- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pemain Industri Dan Rakyat Sarawak Harus Bekerjasama Jayakan Transformasi Digital

Must read

Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang telah didokumenkan merupakan pelan digital yang menjadi nadi penting dalam menentukan hala tuju transformasi ekonomi digital Sarawak.

Kini, pelan berkenaan memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak dilancarkan pada 13 Disember 2017 oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam.

Pelan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2017

Mengimbas ketika strategi ekonomi digital negeri tersebut dilancarkan tiga tahun lalu, pembukuannya menandakan Sarawak sudah bersedia mengorak langkah lebih ke hadapan dalam memacu ekonomi digital ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Strategi ini mengenal pasti dan menyenaraikan 47 tindakan strategik daripada 10 bidang (29 tindakan strategik) dan tujuh pemboleh cara (18 tindakan strategik) di bawah empat kluster, merangkumi Tadbir Urus dan Infrastruktur, Sektor Ekonomi, Bandar Pintar termasuk Bakat dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Bidang-bidang berkaitan yang diberi tumpuan meliputi Pertanian, Perusahaan Industri 4.0, Pelancongan, Bandar Pintar, Infrastruktur Fizikal dan Utiliti, Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan, Kesihatan Digital, e-Dagang, Kerajaan Digital dan Sosial.

Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 mengenal pasti dan menyenaraikan 47 tindakan strategik daripada 10 bidang (29 tindakan strategik) dan tujuh pemboleh cara (18 tindakan strategik)

Manakala tujuh pemboleh cara yang disenaraikan pula merangkumi Infrastruktur Digital, Kemahiran Digital dan Pembangunan Bakat, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Ekonomi Digital, Inovasi Digital dan Keusahawanan, Digital dan Data, Keselamatan Siber dan Keterangkuman Digital.

Bidang-bidang dan pemboleh cara yang disenaraikan serta penghasilan keseluruhan buku berkenaan ialah hasil buah fikiran jentera Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di bawah Kumpulan Berprestasi Tinggi (HPT) bersama-sama dengan sektor swasta dan pihak berkepentingan melalui beberapa siri perbincangan serta dialog dan perjumpaan bersama Premier Sarawak.

Sebanyak 17 jawatan kuasa kerja telah dibentuk untuk mencari pendekatan dan tumpuan terhadap 17 bidang yang telah disenaraikan bagi merealisasikan pelan tindakan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, pemimpin dan jentera perkhidmatan awam tertinggi dan golongan profesional juga telah mengadakan lawatan rasmi ke negara-negara yang mempunyai infrastruktur digital dan mengalami pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh teknologi dan digital seperti Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Australia dan China.

Pelan tindakan ini merupakan tindakan susulan daripada resolusi kelapan yang telah dicapai semasa penganjuran Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur ICT Antarabangsa Sarawak (IDECS) yang pertama kali diadakan pada 3 dan 4 April 2017.

Tujuh pemboleh cara yang disenaraikan pula merangkumi Infrastruktur Digital, Kemahiran Digital dan Pembangunan Bakat, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Ekonomi Digital, Inovasi Digital dan Keusahawanan, Digital dan Data, Keselamatan Siber dan Keterangkuman Digital.

Pasca penganjuran IDECS 2017 juga menyaksikan beberapa resolusi lain telah pun dilaksanakan. Antara yang paling ketara ialah penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang akan membiayai projek strategik berimpak tinggi dalam transformasi ekonomi digital Sarawak, penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang berperanan sebagai pengawal selia pembangunan infrastruktur ICT dan penggunaan teknologi digital dan penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

SDEC ditubuhkan untuk menyelaras serta mengurus semua inisiatif ekonomi digital negeri yang memfokuskan pada bidang-bidang berkaitan infrastruktur, e-kerajaan, pembangunan bakat, e-dagang dan keselamatan siber.

Pada masa yang sama, SMA dan SDEC turut diberi tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan polisi dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 berjalan dengan lancar.

Sejak ditubuhkan, SMA telah memperkenalkan platform fintech atau e-dompet SarawakPay pada November 2017 yang kini telah menerima pendaftaran lebih 50,000 orang peniaga untuk menjalankan perniagaan.

SarawakPay merupakan aplikasi fintech atau e-dompet pertama milik Kerajaan Sarawak

Selain itu, SMA juga telah bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dalam mewujudkan Hab Inovasi Digital SMA-TEGAS di Bahagian Kuching, Bintulu dan Miri.

Bukan itu sahaja, malah beberapa buah syarikat swasta turut mendukung transformasi ekonomi digital negeri dengan mewujudkan hab inovasi sendiri yang menyediakan kemudahan teknologi dan digital untuk dimanfaatkan oleh bakat-bakat muda dan usahawan tempatan yang ingin menceburi keusahawanan digital.

Sektor swasta tidak terkecuali dalam transformasi ekonomi digital negeri dengan mewujudkan kemudahan seperti hab inovasi bagi melahrikan bakat-bakat muda dalam bidang teknologi dan digital
Antara contoh produk yang dihasilkan melalui teknologi percetakan digital yang terdapat di hab inovasi swasta di bandar raya Kuching

Tempoh tiga (3) tahun pelaksanaan pelan strategi digital negeri juga telah menyaksikan beberapa buah syarikat permulaan (start-up) yang lahir hasil daripada manfaat yang mereka telah peroleh dengan adanya kemudahan dan infrastruktur digital yang terdapat di hab-hab inovasi digital yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Mengambil petikan kata-kata Premier Sarawak dalam buku tersebut, digitalisasi menjadi trend di peringkat global dan Sarawak harus menyertai ekonomi digital dengan membuat keputusan yang bijak dalam setiap langkah menuju transformasi digital di samping mengelak sebarang risiko.

Ekonomi digital ialah mengenai keberkesanan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian dan untuk mencapai ke tahap itu, Sarawak memerlukan bakat yang pelbagai dalam membina ekosistem ekonomi digital seterusnya mewujudkan gaya hidup digital di kalangan rakyat negeri ini.

Premier Sarawak melihat pembangunan ekonomi digital di negeri ini bukan hanya diletakkan di bahu kerajaan sahaja, malah sektor swasta, komuniti perniagaan, pemain industri dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya harus bekerjasama dalam usaha transformasi digital.

Teknologi digital juga dilihat sebagai peluang untuk Sarawak mengurangkan kekangan ekonomi kecil dan terpencil serta tidak terlalu bergantung dengan sumber asli yang tidak dapat dikekalkan dan tidak terjamin kelestariannya dalam jangka masa panjang.

Hab inovasi telah melahrikan bakat-bakat muda dalam bidang teknologi dan digital

Sejajar dengan pelan tindakan strategik berkenaan, tempoh lima tahun bermula dari 2018 hingga 2022 ialah garis masa yang menyaksikan perkembangan ekonomi digital Sarawak telah, sedang dan akan dirasai.

Walaupun telah dibukukan dan dilancarkan, pelan strategi berkenaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa, iaitu bersifat dinamik dengan menerima segala bentuk idea, cadangan dan penambahbaikan yang bersesuaian dengan keadaan semasa dan perubahan dalam ekonomi digital.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article