- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

SEB Cares Dipertingkatkan dengan Ciri Tambahan ‘e-Permohonan’

Must read

Sejak visi ekonomi digital Sarawak dilancarkan pada April 2017 dan diperkukuhkan lagi dengan Pelan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022, pelbagai agensi kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan tampil dengan inisiatif dengan meningkatkan perkhidmatan dalam talian mahupun membangunkan aplikasi digital.

Sarawak Energy Berhad (SEB) merupakan salah satu daripada organisasi yang mendokong transformasi ekonomi digital Sarawak dengan meningkatkan perkhidmatan digitalnya.

Untuk itu, SEB memanfaatkan sepenuhnya inovasi teknologi serta usaha pendigitalan untuk terus meningkatkan pengalaman pengguna degan membangunkan aplikasi SEB Cares.

Aplikasi SEB Cares menyediakan penyelesaian sehenti melalui aplikasi mudah alih buat pelanggan berhubung dengan Sarawak Energy melalui telefon pintar mereka. Aplikasi itu membolehkan pelanggan membuat aduan, menerima notifikasi, mengetahui butiran bil terkini, dan melaksanakan pembayaran.

Sejak SEB Cares dilancarkan pada Februari 2016 dan mula digunakan pada Jun pada tahun yang sama, SEB menjadi syarikat pembekal tenaga pertama di Malaysia yang mempunyai aplikasi mudah alih.

Kini aplikasi SEB Cares ditingkatkan dengan ciri tambahan ‘e-Permohonan’ yang memudahkan orang ramai termasuk syarikat-syarikat perniagaan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bekalan elektrik daripada SEB.

Makluman mengenai ciri tambahan pada aplikasi mudah alih tersebut disampaikan kepada umum apabila fasa pra pelaksanaan dijalankan pada pertengahan 2017 kemudian mula digunakan pada 2018.

Aplikasi itu membolehkan pelanggan membuat aduan, menerima notifikasi, mengetahui butiran bil terkini, dan melaksanakan pembayaran

E-Permohonan diperkenalkan dengan matlamat untuk memperkasa pelanggan SEB dengan teknologi terkini dan merupakan sebahagian daripada usaha SEB untuk terus mendigitalisasikan proses dan perkhidmatan yang lebih efisien serta memberi nilai tambah kepada para pelanggan.

Permohonan bekalan elektrik ke kediaman melalui e-Permohonan memakan masa yang lebih singkat berbanding dengan permohonan melalui perkhidmatan kaunter. Pelanggan juga boleh menandatangani perjanjian kontrak tanpa perlu ke kaunter atau pejabat SEB.

Melalui e-Permohonan, para pelanggan dan kontraktor dapat memantau status permohonan dari bermulanya permohonan dibuat hingga bekalan elektrik disalurkan dengan menerima notifikasi daripada SEB.

Secara dasar, SEB Cares menyediakan platform kepada pelanggan untuk membuat pembayaran bil utiliti, menyemak akaun serta membuat laporan kerosakan pada lampu jalan.

Laporan yang dibuat akan disalurkan terus kepada pasukan penyelenggaraan SEB untuk diambil tindakan segera.

Selain itu, para pelanggan boleh menyemak status kes-kes yang dilaporkan sambil menerima notis gangguan bekalan elektrik pada masa sebenar.

Pelanggan juga boleh mencari lokasi pusat khidmat pelanggan terdekat dan mendapatkan maklumat bil dan pertanyaan mengenai meter bekalan elektrik.

SEB Cares menawarkan perkhidmatan dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma ke telefon pintar menerusi Apple Play Store atau Google Play Store dan boleh diakses di laman web SEB https://sebcares.sarawakenergy.com.my dan pelanggan juga boleh mengemukakan aduan atau cadangan di customercare@sarawakenergy.com berkenaan aplikasi tersebut.

SEB Cares telah dikemaskini pada 6 May 2020 bersaiz 38M dengan versi semasa 17.1.1 dan sesuai untuk dimuat turun dengan versi Android 4.4 ke atas.

Setakat ini, SEB memiliki seramai lebih 20,000 pelanggan yang berdaftar dengan aplikasi SEB Cares.

Pada awal 2017, SEB juga telah menyediakan perkhidmatan pembayaran bil utiliti melalui kiosk pembayaran di beberapa bahagian seperti di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article