- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Menambah Baik Pengurusan Industri Perkayuan Sarawak

Must read

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) pada 23 November 2022 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Kemajuan dan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, YB Datuk Haji Len Talif Salleh menjelaskan, Ordinan STIDC (Pindaan) 2022 bertujuan menambah baik pengurusan industri perkayuan yang seterusnya dapat meningkatkan nilai eksport kayu berjumlah RM8 bilion selaras dengan aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Pindaan juga bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa STIDC melalui peruntukan pengeluaran lesen industri perkayuan bagi membolehkan agensi tersebut mengawal selia sepenuhnya industri perkayuan di Sarawak termasuk penubuhan dan operasi kilang papan yang sebelum ini dikawal selia Jabatan Hutan Sarawak di bawah Ordinan Hutan 2015.

DUN Sarawak meluluskan RUU STIDC yang bertujuan meningkatkan nilai eksport tahunan kayu Sarawak berjumlah RM8 bilion menjelang 2030 (Foto Timber Portal STIDC)

Bacaan kali kedua RUU tersebut memperincikan inti pati utama pindaan Ordinan STIDC yang melibatkan pengenalan lesen industri perkayuan yang menggantikan keperluan pendaftaran industri perkayuan, peruntukan baharu permit pengoperasian sementara serta pengenalan peruntukan penalti terhadap kilang kayu yang beroperasi secara haram.

Inti pati lain termasuklah peruntukan bagi membatalkan atau menggantung lesen industri perkayuan dan peningkatan bidang kuasa STIDC.

Pindaan Ordinan itu memberi kuasa kepada Pengurus Besar STIDC untuk mengeluarkan lesen industri perkayuan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh Pengurus Besar STIDC.

RUU yang diluluskan memperuntukkan STIDC mengawal selia sepenuhnya industri perkayuan di Sarawak termasuk pengeluaran lesen operasi kilang papan oleh Pengurus Besar STIDC (Foto Timber Portal STIDC)

Pada masa sekarang, STIDC hanya mengeluarkan sijil pendaftaran dan lesen kilang kayu melalui perwakilan kuasa Pengarah Jabatan Hutan Sarawak di bawah Ordinan Hutan 2015.

Kelulusan RUU berkenaan telah membatalkan peruntukan yang berkaitan dengan pengeluaran sijil pendaftaran, seterusnya memberi kuasa sepenuhnya kepada Pengurus Besar STIDC untuk mengeluarkan lesen.

Ini bermaksud, lesen yang dikeluarkan STIDC memberi kebenaran menjalankan aktiviti-aktiviti perkayuan merangkumi penubuhan, pembinaan dan pengendalian kilang papan.

Menurut Datuk Haji Len Talif, langkah meluluskan RUU STIDC (Pindaan) 2022 menandakan dengan jelas peranan, tugas dan tanggungjawab antara STIDC, Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC), bahkan juga memperkemaskan fungsi ketiga-tiga agensi di bawah kementerian yang sama.

Mana-mana pihak yang menjalankan operasi perkayuan tanpa lesen dan permit sementara daripada STIDC akan dikenakan tindakan tegas di bawah RUU baharu yang diluluskan DUN Sarawak

Pengeluaran lesen industri perkayuan akan menjadi mekanisme pengawalseliaan industri perkayuan di Sarawak yang lebih menyeluruh, tambah beliau.

Tujuan lain Ordinan STIDC (Pindaan) 2022 diluluskan adalah bagi membenarkan pengeluaran permit beroperasi sementara oleh Pengurus Besar STIDC untuk memudahkan penubuhan bangunan, operasi atau pengurusan mana-mana loji, kilang ataupun premis untuk menjalankan sebarang industri perkayuan sementara menunggu pengeluaran lesen industri perkayuan.

Permit operasi juga dikeluarkan kepada mereka yang menjalankan industri perkayuan untuk kegunaan domestik, contohnya penduduk luar bandar yang ingin membina rumah di kawasan yang sukar diakses oleh mana-mana kilang atau pembekal bahan binaan.

Selain itu, kelulusan Ordinan STIDC (Pindaan) 2022 juga bertujuan untuk meningkatkan penguatkuasaan di bawah Ordinan STIDC.

Hukuman yang berat akan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah kerana menubuhkan, membina, mengendalikan atau mengurus mana-mana loji, kilang atau premis bagi tujuan operasi industri perkayuan tanpa lesen ataupun permit beroperasi sementara.

Peningkatan bidang kuasa kepada STIDC turut mengubah landskap dan memberi nilai tambah kepada industri perkayuan Sarawak

Peruntukan di bawah Ordinan STIDC (Pindaan) 2022 memperuntukkan mana-mana individu yang ditangkap atas kesalahan yang dilakukan di bawah Ordinan untuk dibebaskan dengan bon peribadi dengan penjamin atau tanpa penjamin.

Secara ringkasnya, pengukuhan peruntukan berkaitan penguatkuasaan adalah penting untuk memastikan peruntukan mencukupi tersedia untuk mengawal selia industri perkayuan.

Tujuannya, jelas Datuk Haji Len Talif, adalah untuk memastikan bahawa produk kayu Sarawak akan terus diterima secara meluas di pasaran global kerana memenuhi keperluan pengguna dan pematuhan undang-undang.

Untuk mencapai sasaran peningkatan nilai eksport tahunan RM8 bilion menjelang 2030, isu perundangan perlu diurus dengan baik di samping aktiviti penguatkuasaan yang berkesan.

Ordinan STIDC (Pindaan) 2022 menurut Datuk Haji Len Talif merupakan satu manifestasi jelas komitmen Kerajaan Sarawak mengukuhkan fungsi utama institusi perundangan untuk pengurusan industri perkayuan yang berkesan dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan yang dapat mengubah industri perkayuan daripada landskap konvensional kepada industri berorientasikan eksport serta memberi nilai tambah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article