Bersempena dengan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini (2023), Yayasan Sarawak membuka tirai dengan penganjuran temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) Ke-14, Sarawak 2022, selaku tuan rumah yang akan diadakan di Kuching bermula 10 hingga 19 Februari 2023.
PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan-yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diadakan sejak tahun 1991.
Antara objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara yayasan negeri di Malaysia menerusi satu hala tuju yang sama iaitu mengukuhkan dan mengembangkan usahasama yang telah lama terjalin. Kali terakhir, Yayasan Sarawak menjadi tuan rumah pada tahun 2013.
Satu Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Yayasan Sarawak telah diadakan pada 2 Februari 2023 dengan Bendera Kontinjen Yayasan Sarawak telah diserahkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki kepada Ketua Kontinjen Yayasan Sarawak, Puan Noranne binti Adam Assim.
Berslogankan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian Melalui Sukan”, temasya kali ini menyaksikan sebanyak 13 buah kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam kejohanan ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.
Sebanyak 15 jenis sukan yang akan dipertandingkan ialah Bola Sepak, Badminton, Bola Baling, Bola Jaring, Bola Tampar, Tenpin Boling, Dart, E-Sports, Futsal, Golf, Karom, Petanque, Ping Pong dan Sepak Takraw.