- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Bijak Rebut Peluang

Must read

Janet anak Januari, 39, berasal dari Rh Brues Sg Antu, Kawit Krian, Saratok, seorang suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak, mempunyai hobi dan minat yang amat mendalam dalam bidang jahitan.

Beliau mula menyertai program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) anjuran Lembaga Perlindungan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) sebaik terpilih menyertai kursus jahitan membuat palazzo dan blaus pada 11 dan 12 Disember 2021 di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Betong.

Berkongsi cerita bersama RAKAN Sarawak, beliau memberitahu, sebelum menyertai program AET, Tuai Rumah telah mengedarkan satu borang kepada penduduk kampung untuk mempelawa mereka yang berminat untuk menyertai kursus menjahit.

Puan Janet seronok menceritakan pengamannya bersama RAKAN Sarawak

Apabila melihat peluang seumpama itu ada di depan mata, beliau tidak teragak-agak untuk mengisi borang tersebut kerana menganggap ia adalah satu permulaan yang baik untuk beliau kembali menyemai minat dalam bidang jahitan yang merupakan hobi beliau sejak dulu lagi.

Beliau berasa sangat bersyukur, kerana tidak menyangka dirinya terpilih untuk menyertai kursus tersebut sedangkan ramai yang telah memohon, namun beliau adalah salah seorang pemohon yang bernasib baik kerana telah terpilih, luah beliau kepada RAKAN Sarawak.

Satu ketika dulu, beliau pernah mengikuti kursus jahitan di Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB) Kuching, namun selepas menghabiskan kursus, beliau terus bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di Samajaya, Kota Samarahan.

Tidak lama selepas itu, beliau berhenti kerja lalu pulang ke kampung halaman di Saratok, dan selepas dua tahun tinggal di kampung, beliau mula menanam kembali semangat untuk menjahit dan secara kebetulan pula, ada peluang yang disediakan oleh pihak SALCRA menerusi program AET.

Selepas terpilih menyertai program AET, beliau mula melatih diri kepada asas-asas menjahit seperti membuat baju, seluar, cadar, sarung bantal, selimut dan sebagainya seperti yang pernah dipelajari suatu ketika dulu.

Puan Janet sedang menjahit cadar tempahan pelanggan

Buat masa ini, beliau telah menghasilkan produk-produk seperti set cadar, set langsir yang ringkas dan baru-baru ini, beliau cuba menghasilkan baju kanak-kanak.

Satu kelebihan Puan Janet ialah, beliau ada inisiatif sendiri kerana memanfaatkan platform media sosial seperti youtube dan Facebook untuk mempelajari teknik menjahit dengan cara yang betul dan kreatif.

Di samping itu, beliau juga berani mencuba sesuatu yang baharu misalnya, mengikuti kelas jahitan secara dalam talian menerusi Facebook bersama Akademi Jarum Terbang.

Beliau memberitahu RAKAN Sarawak, banyak ilmu yang telah dipelajari semasa menyertai Akademi Jarum Terbang seperti asas untuk membuat seluar, blaus, pakaian seragam dan sebagainya dengan yuran yang dikenakan amat berpatutan.

Sebaik menyertai kursus bersama Akademi Jarum Terbang, beliau dapat sering berhubung dengan mereka untuk bertanya tentang apa saja yang berkaitan dengan jahitan.

Setakat ini, beliau sudah menjual produk-produk yang dihasilkan seperti set cadar dengan set langsir sejak Mei 2022 selain turut mengambil upah memotong dan menjahit kaki seluar.

Sebelum mendapat permintaan daripada pelanggan untuk membuat set cadar dan set langsir, sebagai langkah permulaan, beliau cuba mempromosikan produk yang dihasilkan melalui kumpulan whatsapp dan status whatsapp.

Beliau tidak menyangka, ia telah mendapat respons yang baik daripada saudara mara yang terdekat termasuk yang tinggal di Sabah dan Semenanjung.

Walau bagaimanapun, beliau belum berani mempromosikan perniagaan dan produknya melalui Facebook (FB) kerana bagi beliau, platform tersebut terlalu meluas.

Berkongsi harga produk beliau, set cadar saiz Single (s) termasuk kos pengeposan dijual pada harga RM45 sementara saiz Queen (Q) dijual pada harga RM65 termasuk kos pengeposan, memotong dan menjahit kaki seluar pula dikenakan caj sebanyak RM5 manakala skirt berharga RM25.

Berbalik kepada program AET yang telah disertainya, beliau tidak menafikan bahawa banyak manfaat yang telah diterima antaranya, ia telah dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti dirinya untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Menerusi program AET juga, pihak SALCRA banyak memberi bantuan dari segi peralatan, nasihat, tunjuk ajar, dorongan dan sebagainya secara tidak langsung para peserta sudah menjalin satu ikatan yang sangat baik dengan pihak SALCRA.

Antara bantuan yang telah diterima daripada SALCRA ialah peralatan-peralatan asas untuk menjahit seperti mesin jahit, mesin jahit tepi, mesin jahit sulam, seterika, papan seterika dan peralatan-peralatan untuk menjahit dengan kos yang hampir mencecah RM10 ribu.

Mesin jahit jenama Singer antara sumbangan daripada SALCRA kepada peserta program AET

Bagi beliau, program AET ini sangat bagus kerana ia membantu mereka yang mempunyai keinginan untuk mengusahakan perniagaan tetapi tidak dapat merealisasikannya kerana kos yang agak besar seperti membeli mesin jahit dan sebagainya.

Boleh dikatakan bahawa SALCRA adalah pembuka jalan bagi peserta-peserta yang kurang berkemampuan untuk mengembangkan perusahaan mereka.

Dengan dorongan, nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh pihak SALCRA, beliau berharap akan dapat terus meningkatkan kemahiran serta mengembangkan perusahaan beliau.

Puan Janet menunjukkan pakaian kanak-kanak yang dihasilka
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article