- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Taman Negara Gunung Buda Berpotensi Dijadikan Destinasi Pelancongan

Must read

Terletak di Ulu Medalam dalam Bahagian Limbang, Gunung Buda diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 2001, meliputi kawasan seluas 6,235 hektar.

Taman Negara Gunung Buda berpotensi untuk dimajukan sebagai satu lagi destinasi pelancongan utama di wilayah utara Sarawak.

Dari catatan penduduk, Gunung Buda mendapat nama daripada ungkapan kaum Penan yang bermaksud ‘gajah putih’ yang merujuk pada sebuah batu kapur setinggi 963 meter yang terletak di utara Taman Negara Gunung Mulu.

Hulu Sungai Medalam di kawasan sekitar Taman Negara Gunung Buda

Yang menariknya, Gunung Buda memiliki sebuah gua sepanjang 22 kilometer yang dinamakan sebagai Gua Penyu.

Gua tersebut merupakan gua terpanjang di kepulauan Borneo dan kelima terpanjang di Asia.  Kawasan Gunung Buda mula menarik minat para peneroka dan penyelidik dari luar negara sejak 1970-an.

Mengikut catatan sejarah, sekumpulan peneroka Inggeris pertama kali berkunjung ke Gunung Buda pada tahun 1978.

Ketika menjalankan ekspedisi ke Gunung Mulu sekitar tahun 1980 hingga 1984, para penyelidik menemukan pintu masuk dan bahagian-bahagian awal untuk beberapa buah gua besar.

Penerokaan tersebut membawa mereka ke laluan yang lebih jauh ke selatan gua di Taman Negara Gunung Mulu.

Hasilnya, mereka mendapati kawasan berkenaan mempunyai beberapa gua yang mengagumkan termasuk gua kelapan terpanjang di dunia yang dipanggil ‘Clearwater’, Gua Rusa yang merupakan bahagian gua kedua terbesar di dunia dan Bilik Sarawak, ruangan gua terbesar di dunia, iaitu kira-kira setengah batu panjang dengan lebar seperempat batu dan ketinggian langit kira-kira 400 kaki atau 120 meter.

Penerokaan ke Gunung Buda juga telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Amerika Syarikat, iaitu John Lane dan George Prest dari tahun 1993 hingga 1997.

Mereka meneroka lebih 60 kilometer dari bahagian gua di bawah Gunung Buda dan berjaya menemukan kepelbagaian spesies flora dan fauna.

Penerokaan tersebut juga mendapati kawasan Gunung Buda memiliki sekurang-kurangnya 300 spesies burung, lebih 2,500 spesies pokok, lebih 60 spesies ular dan pelbagai variasi kehidupan alam.

Menurut Pegawai Daerah Limbang, Encik Superi bin Awang Said yang ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini, Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) sedang membangunkan jalan yang akan menghubungkan kawasan Gunung Buda hingga ke Mulu.

Pegawai Daerah Limbang, Encik Superi bin Awang Said

Fasa pertama projek berkenaan bermula dari Limbang, iaitu melibatkan laluan dari Kampung Bidang ke Kampung Bawang Ubor hingga ke Kampung Tanah merah.

Fasa seterusnya ialah dari Kampung Tanah Merah hingga ke Gunung Buda yang kini sedang dilaksanakan.

Manakala laluan ‘missing link’ yang akan menghubungkan Gunung Buda ke Mulu ialah sejauh kira-kira 30 kilometer.

Pihak pentadbiran Bahagian Limbang, wakil-wakil rakyat serta masyarakat Limbang merasakan perlunya kawasan Gunung Buda dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur terutama jalan raya untuk menarik lebih ramai pengunjung, seterusnya membuka peluang ekonomi, khususnya kepada penduduk sekitar.

Jalan dari Bawang Ubor menuju ke Gunung Buda yang sedang dibangunkan sudah dilengkapi dengan lampu jalan

Berdasarkan keunikan alam semula jadi dan hidupan liar yang terdapat di Taman Negara Gunung Buda, kawasan tersebut berpotensi untuk dimajukan sebagai antara destinasi eko pelancongan utama di Sarawak.

Penyediaan akses hubungan jalan raya ke Gunung Buda juga dijangka akan menjadikan khazanah semula jadi tersebut lebih popular di samping membuka peluang perniagaan dan pekerjaan dalam sektor pelancongan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article