- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Empayar Kelulut Sya Trigona Familyz

Must read

Puan Norina anak Bungan, 42 dari Kampung Munggu Jabong, telah mula berkecimpung dalam bidang penternakan serta perniagaan produk kelulut sejak 2017 dan kini beliau merupakan Pengurus syarikat Sya Trigona Familyz.

Syarikat Sya Trigona Familyz mengeluarkan produk-produk seperti;

  1. Madu Kelulut
  2. Madu Kelulut dengan Herba Pesok Bumi (Madu Power)
  3. Produk Hiliran seperti;
  4. Bolsom (produk wangi)
  5. VSS Roll (minyak angin)
  6. Sabun Pelembap
  7. Sambal cili cecah madu kelulut
  8. Coklat madu power

Berkongsi pengalaman dengan RAKAN Sarawak, beliau memberitahu sepanjang tempoh empat (4) tahun (2017-2021) berkecimpung dalam bidang penternakan kelulut, banyak ilmu serta pengalaman berharga telah dikecapinya.

Produk madu kelulut yang dikeluarkan oleh Sya Trigona Familyz

Misalnya, dari segi lokasi menternak kelulut di mana ia haruslah di tempat yang sesuai umpamanya di kawasan yang ada buah-buahan, bunga-bunga terutamanya bunga yang berkhasiat seperti bunga air mata pengantin, bunga jelenga atau inai, bunga misai kucing, bunga buang panas dan sebagainya.

Beliau terdorong untuk mengembangkan projek ternakan kelulut kerana, selama menjadi seorang Peladangnita Peringkat Negeri Sarawak (2016 – 2019), beliau sering mendorong rakan-rakan yang lain terlibat dalam menternak kelulut kerana ia mampu menjana pendapatan tambahan keluarga.

Pengurus syarikat Sya Trigona Familyz, Puan Norina menunjukkan produk madu kelulut yang ada di premis beliau

Kebetulan pada masa itu, datuk beliau mendiang Ajan anak Tamil menghidap penyakit kronik di mana beliau dikatakan dapat bertahan hidup hanya dalam tempoh enam (6) bulan sahaja,

Tetapi selepas mengamalkan minum madu kelulut setiap hari (empat kali sehari), akhirnya datuk beliau sembuh daripada penyakit yang dihidapinya serta boleh bertahan hidup sehingga lima tahun.

Selain daripada itu, projek ternakan kelulut juga banyak membantu beliau dalam menjana pendapatan tambahan sebagai seorang suri rumah, sehingga beliau mampu membantu suami menyara keluarga.

Beliau juga memberitahu, Lembaga Perlindungan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) telah mempelawa beliau menyertai program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kerana banyak manfaat yang akan diterima dengan menyertai program tersebut.

Semasa menyertai program AET, pihak SALCRA telah membekalkan 40 log kelulut kepada beliau pada 14 Mac 2021 selain turut memberikan latihan, kursus dan membuat pemantauan dari masa ke semasa.

Puan Norina sedang memerhatikan pekerjanya sedang membuka penutup log kelulut

Beliau juga pernah beberapa kali menyertai program yang dianjurkan oleh SALCRA antaranya mengikuti mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ladang SALCRA (AJPLS) di Estet Batu Kaya pada 2018 serta mengikuti kursus asas kelulut pada 28 Ogos 2018.

Beliau tidak menafikan bahawa, projek AET ini sangat banyak mengubah kehidupan beliau terutama dari segi menjana pendapatan diri dan juga peserta-peserta yang lain.

Sebelum menyertai program AET, pendapatan beliau adalah diantara RM500 hingga RM850 sebulan, namun setelah menyertai program AET ini, pendapatan beliau telah bertambah diantara RM1,000 hingga RM4,200 sebulan.

Selama dua (2) tahun berdepan pandemik COVID-19, pasaran madu kelulut beliau tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai kerana madu kelulut banyak membantu dalam memberikan tenaga kerana mengandungi nutrisi makanan tinggi.

Kehebatan Puan Norina terserlah apabila beliau berjaya melebarkan sayap dengan mempunyai agen di seluruh Sarawak, sekitar Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Kalimantan Indonesia dan tahun ini, buat pertama kalinya beliau telah menghantar produk kelulut ke Singapura.

Produk kelulut beliau juga boleh didapati di Pasar Raya Eon Mall Kuching, Metrocity Matang dan Pejabat Kebajikan Masyarakat, Kuching.

VSS Roll (minyak angin) yang diperbuat daripada madu kelulut

Beliau juga dikatakan tidak ketinggalan dalam ekonomi digital kerana turut melakukan pemasaran produk madu kelulut secara dalam talian menggunakan media sosial seperti Whatsapp, Facebook (FB), laman sesawang dan Shopee.

Lebih membanggakan, beliau juga turut mengambil inisiatif membeli bahan mentah (madu) daripada peserta dengan harga RM50 sekilo, kemudian proses pembungkusan, pelabelan, pemasaran dilakukan oleh Sya Trigona Familyz.

Malah, beliau kini mampu mengupah komuniti Munggu Jabong melakukan kerja-kerja pembersihan ladang, pembungkusan, pelabelan dan sebagainya.

Madu kelulut Sya Trigona Familyz dibungkus menggunakan botol yang sudah dilabelkan

Beliau menyifatkan, apa yang dilakukannya ini sangat membantu dalam menyumbang kepada pendapatan keluarga apatah lagi kos sara hidup kini semakin meningkat.

“Oleh itu, kita perlu berusaha lebih lagi bagi memberikan keselesaan hidup dan menjamin anak-anak, cucu dan keluarga besar menikmati kehidupan yang lebih baik dan juga demi masa depan mereka agar hidup kita sejajar dengan kehidupan orang yang telah maju dan berdaya saing” kata beliau.

Harapan beliau adalah, agar semua usahawan di bawah program AET terus berusaha dan memajukan apa saja projek yang telah diberikan oleh pihak SALCRA kepada mereka.

Bolsom (produk minyak wangi) yang diperbuat daripada madu kelulut

Beliau juga berharap pada masa akan datang, pihak SALCRA dapat menilai sesuatu projek dan memberi ganjaran kepada peserta yang telah berjaya mengharumkan nama baik SALCRA.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak SALCRA akan menyediakan satu sudut khas di Wisma SALCRA untuk mempamerkan produk-produk usahawan program AET pada masa akan datang.

Untuk makluman, produk-produk kelulut Puan Norina telah mendapat pengiktirafan dari segi persijilan seperti Persijilan Halal, Skim Persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan pendaftaran MyFood Tag.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article