- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

RUU Kesihatan Awam Veterinar 2022 Diluluskan

Must read

Pada 23 November 2022, Rang Undang-Undang Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan) 2022 telah diluluskan pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

RUU tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Menurut beliau, RUU tersebut bertujuan untuk menyediakan pindaan kepada Ordinan Kesihatan Awam Negeri,1999 (Cap.32) yang membenarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mewakilkan fungsi dan tugasnya kepada mana-mana pegawai awam.

Selain itu, di dalam RUU tersebut juga membolehkan JPVS memberi kebenaran kepada orang lain untuk mengedarkan ubat veterinar.

Beliau memberitahu, kira-kira dua (2) tahun lalu, telah berlakunya penularan wabak rabies dan pada 1 Julai 2017, kes pertama dalam kalangan manusia telah dilaporkan di daerah Serian.

Rabies adalah satu penyakit sistem saraf oleh jangkitan virus yang merebak melalui gigitan haiwan seperti anjing (Foto-Pixabay)
JPVS menjalankan program survelan, pemvaksinan anti-rabies terhadap anjing dan kuching (foto-Bernama)

Sehingga kini, terdapat kira-kira 72 kawasan di negeri Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies dan bilangan kes rabies manusia kini berjumlah 51.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 orang telah meninggal dunia akibat penyakit rabies sekali gus menggambarkan bahawa ia adalah perkara yang sangat serius yang perlu ditangani oleh negara.

Disebabkan wabak rabies itu juga, pada 22 Jun 2020, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan pasukan penguatkuasaan yang dikenali sebagai Immune Belt Enforcement Team (IBET) di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS).

JPVS menjalankan program survelan, pemvaksinan anti-rabies terhadap anjing dan kuching

Pasukan IBET memainkan peranan penting untuk melengkap dan menyokong JPVS melaksanakan inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi mengawal wabak rabies di negeri ini dengan menjalankan program kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Walau bagaimanapun, pasukan IBET sebelum ini hanya diberi kuasa untuk menganjurkan program kesedaran rabies kerana belum ada peruntukan sedia ada dalam Ordinan Kesihatan Awam Veterinar, 1999 yang memberi kuasa sewajarnya kepada pegawai IBET untuk vaksinasi anjing dan agihan ubat veterinar.

JPVS menjalankan program survelan, pemvaksinan anti-rabies terhadap anjing dan kuching

Kerana itu, beliau menyifatkan Pindaan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 ini adalah penting kerana ia akan memberikan kebenaran kepada kakitangan IBET untuk membantu JPVS mentadbir vaksinasi dan melaksanakan tugas serta fungsi JPVS mengikut undang-undang berkaitan seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 57, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Immune Belt Enforcement Team (IBET) ditubuhkan bagi membantu JPVS mengawal wabak rabies di Sarawak (foto : The Star)

Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai 32 pegawai IBET yang ditugaskan menjaga sempadan Sarawak meliputi kawasan ‘Immune Belt’ perbatasan negara sepanjang 1,032 kilometer (km).

Difahamkan, anggota-anggota yang dilantik adalah anak tempatan yang tidak mempunyai masalah bahasa tempatan, budaya dan geografi bagi kawasan pengoperasian IBET.

Info grafik ringkas berkenaan rabies (sumber-Kementerian Kesihatan Malaysia)

Anak-anak watan ini mampu menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat setempat dan ianya adalah salah satu faktor kejayaan kritikal dalam penugasan IBET.

Kakitangan IBET ini memainkan peranan penting dalam membantu JPVS memantau keseluruhan sempadan Sarawak-Kalimantan terutama dalam kerja-kerja vaksinasi.

Selain itu, pasukan ini juga akan menyediakan strategi yang berkesan dalam mencegah penularan wabak rabies di kawasan-kawasan luar bandar.

Jelas beliau, peranan yang dimainkan oleh pegawai IBET ini memang tepat pada masanya kerana pada hakikatnya, JPVS berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja.

Difahamkan, Kerajaan Sarawak telah menetapkan sasaran untuk mencapai 70% imuniti dalam populasi anjing namun, kemajuan itu terhalang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.

Walaupun begitu, kes gigitan telah menunjukkan trend penurunan daripada 400 kes sebulan pada 2018 kepada 250 kes sebulan pada 2022.

Peratusan kes anjing positif rabies yang direkodkan dalam tempoh empat tahun juga menunjukkan trend penurunan daripada 42 peratus pada 2018 kepada 14 peratus pada 2022 sekali gus menunjukkan bahawa keadaan rabies di Sarawak adalah terkawal.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article