- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Dasar Mesra Perniagaan akan Diteruskan

Must read

Kemajuan ekonomi sesebuah negara turut didorong oleh dasar mesra perniagaan yang diamalkan oleh kerajaan yang memerintah.

Sokongan padu daripada kerajaan kepada komuniti perniagaan disertai dengan dasar yang fokus kepada pelanggan serta galakan aktiviti ekonomi yang meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan amat diperlukan.

Demikian apa yang dapat dilihat di Sarawak, apabila dasar mesra perniagaan dan amalan ‘ease of doing business’ sentiasa dititikberatkan bagi menarik minat pelabur sama ada dari dalam mahupun dari luar negara.

Usaha sama dan kolaborasi yang jitu di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam polisi industri dan pelaburan mewujudkan jaminan jangka masa panjang yang kondusif kepada peniaga dan pelabur.

Selain itu, kestabilan politik di negeri ini merupakan faktor utama yang menarik minat pelabur-pelabur luar untuk meneroka peluang di bumi Sarawak yang mempunyai banyak potensi dalam ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan bahawa Sarawak akan meneruskan dasar mesra perniagaan untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).

Jelas beliau, dasar mesra perniagaan penting untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Dasar mesra perniagaan Kerajaan Sarawak dapat disaksikan berdasarkan rekod kelulusan projek-projek pelaburan di negeri ini.

Setakat hujung 2019, Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian (JPP) negeri telah meluluskan 43 projek pelaburan berjumlah RM17.85 bilion yang telah mewujudkan kira-kira 10 ribu peluang pekerjaan di negeri ini.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan antara sektor yang perlu diberi perhatian dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak telah memperkenalkan program bantuan kepada PKS yang ingin mengembangkan perniagaan.

Antara program yang dilaksanakan adalah seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Bagi merancakkan lagi sektor keusahawanan, sejumlah RM30 juta telah diluluskan untuk Skim Kredit Mikro Sarawak dalam Belanjawan Negeri 2020 yang bertujuan untuk membantu mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan.

Setakat September 2019, jumlah keseluruhan RM21 juta telah diagihkan kepada 252 PKS bagi membeli keperluan peralatan syarikat seperti mesin dan ubahsuai premis di bawah program SPIKS.

Manakala di bawah program GERAK dan USTEV pula, seramai 205 orang lepasan institusi latihan teknikal dan vokasional telah menerima manfaat daripada jumlah keseluruhan RM2.4 juta untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pendekatan pro perniagaan Kerajaan Sarawak disokong oleh sektor perniagaan. Jentera perkhidmatan awam negeri juga bukan hanya menyokong keperluan industri, malah turut membantu menyelesaikan masalah dan isu yang timbul dalam perniagaan.

Rangka peraturan dalam perniagaan dilaksanakan dengan berhati-hati, mesra, telus dan ditadbir urus dengan jelas di samping dasar awam yang mesra pelabur.

Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang boleh melambatkan proses permohonan lesen perniagaan.

Dalam realiti perniagaan di Sarawak, mereka yang ingin mendapatkan lesen perniagaan juga tidak berdepan dengan kerenah birokrasi atau ‘red tape’ yang membebankan.

Secara dasarnya, Kerajaan Sarawak menerapkan dasar yang jelas, didokong oleh Perkhidmatan Awam Negeri yang cekap dan telus, seterusnya memudahkan aktiviti perniagaan serta penglibatan pelabur-pelabur asing dalam kegiatan ekonomi di negeri ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article