- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Liputan Bekalan Elektrik Luar Bandar Mencapai 97.1%

Must read

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi mempunyai visi untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh pelosok Sarawak menjelang tahun 2025.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julahi bin Haji Narawi, liputan bekalan elektrik di luar bandar kini telah mencapai 97.1%.

Sejumlah RM2.37 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2019 yang bertujuan untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat.

Sejak itu, seramai 23,319 isi rumah di luar bandar telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam sehingga suku ketiga tahun 2022 berbanding dengan tahun 2021 yang mencatat seramai 20,445 isi rumah.

Bagi tahun 2020, jumlahnya ialah seramai 14,408 manakala tahun 2019 pula mencatatkan seramai 7,798 isi rumah yang telah menerima manfaat daripada program tersebut.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menganggarkan seramai 11,700 isi rumah di luar bandar yang masih belum mendapat bekalan elektrik.

Projek SARES akan diteruskan di kawasan luar bandar yang sukar dihubungi

Datuk Haji Julaihi memaklumkan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada hari keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November lepas.

Beliau menjelaskan, sambungan talian grid akan dipanjangkan ke kawasan luar bandar yang mempunyai jalan akses.

Selain itu, sistem kendiri (off-grid) secara hibrid dan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) turut sedang dilaksanakan dan akan diteruskan di kawasan luar bandar yang tidak dapat dihubungi melalui jalan raya.

Di bawah program SARES, kawasan-kawasan pedalaman yang telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program berkenaan adalah Long Busang di Ulu Belaga, Rumah Lawai di Sebauh, Long Suling di Miri, Rumah Nading di Kapit, Rumah Lusi di Song dan banyak lagi.

Bagi projek bekalan elektrik luar bandar di bawah kategori Projek Rakyat, pihak kementerian telah dan sedang melaksanakan pelbagai projek sejak 2019.

Antaranya ialah pembinaan 12 buah pencawang yang setakat ini sembilan (9) daripada pencawang telah pun siap sepenuhnya, meliputi kawasan Tatau, Kanowit, Nanga Kesit, Sebauh, Sangan, Ngungun, Julau, Pakan dan Dalat.

Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak menyasarkan liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh negeri menjelang 2025

Sebuah pencawang di Belaga kini sedang dalam pembinaan manakala sebuah pencawang di Long Lama pula masih dalam peringkat penganugerahan tender dan sebuah lagi pencawang di Ba’Kelalan sedang dalam peringkat reka bentuk.

Pihak kementerian juga sedang melaksanakan pembinaan 500 kilometer talian pengagihan utama yang menghubungkan pencawang-pencawang tersebut yang kini siap dalam 60%.

Sebanyak 78 buah projek sambungan terakhir sedang dilaksanakan di 802 buah kampung dan rumah panjang yang akan memberi manfaat kepada 17,200 isi rumah dan sehingga kini, projek tersebut telah mencapai tahap siap dalam 68.4%.

Bagi kawasan terpencil, lima (5) fasa projek SARES telah siap dilaksanakan dan telah memberi manfaat kepada seramai 12,215 isi rumah yang melibatkan 408 buah kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak.

Salah satu tapak projek SARES di kawasan luar bandar

Satu lagi projek, iaitu projek SARES fasa keenam di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini dalam fasa pelaksanaan.

Dijangkakan sebanyak 141 buah kampung dan rumah panjang merangkumi seramai 2,863 isi rumah yang terlibat mendapat manfaat daripada projek tersebut yang kini siap dalam 85.1% dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2023.

Dalam ucapan penggulungan beliau, Datuk Haji Julaihi turut memaklumkan mengenai Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2030.

Pelan tersebut yang dirangka kementerian bersama dengan Sarawak Energy selaku agensi pelaksana dijalankan dengan mengenal pasti kawasan yang menggunakan sistem kendiri (stand-alone system) yang akan mempunyai jalan akses dalam tempoh sehingga 2030 untuk disambungkan ke grid elektrik.

Inisiatif tersebut menurut Datuk Haji Julaihi adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam memenuhi keperluan tenaga elektrik sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak.

Lebih daripada itu, Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat yang dikenali sebagai ALAF juga telah memberi manfaat kepada 771 buah kampung dan rumah panjang yang melibatkan 10,027 isi rumah.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak juga telah memperkenalkan program ALAF yang setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 isi rumah

ALAF adalah program penyambungan tenaga elektrik untuk individu yang tercicir daripada Skim Elektrik Luar Bandar (RES) dan mereka yang membeli rumah selepas RES dilaksanakan.

Anggaran oleh kementerian mendapati sekitar 25,000 pemohon di seluruh Sarawak yang masih memerlukan pemasangan elektrik melalui skim ALAF dan permohonan akan dilaksanakan secara berterusan dan berperingkat-peringkat.

Beliau menambah, pihak kementerian juga telah mengadakan bengkel projek ALAF pada bulan Julai tahun ini bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

Hasil daripada bengkel tersebut, kementerian beliau telah membuat penambahbaikan terhadap prosedur dan proses pelaksanaan projek ALAF termasuk penyediaan program khusus bagi menambah bilangan individu yang cekap dalam pemasangan elektrik.

Inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan bilangan mereka yang cekap termasuk kontraktor yang diperlukan bagi melaksanakan projek ALAF.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article