- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PUSAKA Sasar Nilai Eksport RM8 Bilion Setahun Menjelang 2030

Must read

Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak atau singkatannya PUSAKA telah ditubuhkan pada tahun 1973 di bawah Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak 1973.

Penubuhan PUSAKA adalah berdasarkan pada saranan Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian (FAO) Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang telah menjalankan inventori hutan secara menyeluruh pada tahun 1968 hingga 1972.

Sejak itu, PUSAKA dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan mempergiatkan perkembangan industri berasaskan kayu kayan di seluruh Sarawak sejajar dengan pembangunan dan kepentingan keseluruhan ekonomi, kewujudan modal dan kepakaran teknikal dan pengurusan yang berkesan daripada sumber hutan.

Dalam tempoh lima (5) dekad kewujudan PUSAKA, tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar kepada industri perkayuan di Sarawak dalam mengharungi pasaran global sepanjang tempoh endemik COVID-19.

Operasi pengilangan dan eksport telah mengalami pengucupan sebanyak 20 hingga 30 peratus walaupun jumlah eksport kayu keseluruhan meningkat kepada RM3.95 bilion berbanding dengan RM3.6 bilion pada tahun 2021.

Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut didorong oleh kadar tukaran nilai mata wang asing yang tinggi.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 PUSAKA (1973-2023) dalam menerajui kemajuan industri perkayuan secara menyeluruh di Sarawak.

Melangkah ke hadapan, PUSAKA menyasarkan peningkatan pendapatan eksport kayu berjumlah RM8 bilion setahun menjelang 2030 selari dengan visi Sarawak maju.

Menurut Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim bin Haji Bojet, industri perkayuan dikenal pasti sebagai salah satu sektor ekonomi penting untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju.

Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim bin Haji Bojet mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Perhimpunan Khas PUSAKA dan Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas Ke-50 PUSAKA yang diadakan pada 27 Januari 2023 di Dewan Seminar PUSAKA, Kuching

Sehubungan dengan itu, PUSAKA telah merangka perancangan jangka masa panjang bagi tempoh 2023 hingga 2030 menerusi pelan strategik yang juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

Ketika Majlis Perhimpunan Khas PUSAKA dan Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas Ke-50 PUSAKA pada 27 Januari 2023, beliau menerangkan fokus-fokus utama PUSAKA bagi mencapai sasaran tersebut.

Fokus pertama ialah meningkatkan industri panel yang merangkumi produk papan lapis, papan partikel, papan gentian ketumpatan sederhana (MDF) dan sebagainya untuk menjana pendapatan eksport berjumlah RM2.5 ke RM3 bilion.

Menurut Datu Haji Hashim, sebelum pandemik COVID-19, pendapatan eksport produk papan lapis mencecah RM4 bilion.

PUSAKA menyasarkan nilai pendapatan eksport RM8 bilion setahun menjelang 2030 dengan menjana pendapatan eksport industri panel seperti produk papan lapis sebagai fokus utama (Foto PUSAKA)

Jumlah eksport papan lapis sahaja adalah lebih besar berbanding dengan pendapatan eksport keseluruhan produk kayu yang berjumlah RM3.95 bilion pada 2022.

Oleh yang demikian, PUSAKA perlu melihat bagaimana untuk menyokong industri panel di Sarawak bagi mengekalkan jumlah dan nilai pengeluaran.

Beliau menjelaskan, produk panel semasa menyumbang sebanyak RM2.1 bilion dan PUSAKA perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk berkenaan.

Fokus kedua ialah menggalakkan pembangunan industri kejuruteraan kayu yang disasarkan untuk menyumbang sekurang-kurangnya sebanyak RM700 juta ke RM1 bilion.

Yang ketiga, PUSAKA akan membangunkan industri perabot untuk menjana nilai eksport sebanyak RM4 bilion menjelang 2030.

Seterusnya, industri biomas hijau turut akan ditingkatkan bagi mencapai nilai eksport sebanyak RM0.5 bilion dan fokus kelima ialah membangunkan industri berasaskan buluh dengan capaian nilai eksport disasarkan dari RM200 juta ke RM500 juta.

Datu Haji Hashim menjelaskan, untuk mendorong pasaran eksport yang disasarkan, PUSAKA juga memberi fokus kepada memudahkan pelaburan di taman industri perabot, pembangunan infrastruktur untuk taman industri perabot serta meningkatkan pelaburan dalam kejuruteraan kayu dan industri buluh merangkumi aktiviti penanaman, pengeluaran dan R&D (Research and Development).

PUSAKA telah menjalinkan kerjasama dengan Brooke and Breeze, Shanghai, China bagi projek pembuatan basikal buluh pada awal 2021 sebagai inisiatif untuk mempromosi potensi komersial buluh dan meningkatkan nilai tambah produk buluh

Fokus-fokus lain termasuklah mengukuhkan pengurusan kemampanan bahan mentah daripada Lesen Ladang Hutan (LFP), membangunkan mekanisme bagi memanfaatkan kayu getah dalam pemprosesan produk hiliran, mengadakan lebih banyak kolaborasi dengan universiti dan institut kajian tempatan dan menjalankan program bersama komuniti yang selaras dengan salah satu daripada tiga (3) tonggak PCDS 2030, iaitu Keterangkuman Sosial.

Pada masa ini, PUSAKA juga sedang memberi tumpuan kepada beberapa agenda penting seperti perubahan iklim, kelestarian, ekonomi kitaran, produk hijau, penyampaian perkhidmatan cemerlang, penglibatan komuniti, pembangunan modal insan dan kemampanan kewangan.

Sempena sambutan Jubli Emas PUSAKA dan sejajar dengan peranan dan tanggungjawab yang semakin berkembang, PUSAKA telah merangka visi, misi dan sloganbaharu yang bertepatan dengan keadaan dan persekitaran semasa.

Visi ‘Transformasi Ke Arah Industri Perkayuan Yang Maju dan Lestari’ dengan misi ‘Memudahkan Transformasi Industri Perkayuan Yang Lestari’ dan slogan ‘Memacu Kelestarian’ dijulang dalam usaha PUSAKA untuk terus menerajui pembangunan industri perkayuan di Sarawak serta mencapai matlamat yang disasarkan pada tahun-tahun yang mendatang.

Sesi bergambar Majlis Perhimpunan Khas PUSAKA dan Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas Ke-50 PUSAKA yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan (duduk depan,tiga dari kanan)

Info Tambahan

Pencapaian PUSAKA Pada Tahun 2022:

  • PUSAKA telah dianugerahkan Silver Category untuk Anugerah Integriti, Governan dan Anti Rasuah (AIGA) daripada Institut Integriti Malaysia (IIM)
  • Pengurus Besar PUSAKA diberi pengiktirafan Productivity Champion (Leader) Productivity Champion (MPC)
  • PUSAKA telah disenarai pendek dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) – Anugerah Premier Sarawak APS (Dwi Tahunan)
  • PUSAKA memperolehi markah 100% Audit Balance Scorecard (BSC) oleh Jabatan Premier Sarawak.
  • Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) SHARKS dari PUSAKA telah menerima Anugerah Khas Inovasi Digital SCSICA 2022 (Sarawak Civil Service Inovative Creatif Circle)
  • Menghasilkan empat (4) buah prototaip basikal buluh yang dibina oleh 15 orang pelatih tempatan pada Ogos 2022
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article