- Advertisement -spot_img
4,810
published news
and counting

JMG Malaysia Peneraju Pembangunan Mineral dan Geosains

Must read

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ditubuhkan pada 1 Julai 1999, hasil gabungan di antara Jabatan Penyiasatan Kajibumi yang dahulu dikenali sebagai Pejabat Kajibumi dengan Jabatan Galian.

Jabatan Galian ditubuhkan lebih awal, iaitu pada tahun 1874 di Perak manakala Pejabat Kajibumi pula ditubuhkan pada 1903 di Kuala Lumpur. Penggabungan bertujuan untuk memantapkan dan menyelaras aktiviti kedua-dua jabatan berkenaan.

Pintu masuk bangunan Pejabat JMG Sarawak di Kuching

Di Sarawak, sejarah penubuhan JMG bermula sejak 1963 di bawah pentadbiran British yang pada ketika itu dikenali sebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Kawasan Borneo Malaysia.

Pada tahun 1964, Jabatan Galian Malaysia Timur pula ditubuhkan di Sarawak. Kemudian, Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Semenanjung dan Jabatan Penyiasatan Kajibumi Kawasan Borneo Malaysia digabungkan pada tahun 1968, lalu dinamakan sebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia.

Matlamat penubuhan JMG ialah menyediakan maklumat komoditi mineral bagi meningkatkan pertumbuhan industri berasaskan mineral, menggalakkan penggunaan optimum maklumat dan perkhidmatan geosains bagi pembangunan negara yang mampan dan memastikan perusahaan sumber mineral berkembang secara teratur, selamat, cekap dan mesra alam, seterusnya mendatangkan pulangan yang maksimum kepada negara.

JMG juga ditubuhkan dengan matlamat untuk menggalakkan dan mempelbagai penggunaan sumber mineral tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan sektor perindustrian negara melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam bidang mineral, geosains dan perlombongan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor mineral dan perancangan pembangunan negara.

Menurut Pengarah JMG Sarawak, Encik Roslan bin Rajali, JMG berperanan utama dalam mengendali eksplorasi mineral secara sistematik, mengendali penyiasatan pelbagai bidang geosains seperti pemetaan geologi, sumber air bawah tanah, geologi kejuruteraan, bencana geologi, geologi alam sekitar, geologi marin, geofizik dan bidang-bidang geosains lain secara sistematik.

Pengarah JMG Sarawak, Encik Roslan bin Rajali

Selain itu, JMG turut berperanan menyedia perkhidmatan nasihat teknikal dan kepakaran dalam bidang mineral, geosains, perlombongan dan pengangkutan serta membantu dan bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha pembangunan sektor mineral negara.

Peranan-peranan JMG seterusnya termasuklah memastikan aktiviti perlombongan mineral serta aktiviti-aktiviti lain berkaitan sumber mineral dijalankan dengan selamat, cekap dan sistematik.

Mengulas lanjut, Encik Roslan menjelaskan, JMG juga berperanan sebagai agensi yang melaksanakan dasar dan arahan kerajaan berhubung dengan industri mineral dan geosains di samping mentadbir dan menguatkuasa undang-undang yang berkaitan.

Peranan JMG Sarawak juga tidak kurang pentingnya dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, pembangunan sumber mineral serta mempromosi hasil penyelidikan untuk diguna pakai oleh pihak industri, khususnya di Sarawak dan di Malaysia amnya.

Dari segi kemudahan, JMG Sarawak menyediakan maklumat berkaitan mineral dan geosains yang terdapat di negeri ini.

Antara bahan sumber mineral yang dipamerkan di Muzium Geologi, JMG Sarawak di Kuching

Maklumat-maklumat yang dibekalkan merangkumi laporan geologi termasuk peta geologi, mineral dan bidang-bidang geosains lain yang telah diterbitkan atau sedia ada.

Jelas Encik Roslan, JMG Sarawak akan membekalkan maklumat berkenaan dalam tempoh satu (1) hari selepas permohonan diterima daripada pelanggan.

Bagi maklumat sama yang belum diterbitkan, pihak jabatan akan membekalkan maklumat dalam tempoh seminggu selepas permohonan diterima.

JMG Sarawak turut menyediakan maklumat berbentuk digital sedia ada yang akan dibekalkan kepada pemohon dalam tempoh tiga (3) hari.

Selain kemudahan berkaitan maklumat, kemudahan-kemudahan fizikal dan perkhidmatan lain yang terdapat di JMG Sarawak termasuklah sebuah makmal, Muzium Geologi, perpustakaan, perkhidmatan minerologi dan petrologi, GIS (Geographical Information System) dan kartografi.

Menurut Encik Roslan, agensi-agensi Kerajaan Negeri dan pihak kontraktor merupakan antara pengguna yang sering mendapatkan kemudahan dan perkhidmatan jabatan berkenaan.

Maklumat berkaitan sumber mineral lazimnya diperlukan oleh pihak kerajaan dan kontraktor sebelum sesebuah projek besar dijalankan.

Maklumat-maklumat berkenaan menurut beliau penting supaya tidak berlaku pembaziran kawasan yang mempunyai sumber mineral bernilai tinggi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber pendapatan kepada negeri dan negara.

Dalam hal ini, JMG Sarawak berperanan dalam memberi khidmat nasihat kepada Kerajaan Negeri untuk memindahkan pembangunan yang ingin dijalankan ke lokasi lain yang kurang mempunyai sumber mineral bernilai tinggi bagi mengelakkan pembaziran sumber mineral.

Jelas Encik Roslan lagi, ada juga di kalangan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat GIS dan kartografi termasuk peta-peta lama di seluruh Sarawak bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai sumber mineral bernilai komersial tinggi.

Para pelabur misalnya, memerlukan peta-peta sumber mineral untuk dijadikan kajian susulan bagi tujuan komersial seperti pengeluaran produk minuman mineral.

Bagi pihak kerajaan, peta hidrologi diperlukan bagi mengenal pasti kawasan-kawasan berpotensi memiliki sumber air bawah tanah.

Kakitangan JMG Sarawak menjalankan kerja menggali air bawah tanah di kawasan luar bandar

Tujuannya antara lain adalah bagi mendapatkan bekalan air alternatif, terutama untuk penduduk di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil yang sukar dibekalkan dengan sumber air dari loji rawatan mahupun kawasan yang jauh dari sumber air sungai.

Selari dengan visi ‘Peneraju Pembangunan Mineral dan Geosains Negara’, JMG komited dalam menyediakan perkhidmatan berkepakaran tinggi kepada pemegang taruh dan pelanggan dalam bidang mineral dan geosains.

Secara amnya, pengetahuan, data dan maklumat geosains boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah, membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat selain menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara serta pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan risiko bencana.

Sejarah Penubuhan JMG Malaysia

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ditubuhkan pada 1 Julai 1999 menerusi hasil gabungan Jabatan Penyiasatan Kaji bumi dengan Jabatan Galian yang bertujuan untuk memantap dan menyelaras aktiviti kedua-dua agensi tersebut.

Sejarah jabatan bermula sejak abad ke-19 di Negeri Perak sewaktu kemasukan penjajah British ke Tanah Melayu.

1874 – Jabatan Galian ditubuhkan bertujuan mengawal selia perlombongan bijih timah di Larut.   N.G.A. Geddie sebagai Merinyu Galian pertama

1903 – Pejabat Kaji bumi pertama ditubuhkan di Kuala Lumpur. J.B. Scriverrnor sebagai Ahli Kaji bumi pertama di Tanah Melayu

1908 – Pejabat Kaji bumi pertama dipindahkan ke Batu Gajah, Perak bagi menumpukan kajian lapangan bijih timah di Lembah Kinta dan Larut

1927 – Pejabat Kaji bumi dinaik taraf kepada Jabatan Penyiasatan Kaji bumi

1957 – Ibu Pejabat Jabatan Penyiasatan Kaji bumi dipindahkan ke Ipoh, Perak

1963 – Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Jajahan British di Borneo menjadi cawangan Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Malaysia dan dikenali sebagai Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Kawasan Borneo Malaysia

1964 – Jabatan Galian Malaysia Timur ditubuhkan

1968 – Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Malaysia Semenanjung dan Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Kawasan Borneo Malaysia bergabung menjadi Jabatan Penyiasatan Kaji bumi Malaysia

1973 – Ibu Pejabat Penyiasatan Kaji bumi dipindahkan dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article