Larian Kesihatan MAKSAK 2022 diteruskan semula pada tahun ini dengan penganjuran pertama pada 4 Disember 2022 setelah terhenti sejak COVID-19 melanda beberapa tahun yang lepas.
Kali ini, program ini berjaya menarik penyertaan sejumlah 550 orang peserta dari 45 Jabatan dan Agensi Kerajaan.
Larian diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Yang diPertua MAKSAK Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Haji Marzuki dan diiringi Ketua-ketua jabatan Sarawak seawal jam 7.00 pagi.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh YBhg. Datin Amar Hajah Baduyah Bujang, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak bersama exco-exco MAKSAK.
Laluan Larian Kesihatan MAKSAK Sarawak 2022 bermula di Dataran Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama melalui beberapa lokasi seperti Taman Botani, Brooke Gallery (Fort Margherita), Dataran Perbarisan DUN Sarawak, Taman Orkid dan menuju semula ke DUN Lama.
Menurut Setiausaha Kerja MAKSAK Sarawak, Encik Nazrie Bin Hj Abdullah, larian kesihatan yang juga merupakan salah satu program utama MAKSAK Sarawak bersama kelab gabungan bermatlamat untuk menggalakkan penglibatan penjawat awam bergiat aktif dalam aktiviti berbentuk rekreasi dan kecergasan.
Selain itu, memberi kesedaran manfaat kegiatan kecergasan dan rekreasi dalam kalangan penjawat awam di samping mengeratkan silaturahim di antara pelbagai agensi dan jabatan.
Penganjuran aktiviti ini penting kerana ramai penjawat awam yang masih kurang berpeluang melakukan aktiviti kecergasan dan rekreasi secara berkumpulan disebabkan kekangan serta kesibukan tugas urusan seharian.
Program seumpama ini wajar dilaksanakan lebih kerap lagi bagi menggalakkan serta memberi kesedaran manfaat kegiatan kecergasan dan rekreasi di kalangan penjawat awam dalam menghasilkan tenaga kerja yang lebih produktif.
Pihaknya (MAKSAK Sarawak) mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Dewan Undangan Negeri Sarawak, City Jogger’s Club dan semua yang terlibat atas kejayaan penganjuran Larian Kesihatan MAKSAK Sarawak 2022.