuhkan sebagai institusi kehakiman untuk mentadbir undang-undang adat di Sarawak.

Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pendaftar MBS, Datu Michael Dawi Alli ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Ketua Pendaftar MBS, Datu Michael Dawi Alli menunjukkan buku “Sarawak Native Law Cases” yang diterbitkan oleh MBS

Sehubungan itu, kewujudan MBS telah memberi impak besar dalam melindungi dan memastikan undang-undang adat yang diamalkan oleh kaum Bumiputera Sarawak terus kekal sehingga ke hari ini.

Berbeza daripada badan kehakiman yang lain, MBS mempunyai ordinan dan peraturan-peraturan dalam undang-undang adat anak negeri yang telah dikanunkan.

Peta menunjukkan pengagihan Mahkamah Bumiputera di Sarawak

Kepelbagaian suku kaum di Sarawak antara faktor utama wujudnya MBS dan kewujudannya telah berjaya mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat bumiputera di Sarawak.

MBS terus memainkan peranan penting dalam mentadbir undang-undang dan adat anak negeri selain berfungsi untuk mendengar serta menyelesaikan pertikaian yang berlaku di antara kaum.

Bidang Kuasa Mahkamah Bumiputera Sarawak

Mahkamah Bumiputera Sarawak hanya mendengar kes-kes atau pertikaian yang melibatkan kaum bumiputera di Sarawak sahaja di mana ia dibahagikan kepada beberapa kelas iaitu: –

  • Mahkamah Ketua Kaum
  • Mahkamah Ketua Masyarakat
  • Mahkamah Ketua Atasan
  • Mahkamah Daerah Bumiputera
  • Mahkamah Bumiputera Residen
  • Mahkamah Tinggi Bumiputera Rayuan
Stuktur atau kelas Mahkamah Bumiputera Sarawak

MBS mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes-kes pelanggaran undang-undang dalam perkahwinan, harta pusaka dan tanah di kalangan masyarakat Bumiputera.

Dalam Ordinan Bumiputera 1992, MBS memiliki bidang kuasa untuk membicarakan kes berkaitan dengan undang-undang tempatan yang membabitkan agama (kecuali agama Islam), undang-undang bertulis dan jenayah-jenayah kecil.

Kes yang melibatkan Bumiputera Islam perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah dan hanya akan dibicarakan di Mahkamah Bumiputera jika perkara yang hendak dibicarakan itu tidak termaktub di dalam undang-undang Islam.

Begitu juga dengan kes yang melibatkan adat Cina dan India akan dibawa ke Mahkamah Tinggi dalam Sistem Mahkamah Awam.

Struktur Mahkamah Bumiputera Sarawak dan Tangga Apil

Ordinan Bumiputera 1992 memberi kuasa kepada MBS untuk membicarakan kes-kes yang melibatkan Bumiputera sahaja selain daripada perkara yang berkaitan dengan pelanggaran Adat Bumiputera dan kes di bawah undang-undang bertulis.

Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992

Bidang Kuasa Mahkamah-Mahkamah Bumiputera hendaklah tertakluk kepada seksyen 28 iaitu;

  1. Kes-kes yang berbangkit daripada perlanggaran terhadap undang-undang atau adat bumiputera (selain Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 1991, atau Adat Orang Melayu Sarawak) dalam mana semua pihak adalah tertakluk kepada sistem undang-undang diri bumiputera yang sama;
  2. Kes-kes yang berbangkit daripada perlanggaran terhadap undang-undang atau adat bumiputera (selain Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, 1991, atau Adat Orang Melayu Sarawak) berhubung apa-apa perkara keagamaan, perkahwinan atau seksual di mana satu pihak adalah seorang bumiputera;
  3. Apa-apa kes sivil, yang bukan merupakan kes di bawah bidang kuasa mana-mana Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Ordinan Mahkamah Syariah, 1991, dalam mana nilai hal perkaranya tidak melebihi dua ribu ringgit dan semua pihak adalah tertakluk kepada sistem undang-undang diri bumiputera yang sama;  
  4. Apa-apa kes jenayah bersifat kecil yang disenaraikan dengan khususnya dalam Adat Iban atau mana-mana undang-undang adat lain yang mana mahkamah adalah terikat untuk mengikuti adat itu dan yang boleh dihukum secukupnya dengan mengenakan denda tidak melebihi denda yang boleh, di bawah seksyen 11, dikenakan oleh Mahkamah Bumiputera; dan 
  5. Apa-apa perkara yang berkenaan dengannya, ia mungkin diberi kuasa oleh mana-mana undang-undang bertulis lain untuk menjalankan bidang kuasa.  

Pencapaian MBS

Seiring dengan arus kemajuan, pelantikan majistret tambahan secara kontrak telah berjaya mengurangkan tunggakan kes.

Di samping memiliki pegawai yang komited dan profesional mengendalikan kes, bidang kuasa yang digariskan di bawah Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992 juga telah ditakrifkan dengan jelas.

Pegawai Tadbir MBS, Encik Dahim Nadot turut mengulas tentang Transformasi MBS dan Program Bina Kapasiti

Antara kejayaan-kejayaan MBS yang lain ialah;

  • Mewujudkan perkhidmatan dalam talian (e-Native Court) pada 2015 untuk memudahkan pendaftaran kes, pengesanan kes dan memantau semua kes yang didaftarkan.
  • Menerbitkan buku “Sarawak Native Law Cases” sebagai panduan kepada masyarakat
  • Pelaksanaan Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak
  • Melaksanakan penggunaan kad skor seimbang (Balance Scorecard) di MBS
  • Mengadakan Program Bina Kapasiti yang melibatkan latihan, bengkel, seminar dan taklimat sebanyak tujuh atau lapan kali setahun bagi Pegawai Pengerusi Mahkamah dan pegawai yang turut dianggotai oleh Ketua Masyarakat seluruh Sarawak
  • Mewartakan 66 Pejabat Pendaftar MBS di seluruh Sarawak
  • Menaik taraf 21 bilik mahkamah di pelbagai daerah dan daerah kecil sejak 2015 dengan kos keseluruhan RM3.2 juta
Pejabat pentadbiran baharu MBS yang terletak di Kota Samarahan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article