- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Peranan dan Sumbangan Besar JPJ Terhadap Kutipan Hasil Negara

Must read

Matlamat penubuhan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia adalah untuk menyelaras segala aspek berkaitan pengangkutan jalan bagi seluruh negeri di dalam Malaysia.

Sejak jabatan ini ditubuhkan, pelbagai akta berkaitan pengangkutan jalan telah digubal seperti Ordinan Lalulintas Jalan tahun 1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan pemandu berhemah dan kenderaan yang selamat.

Menurut Timbalan Pengarah JPJ negeri Sarawak, Tuan Erick Jusiang, secara dasarnya, JPJ memainkan peranan penting kerana jabatan ini merupakan penyumbang nombor tiga kepada kutipan hasil negara selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pengarah JPJ negeri Sarawak, Tuan Erick Jusiang semasa ditemu bual oleh RAKAN Sarawak

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh RAKAN Sarawak, dan jelas beliau, kutipan hasil JPJ adalah diperoleh dari pembayaran pengeluaran lesen memandu, pendaftaran kenderaan motor baharu, pembaharuan lesen kenderaan motor dan bayaran denda atau saman.

Mengulas kenyataan tersebut, beliau menjelaskan tanggungjawab JPJ adalah untuk mendaftar kenderaan baharu kerana melalui pendaftaran inilah, ia akan menyumbang kepada kutipan hasil kepada negara kerana pemilik kenderaan berdaftar dikehendaki membayar cukai jalan setiap tahun. 

Cukai jalan ini banyak menyumbang kepada kutipan hasil kerana, jika kereta mewah, mereka perlu membayar cukai jalan sekitar RM2, 000.

Justeru, jika ada sepuluh pemilik kereta mewah membayar cukai jalan dalam seminggu, ia sudah mendatangkan hasil lebih RM10,000 kepada JPJ.

Orang awam berurusan di kaunter JPJ

Oleh itu wajarlah jika dikatakan bahawa JPJ sentiasa mendapat kutipan hasil yang tertinggi kerana ia disumbangkan oleh pembayaran cukai jalan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pentingnya membayar cukai jalan kerana salah satu sebabnya, apabila berlaku kemalangan, pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan insurans kemalangan, sebaliknya jika mereka tidak membayar cukai jalan, tuntutan insurans kemalangan tidak dapat dilakukan.

Hal ini kerana, sebelum pihak insurans meluluskan pembayaran, mereka akan membuat semakan terlebih dahulu dengan JPJ untuk memastikan sama ada pemilik kenderaan ada memperbaharui insurans dan cukai jalan mereka atau pun tidak.

Selain cukai jalan, pengeluaran lesen dan pembaharuan lesen juga turut menyumbang kepada kutipan hasil yang tinggi kerana setiap inidvidu yang mahu menunggang motosikal atau memandu kenderaan perlu mempunyai lesen memandu.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa JPJ kini sudah ada mengeluarkan lesen memandu (auto) dan lesen memandu (manual).

Sekiranya anda adalah pemegang lesen memandu (manual), anda boleh membawa kedua-dua jenis kenderaan (auto dan manual), sebaliknya jika anda adalah pemegang lesen memandu (auto), anda hanya dibenarkan membawa kenderaan jenis (auto) sahaja.

Oleh itu, pihak JPJ amat menggalakkan orang ramai mengambil lesen memandu (manual) agar mereka boleh membawa kedua-dua jenis kenderaan semasa di jalan raya.

Kutipan hasil ini dilakukan oleh Bahagian Hasil yang turut bertanggungjawab dalam merancang, menyelaras dan mengawal selia semua aktiviti mengakaun hasil jabatan yang melibatkan;

  • Ibu Pejabat dan Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
  • Agen Pemungut seperti Pos Malaysia Berhad dan eKhidmat
  • Agensi Luar seperti PUSPAKOM Sdn. Bhd
  • Jabatan Pendaftaran Negara (IJPN)

Berhubung dengan pembayaran saman pula, beliau menjelaskan bahawa ia amat berkait rapat dengan Bahagian Penguatkuasaan.

Penguatkuasaan ini sangat penting kerana jika kita lihat pada senario sekarang ini, pendaftaran kenderaan berlaku dengan sangat mendadak dan beliau tidak menafikan, semakin banyak kenderaan di jalan raya, semakin meningkatnya pelanggaran jalan raya.

Unit Operasi JPJ Negeri Sarawak telah mengadakan Ops Khas Motosikal sempena Ops TBC 2023 di jalan Kuching-Serian (sumber gambar: FB JPJ Negeri Sarawak)

Menurut beliau, JPJ Sarawak kini mempunyai 12 Cawangan, tiga (3) pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC), tiga (3) Stesen Penguatkuasaan (SPK) dan tiga (3) Stesen Kawalan Sempadan (SKS) sekali gus menunjukkan betapa pentingnya tugas-tugas penguatkuasaan JPJ.

Salah satu tugas penguatkuasaan JPJ adalah untuk mengesan lori-lori yang membawa muatan melebihi jumlah ditetapkan kerana JPJ kini mempunyai kemudahan peralatan timbang mudah alih.

Selain itu, JPJ juga menyediakan kenderaan yang cukup untuk mengadakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan seperti rondaan bagi mengesan pelanggaran-pelanggaran di jalan raya.

Motosikal disita kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Moto (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans (sumber gambar: FB JPJ Negeri Sarawak)

Bagi beliau, pemberian saman ini bukanlah bertujuan untuk menghukum, tetapi ia merupakan satu tindakan untuk memberi amaran atau peringatan kepada orang ramai agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

Antara fungsi Bahagian Penguatkuasaan ialah;

  • Merancang, menyelaras dan memantau aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan APJ 1987/ALPKP 1987.
  • Menguruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan senarai hitam, rekod KEJARA, penggantungan atau pembatalan lesen memandu.
  • Merancang, melaksana, memantau dan menilai program atau dasar baru penguatkuasaan.
  • Mengurus dan menyelenggara peralatan penguatkuasaan seperti senjata api, kenderaan dan pakaian seragam.

Peranan JPJ yang seterusnya lebih berbentuk teknikal kerana melibatkan kejuruteraan automotif iaitu satu unit atau bahagian dari segi teknikal.

Unit Operasi JPJ Negeri Sarawak telah mengadakan operasi di Pusat Bandaraya Kuching dan Jalan Casuarina (sumber gambar: FB JPJ Negeri Sarawak)

Contohnya, jika ada kereta baharu yang hendak diimport ke Malaysia dan kereta itu belum pernah ada di Malaysia, Bahagian Kejuruteraan Automatif akan memeriksa kenderaan tersebut untuk memastikan ia mematuhi syarat yang ditetapkan oleh negara kita.

Antara fungsi bahagian Kejuruteraan Automotif ialah;

  • Menerajui pelaksanaan rangkakerja World Forum for Harmonisation of Vehicle Regulations (WP29) dan membangunkan dasar-dasar keselamatan kenderaan motor, kelulusan jenis dan mengharmonisasikan peraturan kenderaan motor diperingkat domestik selari dengan rangka kerja WP29.
  • Melaksanakan prosedur kelulusan jenis kenderaan dan pengujian kenderaan bagi tujuan pengiktirafan Energy Efficient Vehicle (EEV) selari dengan rangka kerja WP29 yang mematuhi ketetapan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Mengawalselia dan memantau PUSPAKOM, Jurutera Profesional, bengkel kejuruteraan, bengkel pembaikan kemalangan dan bengkel Rebuilt bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mematuhi keperluan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
  • Menilai dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan ubahsuai pembinaan dan penggunaan kenderaan motor supaya mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
Unit Operasi JPJ Negeri Sarawak telah mengadakan operasi di Pusat Bandaraya Kuching dan Jalan Casuarina (sumber gambar: FB JPJ Negeri Sarawak)

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hendak membeli kenderaan terpakai agar memeriksa terlebih dahulu sama ada kenderaan tersebut ada dimodifikasi dan sebagainya.

Mereka yang hendak membeli kenderaan terpakai disarankan untuk berurusan dengan JPJ kerana JPJ akan mengarahkan PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

Selain daripada peranan-peranan yang dinyatakan di atas, beliau menjelaskan peranan atau fungsi yang dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya.

Antara fungsi Bahagian Keselamatan Jalan Raya ialah merancang dan menyelaras fungsi advokasi, intervensi dan pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah.

Peribahasa melayu mengatakan, ‘melentur buluh, biarlah daripada rebungnya’; inilah konsep yang diamalkan oleh JPJ untuk mendedahkan kepada orang ramai kenapa pentingnya pendidikan keselamatan jalan raya ini, jelas beliau.

Menurut beliau, JPJ akan mengadakan program di sekolah-sekolah untuk mendedahkan kepada pelajar sekolah tentang pentingnya memiliki lesen memandu.

Selain di sekolah-sekolah, JPJ juga banyak menjalankan program pendidikan secara dalam talian melalui media sosial untuk memberi kesedaran kepada orang ramai contohnya, mendidik orang ramai mematuhi isyarat lampu jalan kerana lampu isyarat mempunyai fungsinya.

Antara fungsi-fungsi lain Bahagian Keselamatan Jalan Raya ialah;

  • Libat urus di dalam perancangan dan penyediaan dasar-dasar berkaitan keselamatan jalan raya.
  • Menyelaras dan menyediakan pelaporan berkaitan kemalangan dan kematian jalan raya.
  • Melaksanakan kempen keselamatan jalan raya secara tersasar bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
  • Libat urus bersama pemegang taruh serta rakan strategik dalam program pendidikan, advokasi dan intervensi mengenai keselamatan jalan raya.
Timbalan Pengarah JPJ negeri Sarawak, Tuan Erick Jusiang menunjukkan carta organisasi JPJ kepada RAKAN Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article