- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

TERAJU Perkasa Ekonomi Dan Sosioekonomi Bumiputera

Must read

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bertindak sebagai penyelaras utama dan unit strategik pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, peranan TERAJU adalah untuk meneraju agenda bumiputera bagi meningkatkan ekonomi dan sosioekonomi melalui naskah hala tuju strategik sepuluh (10) tahun iaitu Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) yang dibangunkan bersama Kerajaan Malaysia.

Garis Masa Agenda Bumiputera

TPB 2030 menggariskan strategi yang jelas melalui program pembangunan terperinci serta inisiatif yang boleh memperlihatkan kesan signifikan dan bermakna kepada bumiputera.

Untuk membangunkan TPB2030, TERAJU menggunakan pendekatan rundingan melalui program pembangunan dan inisiatif terperinci yang boleh menghasilkan impak bermanfaat kepada bumiputera.

TPB2030 adalah hala tuju 10 tahun yang dibangunkan oleh TERAJU bersama Kerajaan Malaysia

Pendekatan tersebut berpaksikan kepada tujuh (7) Aktiviti Pertubuhan Ekonomi Utama (KEGA), tiga (3) Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) dan tujuh (7) Bidang Keutamaan (PA).

KEGA terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Hab Halal dan Makanan, Hab Kewangan Islam 2.0, Logistik, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan  manakala BETA merangkumi Pertahanan dan Keselamatan, Pembinaan Moden IBS dan Aeroangkasa.

TPB2030 memberi fokus kepada 7 KEGA antaranya ialah sektor pembuatan

Inisiatif PA pula ialah Mempercepat Pembangunan Sosioekonomi Bumiputera; Menambah Baik Tadbir Urus dan Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan; Memperkukuh Pendidikan dan memperkasa Modal Insan; Meningkatkan Daya Tahan dan Kemampanan Perniagaan Bumiputera; Meningkatkan Penciptaan Kekayaan Bumiputera; Memanfaatkan sepenuhnya Tanah Rizab Melayu dan Instrumen Wakaf; serta Memastikan Pemilikan Ekuiti Korporat yang Mampan.

Pelaksanaan TPB2030 akan merentasi dua (2) tempoh pelaksanaan rancangan pembangunan negara iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

Peranan TERAJU seterusnya ialah menyelaras pelaksanaan inisiatif-inisiatif strategik Agenda Pemerkasaan Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta.

TERAJU yang ditubuhkan pada tahun 2011 telah memulakan operasi di Sarawak pada tahun 2012 dan dalam tempoh sepuluh (10) tahun, TERAJU telah menjalankan pelbagai program untuk pemegang taruh di pelbagai peringkat.

Terdapat tiga (3) program telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) iaitu;

  1. Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB)
  2. Dana MudahCara (FF)
  3. Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB)

DPUB merupakan usaha Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup komuniti Bumiputera khususnya golongan B40 yang tinggal di kawasan luar bandar (economic inclusivity).

Fokus DPUB adalah untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli golongan B40 bumiputera, meningkatkan ekonomi luar bandar, meningkatkan produktiviti, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan potensi perniagaan dan menggalakkan keusahawanan.

Sebanyak RM29 juta telah diperuntukkan kepada agensi melibatkan tujuh (7) jenis projek dan 24 kawasan yang terdiri daripada tiga (3) buah institusi pengajian tinggi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).

Menerajui Agenda Bumiputera untuk meningkatkan ekonomi dan sosioekonomi melalui TPB2030

Tiga (3) institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program DPUB 2019 merupakan program awal dalam usaha membantu menaik taraf pengusahaan bagi sektor pertanian dan akuakultur selain bagi membantu komuniti meningkatkan kemahiran dan pengetahuan melalui transaksi yang dilakukan oleh agensi yang berkaitan.

Kesinambungan ini telah membawa kepada Program DPUB 2020 iaitu Program “Sustainable Marketing for Community” (SMART Community).

SMART Community adalah program bantuan tuntas bukan hanya bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), malah melonjakkan sumbangan PKS kepada eksport negara.

Menerusi program ini, TERAJU memberi dana kepada USM yang bertindak sebagai pengantara antara pusat sehenti (One-stop Centre) dan syarikat antarabangsa dalam membawa kepada pemasaran di peringkat antarabangsa yang terdiri daripada negara China, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Jepun.

Menyelaras pelaksanaan inisiatif-inisiatif Agenda Pemerkasaan Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, GLC, GLIC dan sektor swasta

Program FF pula bertujuan untuk memberi sokongan kepada syarikat bumiputera dalam bentuk tipping point bagi projek-projek infrastruktur dan pembelian peralatan yang layak.

Keutamaan diberikan bagi sektor-sektor di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) (National Key Economic Area) yang berimpak tinggi.

Sebanyak 69 buah projek telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM123,310,000 dan RM1,005,230,000.00 nilai pelaburan telah dibuat oleh syarikat serta 4,064 peluang pekerjaan telah diwujudkan melalui projek tersebut.

Manakala, Program DKB menyediakan sokongan dalam bentuk “tipping point” atau pemangkin kepada syarikat Bumiputera yang berkelayakan bagi meneroka pelaburan baharu di dalam sektor strategik dan memberi impak positif kepada syarikat bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

Keutamaan diberikan kepada projek-projek strategik sejajar dengan TPB2030 tetapi tidak terhad kepada sektor pemuatan, ekonomi digital, pertanian dan industri bio serta perkhidmatan kejuruteraan.

Memacu pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera melalui penerokaan inisiatif-inisiatif baru serta melaksanakan inisiatif intervensi strategik

Sebanyak 20 buah projek telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM19,166,000.00 dan RM214,328,007.00 nilai pelaburan telah dibuat oleh syarikat serta 467 peluang pekerjaan telah diwujudkan melalui projek tersebut.

Sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini (2019-2021), TERAJU sangat proaktif dalam membantu syarikat dalam memberi khidmat nasihat untuk mendapatkan permohonan geran, rundingan dan lain-lain.

TERAJU Wilayah Sarawak juga aktif dalam mempromosikan program DKB kepada pihak syarikat-syarikat yang menerima geran, persatuan-persatuan usahawan, kontraktor, serta minyak dan gas, agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri yang terlibat.

TERAJU juga bertindak secara strategik melalui intervensi dalam menghubungkan beberapa program yang sedia ada khususnya produk-produk usahawan dari Sarawak yang berpotensi untuk melebarkan sayap.

Selain itu, TERAJU turut memberi peluang kepada usahawan mengembangkan sayap perniagaan  sehingga ke pasaran antarabangsa melalui ekspo atau pameran-pameran yang berpotensi untuk diiklankan atau dikomersialkan.

Melalui pendekatan Quadraple Helix Model dengan melibatkan institusi kerajaan sebagai pemain strategik, sektor swasta sebagai pemain industri, institusi pengajian sebagai pengantara atau transaksi kemahiran dan pengetahuan kepada komuniti yang bertindak sebagai pelaksana, ia dijangka memberi impak yang positif terhadap projek yang dijalankan.

TERAJU juga sentiasa menjalankan lawatan susulan (networking) seperti sesi kunjungan hormat bersama agensi kerajaan, syarikat-syarikat serta lawatan tapak projek bagi melihat keadaan semasa projek di bawah program-program sedia ada seperti DKB, FF dan DPUB serta mewujudkan kerjasama dan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan, syarikat dan komuniti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article